Gaslighting: Dipaksa mempercayai sesuatu perkara tanpa sedar

gaslighting

Terma “gaslighting” diambil daripada sebuah filem tahun 1944 yang bertajuk “Gaslight”. Filem ini menceritakan tentang seorang penyanyi opera, Paula, dan suaminya, Gregory, yang baru dikahwini hanya selepas dua minggu berkenalan. Selepas berkahwin, Gregory melakukan pelbagai cara untuk meyakinkan Paula bahawa dirinya tidak waras dan perlu dihantar ke institut pemulihan supaya dia boleh melaksanakan rancangannya untuk mencuri barang-barang di rumah Paula.

Salah satu cara yang dilakukan ialah membesarkan dan mengecilkan lampu “gaslight” di rumah mereka dan menafikan perkara itu berlaku apabila Paula mengungkit kejadian tersebut dan mengatakan yang itu hanya imaginasi Paula. Akibat daripada itu, Paula, mulai mempersoalkan realiti hidupnya dan mula mempercayai segala yang dikatakan oleh Gregory.

Filem Gaslight

Gaslighting merujuk kepada sebuah penderaan psikologi yang dilakukan terhadap individu tertentu dengan tujuan mengganggu penilaian realiti dan kewarasan akal seseorang. Individu yang melakukan gaslighting dikenali sebagai gaslighter. Gaslighting boleh terjadi dalam mana-mana hubungan interpersonal termasuklah hubungan antara ibubapa dan anak-anak, majikan dan pekerja mahupun antara kawan-kawan.

Namun, ia lebih kerap berlaku dalam pasangan yang bercinta, sama ada sudah berkahwin atau belum. Mangsa gaslighting selalunya akan berasa keliru, resah, dan defensive. Gaslighting berlaku dipercayai kerana seorang gaslighter mahu menjadi lebih berkuasa dan mengawal mangsa mereka. Ini adalah salah satu faktor gaslighting berlaku dalam sebuah persekitaran yang mempunyai ketidakseimbangan kuasa (power imbalance).

Artikel ini akan menyentuh tentang helah-helah yang mungkin digunakan oleh seorang gaslighter dan tanda-tanda anda adalah mangsa gaslighting. Turut disertakan sumber-sumber yang anda boleh gunakan sekiranya anda merasakan anda atau kenalan adalah mangsa gaslighting.

Helah dan tipu daya dalam gaslighting

Antara helah dan tipu daya yang dilakukan oleh seorang gaslighter:

  1. Menipu secara terang-terangan, berterusan dan berulang kali untuk menggoyahkan kepercayaan mangsa.
  2. Merendahkan atau menafikan perasaan mangsa dan menuduh mangsa terlalu sensitif atau memberi reaksi yang berlebihan (overreact)
  3. Membuat atau mengatakan sesuatu tetapi menafikannya apabila mangsa mempersoalkan hal tersebut, walaupun mempunyai bukti. Contohnya, gaslighter dan mangsa pernah keluar dan menonton filem bersama-sama. Namun, gaslighter menafikan pernah melakukan hal tersebut dan mungkin menuduh mangsa pergi dengan individu lain.
  4. Mempersoalkan memori mangsa dengan mengatakan “Betul ke? Entah-entah mimpi je tu.” atau yang sama dengannya
  5. Apabila mangsa cuba berbincang dengan mereka, gaslighter akan menukar topik perbincangan, dan mempersoalkan kredibiliti mangsa
  6. Menggunakan stereotaip untuk memanipulasi mangsa. Sebagai contoh, mengatakan kepada seorang wanita bahawa mereka tidak rasional, tidak waras atau terlalu emosi apabila mereka cuba meminta bantuan akibat didera.
  7. Perbuatan dan percakapan mereka bercanggah. Lebih baik untuk fokus kepada perbuatan mereka kerana percakapan mereka selalunya tidak boleh dipercayai.
  8. Kadang-kadang, seorang gaslighter akan memuji atau memberi kata-kata positif kepada mangsa untuk membuatkan mangsa keliru dan berfikir “Tak adalah jahat sangat dia ni. Dia puji jugak aku. Mungkin hari tu dia letih” dan sewaktu dengannya.
  9. Menuduh mangsa menipu atau curang, sedangkan mereka yang melakukan perkara-perkara tersebut. Helah ini dilakukan untuk menjadikan mangsa defensive dan cuba mempertahankan diri. Apabila ini berlaku, perhatian mangsa akan lebih tertumpu kepada mempertahankan diri dan bukan perbuatan gaslighter yang sebenar.
  10. Mereka akan cuba mempengaruhi pemikiran dan menggoyahkan keyakinan mangsa dengan mengatakan semua orang tidak mempercayai mangsa. Contohnya dengan berkata “Anak kau pun tak percaya dengan kau!”. Selalunya, orang yang disebut, dalam contoh ini si anak, tidak pernah mengatakan perkara tersebut.
  11. Gasligther mendakwa mangsa tidak waras dan menyebarkannya kepada orang lain. Taktik ini amat berkesan kerana perbuatan ini bersifat “dismissive” di mana mangsa tidak mempunyai ruang untuk mempertahankan diri. Hal ini boleh menghilangkan kepercayaan orang di sekeliling mangsa akibat dakwaan gaslighter, termasuklah apabila mangsa mendakwa didera.
  12. Memberitahu anda bahawa semua orang di sekeliling anda adalah penipu supaya keyakinan dan kepercayaan anda tergoyah seterusnya hanya bergantung kepada gaslighter.

Tanda-tanda anda merupakan mangsa gaslighting:

  1. Semakin lama anda berada dalam hubungan tersebut, anda menjadi semakin susah untuk membuat apa-apa keputusan.
  2. Kerap merasakan anda terlalu sensitif dan mempersoalkan sekiranya respons anda kepada pasangan
    anda adalah keterlaluan
  3. Anda semakin kurang bersosial dan mengasingkan diri daripada keluarga dan kawan-kawan.
  4. Antara sebab anda kurang bersosial untuk mengelak daripada bercakap tentang pasangan anda.
  5. Kadangkala anda akan terpaksa menipu untuk mengelak daripada membuat alasan atas sikap pasangan anda.
  6. Kerap meminta maaf kepada pasangan dan menyalahkan diri anda sekiranya terjadi apa-apa masalah atau insiden
  7. Mempertahankan perbuatan dera pasangan anda sekiranya ada yang mempersoalkan sikap mereka
  8. Hilang keseronokan dalam melakukan sesuatu yang anda suka
  9. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan anda namun tidak mampu mengenal pasti apa-apa yang tidak normal
  10. Selalu resah dan menjadi orang yang kurang keyakinan diri berbanding diri anda yang lalu.
  11. Langkah yang patut diambil sekiranya anda mangsa gaslighting
    Sekiranya anda merasakan anda ialah mangsa kepada penderaan ini, ketahuilah anda tidak berseorangan.

Antara pilihan yang boleh anda dilakukan sekiranya anda adalah mangsa penderaan gaslighting di Malaysia, adalah:

  1. One Stop Crisis Centers (OSCC) di bahagian kecemasan hospital kerajaan. Anda boleh melaporkan sebarang kecederaan fizikal akibat daripada pasangan anda dan mengumpul bukti medikal.
  2. Hubungi Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organization (WAO) di hotline mereka di +603 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA +6018 988 8058. Kedua-dua nombor ini dibuka 24 jam. Anda boleh juga melayari laman web mereka di https://wao.org.my/ untuk mengetahui maklumat-maklumat lanjut.
  3. Talian Nur 15999. Anda boleh melaporkan sebarang kes penderaan domestik dan social, termasuk penderaan kanak-kanak. Talian ini juga dibuka 24 jam.

Sekian.

Rujukan

  1. Getting Help for Domestic Violence in Malaysia. (n.d.). Retrieved July 26, 2020, from https://wao.org.my/getting-help-for-domestic-violence/
  2. Huizen, J. (2020, July 14). What is Gaslighting? Retrieved July 25, 2020, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/gaslighting
  3. Morris, S. Y. (2017, March 23). How to Recognize Gaslighting and Get Help. Retrieved July 25, 2020, from https://www.healthline.com/health/gaslighting
  4. S., M. (2020, April 15). Here’s how domestic abuse victims can report their abuser in Malaysia. Retrieved July 26, 2020, from https://asklegal.my/p/domestic-abuse-spouse-victim-malaysia-report-law-pdrm
  5. Sarkis, S. A. (2017, January 22). 11 Warning Signs of Gaslighting. Retrieved July 25, 2020, from https://www.psychologytoday.com/us/blog/here-there-and-everywhere/201701/11-warning-signs-gaslighting
  6. Sweet, P. L. (2019). The Sociology of Gaslighting. American Sociological Review, 84(5), 851-875.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.