Mukbang: Trend Makan Depan Kamera

mukbang

Apa itu Mukbang?

Mukbang adalah perkataan yang sering didengari dan diperkatakan khususnya dalam kalangan anak-anak muda dan remaja. Mukbang merupakan satu rancangan makan dalam talian (online eating show). Populariti rancangan ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Rancangan ini berasal daripada Korea Selatan dalam platform Afreeca TV pada tahun 2010. Perkataan Mukbang adalah kombinasi daripada dua patah perkataan Korea iaitu meokneun (makan) dan bangsong (bersiaran), yang merujuk kepada siaran orang yang sedang makan.

Ramai yang berpendapat bahawa rancangan ini mendorong individu untuk makan secara berlebihan. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea telah membentuk satu garis panduan dan melaksanakan sistem pemantauan untuk rancangan ini pada tahun 2018 bagi mencegah kenaikan kadar obesiti di Korea selatan.

Mukbang amat popular di Korea kerana ia berkait rapat dengan budaya makan di Korea, iaitu mereka akan berkumpul dan makan bersama-sama. Namun, disebabkan perubahan generasi dan persekitaran, orang Korea selalunya tidak dapat makan bersama keluarga mereka. Oleh itu, Mukbang merupakan alternatif bagi mereka untuk berkomunikasi semasa makan dan menghilangkan rasa sunyi.

Cara Mukbang dilakukan

Mukbangers (pengacara) akan menunjukkan diri mereka yang sedang makan di depan kamera serta ditonton oleh ramai orang. Kebiasaannya, mereka akan makan makanan yang tinggi kalori dalam kuantiti yang banyak seperti ayam goreng, burger, pizza, kek, air manis dan pelbagai lagi. Mereka akan berinteraksi dengan penonton sambil makan.

Ciri-ciri fizikal Mukbanger

Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa kebanyakan Mukbangers mempunyai bentuk badan yang normal dan ideal. Ramai yang berpendapat bahawa mereka membuat video mukbang hanya seminggu sekali. Ini bermakna, mereka akan makan seperti biasa pada hari lain dengan pemilihan jenis makanan yang lebih sihat dan dalam kuantiti yang sederhana.

Selain itu, mereka juga melakukan kerap melakukan senaman untuk kekal sihat. Senaman kardio, aerobik atau ketahanan adalah bagus bagi kekal aktif dan menjaga imej badan.

Walaupun mereka hanya membuat video mukbang seminggu sekali serta melakukan senaman, mereka tetap mempunyai risiko dan kesan dalam jangka masa pendek(rasa tidak selesa perut dan lesu) dan jangka masa panjang (kencing manis, penyakit jantung dan darah tinggi)

Kategori Mukbang

Mukbang terbahagi kepada 4 kategori, iaitu:

  1. Cabaran makan makanan dalam jumlah yang besar dan tidak konvensional seperti makanan pedas atau 100 biji telur.
  2. Berkongsi makanan harian mereka. Mereka biasanya akan masak atau membeli makanan yang mudah didapati oleh orang.
  3. Meransang deria pendengaran melalui ASMR (Autonomous Sensory Meridian Response) dengan cara merakam bunyi kunyahan melalui mikrofon.
  4. Berkongsi pendapat kepada penonton dengan menilai pelbagai jenis makanan.

Kesan positif terhadap penonton

1. Mengubati rasa sunyi

Kebanyakan mereka menonton mukbang pada waktu makan. Mereka merasa seperti sedang makan bersama seseorang dan tidak merasa sunyi. Ada juga yang menonton ketika waktu lapang kerana mereka akan rasa lebih tenang. Bagi mereka, melihat Mukbangers makan makanan seperti burger, pizza dan mee segera dalam jumlah yang banyak membuatkan mereka berasa gembira dan membantu melepaskan rasa teringin terhadap makanan itu.

2. Perasaan multisensori

Penonton berasa puas dengan perasaan multisensori daripada pendengaran dan visual video yang berkualiti tinggi. Kebanyakan Mukbangers akan mengunakan mikrofon khas bagi merakam bunyi yang dihasilkan semasa menguyah atau sewaktu membuka paket makanan. Ini dikenali sebagai ASMR, di mana ia menghasilkan satu perasaan yang menenangkan bagi sesetengah orang. Selain itu, bagi menarik minat penonton dari aspek deria rasa, Mukbangers akan menunjukkan tekstur makanan tersebut secara dekat (close up view).

Kesan negatif terhadap penonton

1. Menggalakkan makan secara berlebihan

Mukbangers mengambil makanan dalam kuantiti yang sangat banyak dan melebihi keperluan seharian. Perkara ini mendorong penonton untuk makan secara berlebihan tanpa mengawal porsi yang sepatutnya diambil.

2. Tabiat pemakanan yang tidak sihat

Dari segi pemilihan makanan, kebanyakan mukbangers memilih makanan yang berlemak, bergoreng dan manis seperti burger, nugget, mee segera dan banyak lagi. Hidangan sayur pula tidak diendahkan. Ini merupakan cara pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang. Hal ini akan mendorong penonton untuk makan seperti mereka. Secara tidak langsung, konsep pemakanan yang seimbang akan diabaikan bagi meniru gaya pemakanan mukbangers ini.

3. Risiko terhadap kesihatan

Amat jelas bahawa mukbang ini mendatangkan risiko penyakit kepada mukbanger dan juga penonton jika tabiat pemakanan seperti ini selalu diamalkan. Makanan segera dan makanan proses mempunyai kandungan lemak dan garam yang tinggi di mana boleh mendatangkan risiko obesiti, kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan juga kanser. Jumlah makanan yang banyak juga akan meningkatkan risiko penyakit ini.

Mukbang dan masalah gangguan pemakanan

Masalah gangguan pemakanan (eating disorder) adalah tabiat pemakanan yang boleh membahayakan kesihatan fizikal dan juga psikologi seseorang individu. Antaranya ialah:

  1. Bulimia Nervosa: Tabiat mengambil makanan dan mengeluarkan semula makanan dengan cara memuntahkan makanan, penyalahgunaan laxative dan enema (cecair yang disuntik ke dubur).
  2. Masalah Keseronokan Menikmati Makanan (Binge Eating Disorder): Individu yang sentiasa seronok menikmati makanan tanpa mengeluarkan apa yang dimakannya.
  3. Anorexia nervosa: Individu yang sengaja menghadkan pengambilan makanan dan lazimnya tidak mahu mengekalkan berat badan yang normal. Individu ini kekurangan berat.

Laporan dalam beberapa majalah dan blog telah menjelaskan bagaimana menonton video mukbang ini dapat mencetuskan masalah gangguan pemakanan seperti yang di atas. Ini termasuklah mempunyai perasaan teringin terhadap sesuatu makanan selepas menonton video dan juga mempunyai persepsi terhadap imej badan mukbangers yang normal walaupon mereka makan banyak.

Namun begitu, bagi sesetengah individu, menonton video mukbang dapat membantu untuk menahan diri daripada makan secara berlebihan kerana mereka sudah berasa ‘kenyang’ dengan hanya menonton video tersebut.

Walau bagaimanapun, masih belum ada kajian saintifik mengenai kaitan Mukbang dan masalah gangguan makanan.

Kesimpulan

  • Mukbang merupakan rancangan makan dalam talian di mana ia mengumpulkan ramai penonton dari seluruh dunia untuk berinteraksi bersama Mukbangers semasa makan.
  • Mukbang telah digambarkan sebagai “pedang bermata dua” bagi masalah gangguan pemakanan kerana ia bergantung kepada konteks dan cara penerimaan penonton.
  • Di satu sisi ia dapat membantu untuk mencegah diri dari makan berlebihan
  • Di satu sisi yang lain, ia akan menggalakkan lagi masalah gangguan pemakanan.
  • Disebabkan Mukbang ini merupakan satu fenomena yang agak baru, kajian saintifik mengenainya adalah sangat terhad.

Rujukan

  1. Anjani, L., Mok, T., Tang, A., Oehlberg, L., & Goh, W. B. (2020). Why do people watch others eat food? An Empirical Study on the Motivations and Practices of Mukbang Viewers. Proceedings of the 2020 CHI Conference on Human Factors in Computing Systems. doi:10.1145/3313831.3376567
  2. Greatrex, C. (2016, July 26). Student reveals how she binge eats KFC and Five Guys on camera and stays healthy. Retrieved August 29, 2020, from
  3. Kang, E., Lee, J., Kim, K. H., & Yun, Y. H. (2020). The popularity of eating broadcast: Content analysis of “mukbang” YouTube videos, media coverage, and the health impact of “mukbang” on public. Health Informatics Journal, 26(3), 2237-2248. doi:10.1177/1460458220901360
  4. Kircaburun, K., Yurdagül, C., Kuss, D., Emirtekin, E., & Griffiths, M. D. (2020). Problematic Mukbang Watching and Its Relationship to Disordered Eating and Internet Addiction: A Pilot Study Among Emerging Adult Mukbang Watchers. International Journal of Mental Health and Addiction. doi:10.1007/s11469-020-00309-w
  5. Matthews, B. (2019, December 18). Top 10 Untold Truths About Mukbang. Retrieved August 29, 2020,
  6. Strand, M., & Gustafsson, S. A. (2020). Mukbang and Disordered Eating: A Netnographic Analysis of Online Eating Broadcasts. Culture, Medicine, and Psychiatry. doi:10.1007/s11013-020-09674-6
  7. Sydney Lappe, M. (2020, July 22). Mukbang: What is it and What Does it do to Your Health. Retrieved August 29, 2020,
  8. Unger, R. (2020, August 23). The untold truth of mukbang. Retrieved August 29, 2020,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.