Pengganti Gula daripada Tumbuhan

pengganti gula dari tumbuhan

Penyakit diabetes atau kencing manis sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Diabetes terjadi apabila pakreas tidak berupaya untuk menghasilkan insulin yang akan mengurangkan kadar glukosa dalam darah. Menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan
dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 3.9 juta rakyat di negara kita menghidap diabetes.

Selain pahit, masam dan masin, manis ialah antara deria rasa pada lidah kita. Pada masa kini, kajian telah menunjukkan beberapa cara untuk menggantikan rasa manis daripada gula dalam makanan kita.

Pemanis tumbuhan

Ekstrak pemanis daripada tumbuhan merupakan cara paling semula jadi untuk mendapatkan rasa manis dalam makanan. Di samping memberi rasa manis pada makanan, ekstrak pemanis berasaskan tumbuhan juga mempunyai nilai nutrisi dan penyembuhan. Mari kita lihat apakah
bentuk ekstrak pemanis daripada tumbuhan.

Bahagian tumbuhan

1. Daun

Stevia

Stevia rebaudiana atau nama komersialnya, Stevia merupakan tumbuhan daripada famili Asteraceae. Tumbuhan berdaun lebat ini turut mengeluarkan bunga-bunga putih kecil di antara daun-daunnya. Stevia boleh dibiakkan melalui benih dan keratan daun. Jika dilihat sekali lalu,
tumbuhan stevia ini kelihatan seperti rumpai biasa yang tumbuh meliar.

Rasa manis stevia datangnya daripada steviol glycosides, sejenis bahan kimia yang terdapat dalam daunnya. Stevia dikatakan 300 kali lebih manis daripada gula tebu dan 320 kali lebih manis daripada sukrosa berdasarkan berat. Setitis dua larutan stevia di dalam minuman atau masakan sudah cukup untuk memberi rasa manis.

Jangan risau, anda tidak perlu menanam stevia untuk mendapatkan daunnya. Kini, ekstrak stevia boleh didapati dalam bentuk cecair dan serbuk di pasaran tempatan.

2. Buah

Buah ajaib

Pernahkah anda dengar tentang buah ajaib? Synsepalum dulcificum atau disebut sebagai miracle fruit dalam Bahasa Inggeris berasal daripada famili Sapotaceae. Pokok ajaib yang berkayu keras dan berdaun lebat ini boleh mencapai ketinggian 5 meter. Buah ajaib yang matang berwarna merah dan berbentuk lonjong seperti tomato ceri tetapi lebih pejal.

Apa yang ajaibnya tentang buah ini? Terdapat sejenis glikoprotein di dalam buah ini iaitu miraculin. Berlainan dengan stevia, miraculin dalam buah ajaib mampu mengubah rasa masam kepada rasa manis di atas lidah kita. Rasa manis ini akan dirasai selama satu hingga dua jam sahaja. Miraculin secara sendirinya tidak mempunyai rasa manis.

Buah ajaib berasal daripada keluarga yang sama seperti ciku. Pokok ajaib amat subur jika ditanam di Malaysia disebabkan iklim tropika kita. Setakat ini, tiada kesan sampingan pengambilan ekstrak buah ajaib direkodkan. Ekstrak buah ajaib boleh didapati dalam bentuk tablet dan serbuk.

3. Akar

Akar manis

Licorice dalam bahasa Melayu disebut sebagai akar manis. Nama saintifiknya ialah Glycyrrhiza glabra dan berasal daripada famili Fabaceae. Akar manis digunakan secara meluas dalam herba dan manisan.

Terdapat sejenis bahan pemanis semula jadi di dalam akar manis iaitu glycyrrhizin. Ekstrak glycyrrhizin dikatakan 50 kali lebih manis daripada gula. Ekstrak rendaman akar manis adalah sangat manis dan tidak sesuai digunakan tanpa dicampur dengan bahan lain.

Pokok akar manis

Dalam perubatan Cina, akar manis seringkali digabungkan dengan herba-herba lain untuk menyeimbangkan rasa dan mengurangkan kadar toksik. Bahan aktif dalam akar manis didapati mempunyai sifat anti radang dan anti tumor.

Namun demikian, terdapat beberapa kesan sampingan penggunaan akar manis. Oleh itu, pengambilan ekstrak akar manis perlulah dalam kadar yang sedikit dan bukan dalam tempoh masa panjang.

Khasiat pemanis semula jadi

Apabila bercakap tentang bahan semula jadi, sudah semestinya ekstrak pemanis daripada tumbuhan ini tidak mengandungi bahan sintetik dan rendah kalori. Dari segi perubatan, ekstrak ini sangat berguna kepada pesakit diabetes dan pesakit kanser.

Sesetengah pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi mengalami kesan sampingan kehilangan deria rasa dan ekstrak ini mungkin boleh membantu dalam pengambilan makanan mereka. Selain itu, ekstrak pemanis ini juga boleh digunakan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan bagi menggantikan gula dalam makanan dan minuman.

Pengganti gula daripada ekstrak tumbuhan amatlah berguna dalam bidang makanan dan perubatan. Tidaklah salah bagi setiap manusia merasai manis dalam makanan tetapi biarlah secara sederhana dan berpada-pada.

Rujukan:

  1. Ramesh, K., Singh, V., & Megeji, N. W. (2006). Cultivation of Stevia [Stevia rebaudiana (Bert.) Bertoni]: A Comprehensive Review. Advances in Agronomy Advances in Agronomy
    Volume 89, 137-177.
  2. Goyal, S. K., Samsher, & Goyal, R. K. (2009). Stevia (Stevia rebaudiana) a bio-sweetener: A review. International Journal of Food Sciences and Nutrition, 61(1), 1-10.
  3. Bartoshuk, L., Gentile, R., Moskowitz, H., & Meiselman, H. (1974). Sweet taste induced by miracle fruit (Synsepalum dulcificum)☆. Physiology & Behavior, 12(3), 449-456.
  4. Bartoshuk, L., Gentile, R., Moskowitz, H., & Meiselman, H. (1974). Sweet taste induced by miracle fruit (Synsepalum dulcificum)☆. Physiology & Behavior, 12(3), 449-456.
  5. Xiaoying, W., Han, Z., & Yu, W. (2017). Glycyrrhiza glabra (Licorice). Sustained Energy for Enhanced Human Functions and Activity, 231-250.
  6. Fenwick, G., Lutomski, J., & Nieman, C. (1990). Liquorice, Glycyrrhiza glabra L.— Composition, uses and analysis. Food Chemistry, 38(2), 119-143.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.