Cara Tanam Pokok Kari yang mudah dan betul

daun pokok kari

Bagaimanakah cara untuk tanam pokok kari dengan betul?

Artikel ini akan menerangkan cara tanam dan penjagaan pokok kari dengan betul dan mudah.

Isi Kandungan
  1. Pemilihan Anak Pokok
  2. Tanam di polibeg atau tanah
  3. Pembajaan Pokok Kari
  4. Penyakit dan Perosak
  5. Tuaian Hasil

Daun kari merupakan elemen penting dalam masakan kari dan akan lebih memudahkan sekiranya daun kari hanya dipetik di tepi rumah sekiranya ingin memasak. Daun kari malah akan lebih segar sekiranya dipetik dari pokok berbanding dengan daun kari yang dibeli dari pasar. Jadi, perlu menanam pokok kari supaya lebih mudah untuk diambil sekiranya perlu.

Pokok kari selalunya dibiakkan melalui biji benih, anak pokok dan keratan batang. Namun, adalah lebih mudah ditanam melalui anak pokok kerana telah ianya sudah mempunyai akar. Berikut merupakan langkah-langkah mudah untuk menanam pokok kari.

1. Pemilihan Anak pokok


Anak pokok kari selalunya tumbuh di sekeliling pokok kari yang matang, melalui biji benih yang dikeluarkan setelah daun berbunga. Bagi pertumbuhan yang baik, pastikan memilih anak pokok yang tidak terlalu kecil atau terlalu besar.

Hal ini kerana anak pokok kari yang terlalu kecil mungkin sukar untuk mengambil nutrien kerana perubahan tempat akan mengganggu sistem akar yang masih muda. Pokok kari yang terlalu tua pula mempunyai akar tunjang yang panjang. Jadi, pemilihan anak pokok yang baik amatlah penting.

Pastikan ambil anak pokok dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan akar atau tidak memutuskan akar tunjang. Sekiranya anak pokok kari diambil dengan cara yang salah iaitu akar pokok terpotong terlalu banyak, berkemungkinan anak pokok tersebut tidak dapat tumbuh dengan sempurna dan mati.

Maka, anak pokok kari perlu diambil dengan teliti, boleh menggunakan cangkul dan cangkul terlebih dahulu sekeliling anak pokok dan sebaiknya ambil anak pokok bersama tanah di sekeliling akar. Hal ini selain dari menjaga keadaan akar, juga membantu mengekalkan kelembapan pada anak pokok supaya tidak cepat layu sebelum dipindahkan.

2. Tanam di polibeg atau tanah


Setelah anak pokok diambil, perlu ditanam terus supaya anak pokok tidak layu dan kekeringan. Pokok kari boleh ditanam di dalam polibeg ataupun di tanah. Akan tetapi, lebih digalakkan untuk tanam di tanah kerana sistem akar tunjang pokok kari memerlukan kedalaman tanah yang agak dalam.

Sebaiknya pilih tempat tanaman yang tidak mengganggu kawasan lain dan tanam kekal anak pokok tersebut. Pokok kari akan tumbuh dan membesar tanpa gangguan sistem akar. Jika ditanam di dalam pasu atau polibeg, pastikan pilih pasu atau polibeg yang bersaiz besar supaya akar mempunyai ruang yang cukup untuk membesar.

Selain itu, disyorkan agar pemindahan anak pokok kari dilakukan pada waktu petang bagi meminimakan pendedahan cahaya matahari bagi mengelakkan pokok menjadi layu dan kekeringan. Setelah anak pokok dipindahkan, pokok perlulah disiram bagi mempercepatkan percambahan anak pokok.

cara tanam pokok kari

Penanaman pokok kari di sudut tepi rumah.

3. Pembajaan


Pokok kari merupakan pokok yang agak lasak. Tidak memerlukan pembajaan yang sistematik. Namun, digalakkan untuk memberi baja organik supaya pokok mempunyai nutrien untuk membesar dengan subur.

Pemberian baja NPK Hijau juga boleh dilakukan bagi tumbesaran pokok yang lebih sihat. Adalah penting untuk menyiram pokok setelah diberi baja kerana proses ini akan memudahkan baja untuk diresap ke dalam tanah dan diambil oleh akar. Pembajaan boleh diberi setelah dua atau tiga minggu setelah anak pokok ditanam.

4. Penyakit dan Perosak


Pokok kari tidak terlalu terdedah kepada penyakit dan perosak kerana baunya yang agak kuat. Namun, terdapat juga penyakit yang boleh dijangkiti seperti reput batang atau daun bergulung. Bagi mengelakkan penyakit reput batang, elakkan menyiram pokok dengan air yang terlalu banyak sekiranya kawasan pokok tidak mempunyai saliran air yang baik.

Maka penting untuk memilih kawasan penanaman yang baik. Penyakit daun bergulung pula disebabkan oleh kumbang putih. Sekiranya terdapat simtom tersebut, tangkai tersebut perlu dibuang dan pastikan kawasan persekitaran pokok dijaga bagi mengelakkan penyakit dan perosak menyerang.

daun kari

Daun dan pokok kari yang subur.

5. Tuaian hasil


Penuaian hasil dari pokok kari tidak sama dengan tuaian hasil pokok-pokok sayuran kerana yang diambil hanyalah beberapa tangkai. Sekiranya pokok kari sudah mencapai tahap ketinggian dan kesuburan yang baik seperti dahan yang tegap dan daun yang hijau tua, maka daun tersebut telah boleh mula dipetik.

Penanaman pokok yang penting dalam masakan bukan sahaja memudahkan urusan di dapur, malah aktiviti berkebun boleh dijadikan satu terapi minda. Adalah amat digalakkan bagi surirumah ataupun sesiapa sahaja untuk mencuba berkebun dan menjalani aktiviti masa lapang yang sihat.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

1. Bayam Brazil

2. Taugeh

3. Pokok Cili

4. Serai

5. Cendawan

6. Sawi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.