Makanan Terjatuh! Peraturan yang mana nak guna?

makanan terjatuh

Bayangkan anda sedang memegang donat kegemaran untuk dinikmati. Dalam keadaan teruja dan gelojoh, donat tadi terlepas dari tangan anda lalu bergoleklah ia di atas lantai. Sekarang anda berada dalam dilema. Hendak dikutip dan makan, atau tidak makan? Itu persoalannya.

Pastinya ramai daripada kita pernah mengalami dilema sebegini. Dan pasti juga masing-masing daripada kita ada peraturan yang kita tetapkan sendiri apabila keadaan ini berlaku. Sama ada ia peraturan 3 saat, atau 5 saat, atau 10 saat, mahupun peraturan 0 saat; ini terpulanglah kepada kepercayaan masing-masing. Asal usul peraturan ini sangatlah misteri malah ia melangkau sempadan antarabangsa dan turut wujud di negara-negara lain.

Tetapi asas kepada peraturan makanan yang terjatuh ke atas lantai ini amatlah mudah. Di atas lantai tempat kita berpijak terdapat banyak mikroorganisma atau disebut juga oleh orang awam sebagai kuman yang tidak kelihatan. Dan disaat donat tadi jatuh bergolek di atas lantai, mikroorganisma ini perlu mengambil masa untuk mengenalpasti dan mengerumuni donat itu. Maka bermulalah count down yang mewujudkan peraturan tersebut. Tidak kira anda seorang saintis atau orang awam, yang pasti adalah kita semua boleh bersetuju bahawa mikroorganisma atau kuman sebenarnya tidak pandai mengira seperti manusia.

Sebenarnya telah banyak eksperimen yang dijalankan untuk menjustifikasi peraturan 3 saat, 5 saat, atau 10 saat setelah makanan jatuh ke atas lantai. Kebanyakan daripada kita berpendapat jika makanan yang jatuh ke atas lantai itu dikutip secepat mungkin maka mikroorganisma tidak akan sempat untuk melekat padanya.

Mikroorganisma secara hakikatnya terdapat hampir di semua permukaan termasuklah pada kulit manusia dan bukan hanya di atas lantai. Dan di atas lantai pula tidaklah terdapat mikroorganisma yang sentiasa menunggu makanan jatuh untuk dikerumuni. Walaubagaimanapun, satu perkara yang pasti adalah apabila makanan jatuh ke atas lantai ia akan diliputi kekotoran. Dan kekotoran inilah yang sering mewujudkan dilema dikalangan kita dan secara tidak langsung dikaitkan dengan kehadiran mikroorganisma pada makanan tersebut. Disebabkan kekotoran yang berlaku ini jugalah maka ada diantara kita yang lebih tegas pendiriannya dan menggunapakai peraturan 0 saat. Bermaksud setiap makanan yang jatuh ke atas lantai akan terus dibuang ke dalam tong sampah.

Secara umumnya, eksperimen-eksperimen yang telah dijalankan bersetuju bahawa mikroorganisma akan melekat pada setiap makanan yang terjatuh ke atas lantai tanpa mengira berapa saat telah berlalu. Berapa besar populasi mikroorganisma yang melekat pada makanan yang jatuh itu pula bergantung kepada jenis makanan tersebut. Makanan dalam bentuk yang lebih kering seperti biskut dan ayam goreng secara saintifiknya akan diliputi populasi mikroorganisma yang lebih rendah berbanding dengan makanan yang basah atau lembap seperti dodol dan mee goreng. Di samping itu, faktor lain yang mempengaruhi jumlah populasi mikroorganisma pada makanan yang terjatuh ke atas lantai adalah jenis permukaan seperti karpet, lantai jubin dan lantai kayu. Dapatan kajian menunjukkan pemindahan mikroorganisma dari permukaan lantai jubin dan lantai kayu kepada makanan adalah lebih tinggi berbanding permukaan karpet. Tetapi ini juga bergantung kepada berapa kerap seseorang itu membersih atau mencuci lantai mereka. Dalam kata lain, pemindahan mikroorganisma pada makanan yang jatuh ke atas lantai berlaku sebaik sahaja ia bersentuhan dengan permukaan lantai dan ditambah juga dengan kekotoran yang mungkin berlaku. Namun satu persoalan yang lebih penting adalah; adakah makanan yang telah terjatuh ke atas lantai selamat untuk dimakan?

Hakikatnya, jawapan kepada persoalan ini agak rumit dan subjektif. Malah para saintis yang menjalankan eksperimen-eksperimen ini juga mempunyai pandangan, pendirian serta amalan yang berbeza walaupun setelah mengetahui dapatan kajian mereka. Suatu yang pasti adalah manusia tidak dapat menyembunyikan diri daripada mikroorganisma yang berada di sekeliling kita.

Seseorang itu boleh makan makanan yang terjatuh ke atas lantai sepanjang hidupnya dan tidak pernah jatuh sakit. Ada juga saintis yang mempercayai mikroorganisma yang dipindah kepada makanan yang jatuh ke atas lantai boleh juga menyumbang kepada perkembangan sistem imun badan yang sihat untuk manusia. Apa yang mungkin adalah jawapannya bergantung kepada keadaan kejadian itu berlaku dan pendirian masing-masing. Jika kejadian makanan terjatuh itu berlaku di atas lantai di dalam rumah, bermakna tuan rumah lebih arif dengan keadaan kebersihan rumahnya. Dan sekiranya makanan yang terjatuh itu boleh dibersihkan serta tidak berubah rasa dan rupanya, jadi terpulanglah kepada tuan punya badan untuk membuat keputusan. Tetapi sekiranya kejadian ini berlaku di luar rumah atau berlaku di tempat yang nyata kotor, sudah pasti kita boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya makanan yang kita makan tidak mendatangkan kemudaratan.

Lebih menarik lagi apabila sebahagian daripada dapatan kajian yang telah dijalankan mendapati adanya mikroorganisma pada makanan yang diuji walaupun ia tidak dijatuhkan di atas permukaan lantai. Ini bermakna sebarang kemungkinan yang menyebabkan wujudnya mikroorganisma pada makanan yang kita hidangkan boleh berlaku sama ada ia datang dari kain pengelap pinggan, pinggan yang digunakan, kelengkapan dapur dan sebagainya. Jadi, sekiranya di masa akan datang anda terlepas jatuh donat kegemaran ke atas lantai maka buatlah keputusan sebaiknya. Wallahua’lam.

Rujukan:

  1. Dawson P, Han I, Cox M, Black C, Simmons L. Residence time and food contact time effects on transfer of Salmonella Typhimurium from tile, wood and carpet: testing the five-second rule. J Appl Microbiol. 2007 Apr;102(4):945-53.
  2. Bethany Brookshire. The five-second rule: Microbes can’t count. – Science news for students.
  3. Melissa Hogenboom. What really happens to food when you drop it on the floor. – BBC
  4. Sarah Whitman-Salkin. Scientists Study What to Do If You Drop a Cookie on the Floor. https://www.nationalgeographic.com/news/2014/3/140315-five-second-rule-bacteria-food-safety/
  5. Caroline Praderio. What Happens If You Eat Food That Fell on the Floor? – Prevention

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.