Tips memupuk anak anda suka membaca bersama-sama

tips memupuk anak anda suka membaca

Rumah ialah sekolah pertama untuk anak dan ibu bapa ialah guru pertama buat mereka. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Teknik asas dalam memupuk anak anda suka membaca ialah dengan menunjukkan contoh (modelling) kepada mereka. Pernahkah anda tertanya, mengapa anak kecil pada zaman kini mahir menggunakan telefon pintar? Hal ini kerana anak-anak sudah terbiasa melihat ibu bapa mereka kerap menggunakan telefon di hadapan mereka. Anak-anak belajar daripada memerhati lalu mencontohi.

Oleh itu, untuk mempunyai anak yang suka membaca, ibu bapa perlulah menunjukkan sifat suka membaca itu terlebih dahulu. Tahukah anda bahawa kanak-kanak sudah mula membaca sebelum mereka ke sekolah lagi. Sebagai contoh, bayi suka melihat gambar di dalam buku dan menuding ke arah gambar yang dikenalinya.

Apakah tips untuk memilih buku?

Ibu bapa perlulah membiarkan anak-anak untuk memilih buku kegemaran mereka sendiri. Hal ini kerana, kita ingin memupuk anak-anak untuk suka akan membaca bukannya membaca kerana dipaksa. Seterusnya, disarankan memilih buku yang mempunyai warna-warna yang terang dan menarik. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan buku interaktif seperti buku flip flap dan buku yang mengeluarkan bunyi/lagu.

Gambar 1: Contoh buku flip flap. Sumber: Imej Google

Bilakah anda boleh membaca bersama-sama anak?

Membaca buku bersama-sama boleh dilakukan bersama seorang anak atau secara berkumpulan. Untuk menjadikan membaca itu satu tabiat, ibu bapa perlu menjadikan membaca itu satu rutin. Rutin bermaksud aktiviti membaca bersama-sama dilakukan pada setiap hari di waktu yang sama. Sebagai contoh, sebelum tidur atau selepas makan. Namun, sekiranya anak anda berasa penat dan tidak mempunyai ‘mood’ untuk membaca, ibu bapa tidak perlu memaksa untuk meneruskan pembacaan.

Bagaimana cara untuk membaca buku bersama-sama?

1. Pastikan anak anda nampak muka anda (face to face). 

Memek muka anda amatlah  penting untuk menunjukkan maksud yang ingin disampaikan dan emosi yang sedang ditunjukkan. Antara posisi yang sesuai ialah anak duduk di hadapan ibu bapa atau bersebelahan ibu bapa. Untuk anak yang masih kecil seperti 1 atau 2 tahun, ibu bapa boleh membaca sambil anak duduk di atas riba.

2. Elakkan banyak bertanya soalan tertutup (close ended question) kepada anak.

Lazimnya, ketika membaca buku bersama anak-anak, ibu bapa akan bertanya “Ini apa? Ini apa?” “Yang mana bola?”. Soalan boleh digunakan tetapi harus dikurangkan. Hal ini kerana, ketika membaca bersama-sama, peranan ibu bapa bukanlah untuk menguji anak-anak mereka. Hal ini juga dapat menjadikan anak anda berasa tertekan dengan soalan yang begitu banyak lalu tidak suka lagi untuk membaca. Jadikan membaca buku bersama-sama itu satu perbualan. Bukan sekadar buka setiap muka surat dan bertanya “ini apa ini apa” dan bukanlah sekadar duduk dan mendengar.

3. Ikut rentak anak.

Jika anak anda memberikan lebih perhatian atau suka pada sesuatu muka surat, ibu bapa perlulah membiarkan anak tersebut mengambil masa untuk membaca pada muka surat tersebut. Jangan paksa anak anda untuk menukar muka surat. Gunakan peluang ini untuk menerangkan tentang gambar atau cerita di muka surat tersebut. Jika anda tidak memaksa, dan membiarkan anak membaca dengan cara yang mereka mahukan, kebarangkalian untuk anak anda duduk lebih lama dan membaca buku di masa akan datang adalah lebih tinggi.

4. Ubah perkataan yang sesuai

Ibu bapa tidak perlulah terlalu‘rigid’ untuk mengikut satu per satu apa yang ditulis di dalam buku. Ibu bapa boleh mengubah dan mereka cerita sendiri mengikut kesesuaian. Ubah perkataan yang ada di dalam buku kepada perkataan yang mudah difahami. Seterusnya, ibu bapa mestilah mengekalkan penggunaan perkataan yang diubah. Jika anak anda mendengar perkataan yang sama berulang kali, ianya dapat membantu anak anda untuk memahami perkataan tersebut. Selain itu, dengan teknik pengulangan juga dapat membantu si kecil anda untuk meniru (imitate) kosa kata (vocabulary) yang baru didengarinya.

5. Gunakan teknik 4s

Say less (pendekkan ayat)

Adalah lebih baik untuk bercerita dengan si kecil anda menggunakan ayat-ayat yang pendek. Hal ini dapat membantu si kecil untuk memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan. Ini kerana anak-anak tidak boleh memproses banyak maklumat dalam 1 masa yang sama.

Stress (tekankan).

Ketika membaca bersama-sama anak, ibu bapa boleh menggunakan intonasi yang pelbagai untuk menekankan sesuatu perkataan. Contohnya, ibu ingin mengajar anak konsep warna, “Kereta warna MERAH”. Ketika di perkataan merah, ibu boleh menguatkan sedikit nada untuk memberi penekanan kepada perkataan tersebut. Selain itu, ibu juga boleh memanjangkan sebutan seperti “Ini kereta meeeeeeeeeeeerah”. Kemudian, untuk menjadikan penceritaan itu lebih menarik, ibu bapa boleh menggunakan ‘sound effect’ yang anak anda suka seperti “Vroom vroom” untuk bunyi kereta.

Slow (perlahan)

Ibu bapa perlu membaca dalam kelajuan yang sesuai dan tidak terlalu laju. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada anak memproses dan fahami apa yang ingin disampaikan

Show (tunjuk)

Sokongan visual seperti menunjuk pada gambar dan membuat gaya sangat membantu untuk menarik perhatian anak dan memahami apa yang ingin disampaikan. Contoh gaya yang boleh dilakukan ialah melambai tangan untuk perkataan “selamat tinggal”.

Tahukah anda, dengan membaca buku bersama-sama anak, kemahiran bahasa anak anda dapat ditingkatkan. Contohnya, anak akan mempunyai kosa kata (vocabulary) dan kemahiran berbual (conversation skill) yang bagus. Selain itu, manfaat membaca bersama-sama si kecil adalah dapat mempersiapkan kesediaan anak anda untuk ke sekolah (school readiness). Akhir sekali, membaca bersama-sama anak dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak dan diharapkan tips memupuk anak membaca ini dapat membantu ibubapa.

Rujukan:

  1. Noble, C., Sala, G., Peter, M., Lingwood, J., Rowland, C., Gobet, F., & Pine, J.
    (2019). The impact of shared book reading on children’s language skills: A meta-analysis. Educational Research Review, 28, 100290.
  2. Pepper, J., & Weitzman, E. (2004). It takes two to talk: A practical guide for
    parents of children with language delays. The Hanen Centre.

1 thought on “Tips memupuk anak anda suka membaca bersama-sama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 3 =

Open

Close