Cara Tanam Kubis yang Mudah dan Betul

cara tanam kubis

Bagaimanakah cara tanam Kubis yang betul? Artikel ini akan menerangkan cara-cara yang betul dan mudah untuk anda ikuti bagi penanaman kubis

Kubis adalah sejenis sayuran bunga kerana bentuk daunnya yang lonjong dan lebar. Seperti yang anda sedia tahu, kubis adalah sayur yang enak dimakan segar, dijadikan sebagai jeruk, salad dan sebagainya. Tanaman ini sesuai ditanam di kawasan yang beriklim sederhana sejuk seperti di Cameron Highlands. Berikutan daripada itu, pengeluaran kubis negara sangatlah terhad untuk dihasilkan kerana perlu menepati iklim yang sesuai bagi penanamannya.

Akan tetapi itu semunya dahulu, dengan kaedah dan pendekatan terkini oleh MARDI, kini tanaman ini sudah boleh dijalankan di kawasan tanah rendah dengan mengikuti prosedur yang betul. Telah berbukti di negara kita, penanaman kubis di kawasan tanah seperti Johor, Selangor dan Kelantan yang masih bergiat aktif beroperasi dan berjaya ditanam walaupun tidak perlu mengikuti piawaian iklim dan suhu. Antara faktor kejayaannya adalah melalui pemilihan varieti yang sesuai.

Kubis yang paling umum ditanam di Malaysia adalah varieti kubis bulat Autumn Queen kerana ketahanannya terhadap suhu panas dan mampu mengeluarkan hasil sekitar 1.5kg sebiji. Dengan ini, anda tidak perlu lagi memikirkan lagi soal kesesuaian tanaman ini. Malahan, dengan cara yang betul dan sesuai, penanaman sayuran ini juga turut boleh dijalankan di rumah anda sendiri. Melalui artikel kali ini, saya akan menunjukkan cara tanam kubis dengan betul dan mudah.

Jenis-jenis Kobis

Kubis ini banyak jenis-jenisnya. Sebagai contoh untuk kubis bulat sahaja ada 4 jenis varieti iaitu Autumn Queen, Eiyu, KK Cross dan US Tropical. Berikut adalah antara varieti yang umum ditanam di Malaysia. Keempat-empat tersebut mempunyai ciri yang seakan sama cuma perbezaan dari segi tempoh matang, saiz dan berat. Ada juga kobis-kobis lain yang ditanam di Malaysia seperti kobis Napa, kobis Bokchoy, kobis Ungu dan kobis Savoy.

Kobis bulat

Kobis bulat

Kobis Napa

Kobis Napa

Kobis Bokchoy

Kobis Ungu

Kobis Ungu

Kobis Savoy

Kobis Savoy

Penyediaan Tanah

Tanah yang sesuai untuk ditanam kubis  adalah tanah liat berpasir. Ini kerana tanah tersebut lebih gembur untuk tumbesaran kobis secara optimum. Selain daripada itu, jenis tanah tersebut juga mengandungi kandungan organik yang cukup sesuai untuk penanamannya serta mempunyai nilai pH yang cukup ideal sekitar 5.5 – 6.5. Untuk memberi jaminan terhadap ketersediaan tanah mencapai piawaian seperti dinyatakan aktiviti pembersihan dan pengemburan tanah hendaklah dijalankan terlebih dahulu.

Sekiranya diusahakan untuk skala kecil, gunalah cangkul bagi menyediakan batas. Untuk skala yang besar, penggunaan jentera traktor dengan implementasi bajak. Untuk penyediaan batas, disyorkan menggunakan ukuran 1m lebar dan 20 – 30cm tinggi. Manakala jarak di antara batas pula ialah 30cm. Untuk hasil yang lebih baik, lakukan pemasangan sungkupan plastik pada batas bagi mengekang pertumbuhan rumpai. Dengan ini, hasil kobis yang dikeluarkan lebih terjamin kerana pertumbuhannya yang optimum tanpa persaingan dengan rumput yang bersaing untuk keperluan nutrien.

Penyediaan Anak Benih Kobis

Terlebih dahulu, biji benih kobis hendaklah disemai ke dalam medium campuran dengan kadar nisbah 3:2:1 sebelum ditanam pada batas. Benih-benih tersebut kemudiannya diletakkan di bawah naungan cahaya pada kadar sederhana dengan penyiraman air yang sebanyak 2 kali sehari bergantung pada cuaca. Setelah anak benih mencapai umur 25 – 30 hari, ianya sudah boleh dipindahkan dan ditanam pada batas.

Cara Tanam Kubis

Sebelum melakukan penanaman, pastikan batas telah dipasang dengan plastik sungkupan. Kemudian, sediakan lubang penanaman kira-kira sedalam 8-10cm. Untuk pembuatan lubang pastikan jarak antara tanaman adalah 60cm x 50cm untuk mengelakkan persaingan terhadap air dan baja. Setelah itu, ambil anak benih anak benih kobis yang telah disemai selama 25-30 hari untuk ditanam terus ke dalam lubang yang disediakan.

Untuk pemilihan anak benih, sebaiknya anda memilih benih yang sihat dan bebas perosak serta penyakit kerana dikhuatiri sekiranya anak benih yang dipilih bermasalah, ianya akan menyebabkan penularan penyakit pada anak benih lain. Seterusnya, benih yang ditanam tadi perlulah disiram dengan air secukupnya sekurang-kurangnya 2 kali bagi meransang kualiti hasil yang terbaik.

Pembajaan

Pembajaan juga boleh dilakukan sebelum penanaman dengan cara menabur terus pada batas bagi meningkatkan kesuburan tanah dan memperbaiki strukturnya. Kebanyakan pengusaha kobis lebih gemar menggunakan baja organik seperti tinja ayam atau kompos kerana ianya lebih mesra alam dan mengeluarkan hasil yang lebih berkualiti serta sihat untuk pemakanan konsumer. Kebiasaannya, di pasaran kita boleh mendapatkan baja NPK organik pada nisbah 3:3:3 atau 5:5:5 yang memang dikhususkan untuk penanaman organik.

Ianya juga bersesuaian bagi tanaman kobis. Namun begitu, bagi penanaman sayur ini keperluan nutriennya adalah berbeza mengikut peringkat tumbesarannya. Hal yang demikian, langkah pembajaan tambahan perlu dilaksanakan dengan penambahan baja foliar organik pada peringkat anak benih. Baja foliar kebanyakkannya di pasaran adalah dalam bentuk cecair untuk semburan. Jika berlaku daun kekuningan, semburan foliar hendaklah dijalankan bagi memulihkan semula keadaan daun. Sebagai contoh seperti di bawah:

Baja organic 3:3:3

Baja foliar

Kawalan Perosak dan Penyakit

Serangga perosak yang paling umum menyerang tanaman ini adalah ulat Plutella (Plutella xylostella L.), ulat daun (Hellula undalis), ulat ratus (Spodoptera litura), dan ulat jantung kubis (Crocidolomia binotalis). Sebagai langkah untuk mengawal perosak ini, kerja-kerja semburan racun serangga organik hendaklah dilakukan pada 3-5 hari selepas penanaman.

Kadar kekerapan yang disyorkan bagi program ini adalah seminggu sekali pada peringkat awal tanaman sehingga 4-6 minggu selepas penanaman dijalankan. Untuk kawalan pada tahap maksimal, disyorkan menggunakan racun serangga organik biopestisida yang berasaskan Bacillus thuringiensis sebagai pendekatan yang lebih mesra alam dalam kawalan perosak seperti dinyatakan.

Manakala dari segi penyakit pula, antara penyakit utama yang menyerang tanaman kubis adalah penyakit reput daun, kulapuk putih ataupun kulat, dan reput pangkal. Untuk mengenalpasti kehadiran penyakit ini, pemerhatian secara teliti terhadap serangan penyakit hendaklah dilakukan pada setiap minggu .Cara yang paling mudah bagi menangani masalah ini adalah dengan melakukan penyingkiran segera bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut ke tanaman yang lain.

Ulat plutella

Ulat plutella

Ulat jantung kobis

Ulat jantung kobis

Reput daun (Rhizoctonia solani)

Reput daun (Rhizoctonia solani)

Racun serangga organik berasaskan Bacillus thuringiensis

Racun serangga organik berasaskan Bacillus thuringiensis

Penuaian

Penuaian hasil boleh dilakukan selepas 2-3 bulan selepas penanaman. Cara penuaiannya adalah dengan memotong pada bahagian pangkal kobis menggunakan pisau. Purata berat kubis bulat yang dituai kebiasaannya sekitar 1.3kg per biji.

Penutup

Melalui aktiviti pengeluaran kubis ini, ianya juga akan membuka peluang lain iaitu sebagai sumber pendapatan tambahan bagi meningkatkan taraf hidup kepada pengusaha. Hal yang demikian, marilah kita sama-sama melaksanakan matlamat itu dengan memulakan bercucuk tanam pada masa yang sama, menyumbang kepada peningkatan sektor pertanian negara.

Diharapkan artikel cara tanam kubis ini akan membantu anda melakukan penanaman kubis yang betul

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Daun KesumBuah NagaLimau Purut
AvocadoUbi KeledekKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Rujukan:

  1. Buletin Teknologi MARDI (2019). Teknologi penanaman kubis bulat di tanah rendah secara organik.  Bil. 17: 55 – 65.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × one =

Open

Close