Cara Tanam Serai (3T): Tanam, Tinggal dan Tuai

cara tanam serai 3T

Bagaimanakah cara untuk tanam serai dengan betul?

Artikel ini akan mengajarkan cara yang lengkap untuk tanam serai dengan mudah dan betul.

Isi Kandungan
  1. Penyediaan Tapak
  2. Penyediaan anak benih serai
  3. Cara Tanam Benih Serai dengan Betul
  4. Penanaman Pokok Serai
  5. Pembajaan pokok Serai
  6. Tempoh Matang

Tanaman serai tidak terlalu terkenal kepada suri rumah terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan yang luas untuk menanam serai. Namun pada hakikatnya, serai juga boleh ditanam di dalam pasu ataupun polibeg dengan kaedah yang betul.

Serai juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi seperti tanaman sayuran yang lain. Oleh itu, serai yang merupakan bahan penting dalam masakan perlu ditanam di kawasan rumah masing-masing.

1. Penyediaan Tapak


Tapak atau kawasan tanaman perlu disediakan sebelum anak benih disemai. Bagi tanaman serai, tanah yang sesuai digunakan ialah tanah gambut, tanah merah, tanah berpasir dan BRIS. Bagi mereka yang tidak mengenali jenis tanah, disarankan untuk menggunakan campuran beberapa jenis tanah agar tanah yang digunakan adalah sesuai iaitu tidak terlalu padat dan tidak terlalu berpasir.

Perkara penting mengenai tanah ialah keupayaan tanah tersebut untuk menyimpan nutrien dan juga merangsang pertumbuhan akar. Jika tanah terlalu padat, akar akan mempunyai kesukaran untuk bergerak, manakala tanah yang terlalu berpasir sukar untuk memegang nutrien dan pokok akan kekurangan nutrien sekiranya tanah tidak dapat menyimpan kandungan nutrien yang ada.

Maka, untuk tanaman serai dan juga tanaman lain, penyediaan tapak atau tanah untuk menanam merupakan aspek utama yang perlu ditekankan.

Bagi tanam serai di dalam pasu dan polibeg, adalah disarankan supaya saiz pasu dan polibeg adalah besar kerana saiz pokok serai yang besar dan mempunyai banyak batang apabila matang. Penggunakan pasu atau polibeg yang kecil akan menyebabkan akar terbantut dan pokok akan mengalami kekurangan nutrien. Kekurangan nutrien pula menyebabkan pokok tidak subur.

2. Penyediaan Anak Benih


Anak benih boleh didapati di kedai ataupun dari pokok serai sedia ada. Jika dari pokok, ambil bersama akar dan potong bahagian atas dahan. Benih yang mempunyai akar boleh terus ditanam di tanah.

Benih yang dibeli dari kedai pula perlu direndam dahulu beberapa hari sehingga ada akar yang keluar. Ada juga cara dimana serai dipotong sehingga berukuran 1 atau 2 inci dan direndam sehingga akar mula keluar. Boleh mencuba mana-mana cara yang terbaik.

akar serai

Serai yang masih mempunyai akar untuk dibuat benih.

3. Cara Tanam Benih Serai dengan Betul


Perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah cara menanam benih serai. Kaedah yang salah akan menyebabkan anak benih mati. Cara yang boleh digunakan ialah menanam anak benih hanya sedalam 1 inci di mana hanya menanam bahagian yang berdekatan akar. Adalah tidak digalakkan untuk menanam keseluruan batang kerana cara ini akan menyebabkan anak benih sukar untuk keluar dari tunas di benih serai.

4. Penanaman Pokok Serai


Pokok serai boleh ditanam setelah anak benih telah bertunas ataupun melalui benih yang telah mempunyai akar. Benih serai ditanam sebanyak tiga batang setiap lubang dalam barisan dengan jarak 2 kaki x 3 kaki. Jarak ini sesuai bagi memudahkan kerja-kerja menuai. Anak pokok serai mula membiak setelah 2 minggu ditanam.

5. Pembajaan Pokok Serai


Pembajaan pokok serai boleh dilakukan beberapa minggu setelah ditanam dengan baja organik. Setelah itu, boleh dibaja dengan baja NPK Hijau iaitu baja 15:15:15 ataupun baja 16:16:16 pada peringkat umur 1, 2 , 3 dan 4 bulan. Cara membaja ialah dengan menabur sedikit baja di sekeliling pokok.

6. Tempoh Matang


Serai matang setelah berumur 8 bulan dengan purata pertumbuhan sebanyak 70-80 batang serai dalam satu rumpun. Untuk mengutip hasil, rumpun serai digali menggunakan ‘scoop’. Kemudian rumpun serai dibersihkan dengan menggunakan parang atau kapak dan gunting ‘secateurs’. Semasa kerja pembersihan dilakukan, pengasingan serai dibuat untuk dijual dan dibuat benih.

serai yang telah matang

Serai yang telah matang dan dituai.

Penanaman serai tidaklah merumitkan kerana tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Maka, amat disarankan bagi surirumah untuk menanam serai di kawasan rumah supaya mudah untuk diambil untuk dimasukkan ke dalam masakan.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

1. Bayam Brazil

2. Taugeh

3. Pokok Cili

4. Cendawan

5. Sawi

6. Pokok Kari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.