Adakah Penyakit Kanser Bergantung kepada Nasib?

cara mencegah kanser

“Mana ada merokok sebabkan kanser? Tengok aku ni, merokok juga, ok je, sampai ke tua ni tak dapat kanser pun.”

Ramai antara kita yang suka menggunakan alasan ‘kebetulan’ apabila sampai ke penyakit. Adakah kita hebat kerana bebas kanser walaupun mengamalkan gaya hidup tidak sihat?

Kanser adalah penyakit yang mempunyai pelbagai faktor

Kebarangkalian mendapat kanser adalah berbeza-beza mengikut individu dan latarbelakang keturunan. Seseorang boleh lahir dengan gen yang meninggikan kebarangkalian mendapat kanser, tetapi gen ini hanyalah salah satu faktor yang terlibat dalam permulaan pertumbuhan sel kanser.

Contohnya, gen yang bernama BCR-ABL telah dikenalpasti bertanggungjawab untuk leukemia yang dikenali sebagai chronic myeloid leukemia. Namun, gen ini boleh didapati dalam satu pertiga orang dewasa yang sihat yang tidak akan pernah mendapat kanser.

Kanser penyakit nasib?

Jadi kenapa dua orang yang mempunyai gen pembawa kanser yang sama – seorang mendapat kanser, dan seorang lagi tidak? Adakah hanya sekadar nasib?

Kajian demi kajian telah mendapati, faktor genetik sahaja tidak cukup untuk menyebabkan kanser. Faktor persekitaran, terutamanya gaya hidup tidak sihat termasuk pemakanan yang tidak sihat, obesiti dan gaya hidup tanpa senaman boleh menyumbang kepada pembangunan sel-sel kanser. Semua faktor ini yang memberi persekitaran optimum untuk menyebabkan sel pembawa gen kanser bertukar menjadi sel kanser yang bahaya. 

Misalan sel kanser dengan biji benih

Sel pembawa gen kanser boleh disamakan dengan satu biji benih. Biji benih kalau ditanam sahaja tanpa tanah yang sesuai, air yang cukup dan cahaya yang diperlukan – kekal menjadi satu biji benih. Ia tidak akan tumbuh secara optimum. Malah, kehadiran air dan tanah sahaja tanpa cahaya juga, tidak akan membolehkan biji benih mencapai potensi pertumbuhan yang sepenuhnya. Kesemua elemen ini, berfungsi bersama-sama untuk mombolehkan benih ini menjadi pokok.

Sama seperti sel pembawa gen kanser. Jika tiada rangsangan pertumbuhan, ia kekal menjadi sel pembawa sahaja, tidak menjadi kanser. Jika dibekalkan dengan elemen-elemen yang menggalakkan pertumbuhannya, ia berpotensi menjadi sel kanser. Apakah elemen-elemen rangsangan dari persekitarannya yang diperlukan untuk ia menjadi kanser yang berbahaya? Keradangan kronik adalah salah satu daripanyanya.

Apa itu keradangan kronik (Chronic inflammation)

Selama ini, bila kita dengar terma ‘keradangan’, kita bayangkan fenomena seperti bengkak, sakit, kemerah-kemerahan dan kepanasan di tempat yang berkenaan. Ala, macam kalau naik gatal-gatal sebab alahan makanan tu.

Keradangan kronik adalah lebih kepada apa yang berlaku di dalam sel, ia berlaku tanpa kesan fizikal nyata pada luaran badan. Pemakanan tidak sihat, kehadiran terlalu banyak tisu lemak dari berat badan berlebihan atau ketidakaktifan fizikal kesemuanya boleh menyebabkan keradangan kronik, lalu mengubah persekitaran sel gen pembawa kanser ini.

Bagaimana keradangan kronik menyebabkan kanser

Sebagai contoh, keradangan kronik yang berlaku kerana obesiti boleh menyebabkan pengaktifan sel-sel radang (inflammatory cells) dan penghasilan radikal bebas oksigen dan nitrogen yang merosakkan DNA. Radikal-radikal bebas ini juga boleh menganggu kebolehan badan untuk membaiki DNA yang rosak semasa pembahagian sel. Sel-sel radang ini juga bertanggungjawab untuk merekrut saluran darah baru di sekeliling tumor untuk membantu membiakkan sel-sel kanser.

Mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat lebih berpotensi merencat sel pembawa gen kanser daripada bertumbuh secara bahaya. Manakala, pendedahan berterusan kepada bahan penyebab kanser seperti tembakau dan alkohol hanya menjadi pemangkin penukaran status sel pembawa gen kanser ini. Ejen-jen karsinogenik ini boleh menyerang DNA secara langsung dan menyebabkan kesilapan pengekodan DNA semasa pembahagian sel.

Ironinya, walaupun masyarakat kita benar-benar takut dengan perkataan kanser, gaya hidup kita tidak terarah kepada mencegah penyakit ini.

10 Cara untuk mencegah kanser secara berkesan

Ini adalah senarai rekomendasi untuk mencegah kanser dari World Cancer Research Fund dan The American Cancer Society. Rekomendasi ini adalah hasil dari penilaian menyeluruh kajian-kajian kanser yang terkini. Impak positif rekomendasi ini telah juga dikaji, dan hasilnya termasuk penurunan 60% risiko kanser payudara di kalangan wanita menopaus. Pematuhan kepada rekomendasi ini juga menunjukkan penurunan kematian di kalangan pesakit kanser payudara dan kanser prostat.

10 rekomendasi ini adalah:

1. Kekalkan berat badan yang sihat

Berat badan yang berlebihan atau obesiti adalah penyebab untuk 12 jenis kanser, termasuk kanser pankreas, hati, kolorektum, payudara (selepas menopause), buah pinggang dan endometrium. Angka ini menakutkan kerana ia adalah lima kali ganda dari jumlah kanser yang disebabkan oleh obesiti, sedekad yang lalu.

2. Aktif secara fizikal – berjalan, senaman

Aktiviti fizikal – lebihkan berjalan, kurangkan hanya duduk di satu tempat – membantu mengurangkan kenaikan berat badan. World Health Organization (WHO) mencadangkan untuk kekal aktif setiap hari, dengan meluangkan 150 minit seminggu untuk aktiviti fizikal yang sederhana. Ini termasuk berjalan, berbasikal, berkebun, berenang atau menari.

3. Amalkan pemakanan wholegrain, sayur, buah dan kekacang

Makanan-makanan ini mempunyai efek pelindung terhadap pelbagai jenis kanser, terutamanya kanser yang melibatkan sistem penghadaman. Makanan yang tidak diproses ini kaya nutrien dan serat, dan pengambilan sebanyak 400g sehari adalah disarankan.

4. Kurangkan makanan segera (fast foods)

Terdapat bukti kuat bahawa makanan segera dan makanan terproses yang tinggi lemak, kanji dan gula menyebabkan kenaikan berat badan dan obesiti kerana ia meninggikan risiko pengambilan kalori perlebihan.

5. Kurangkan makan daging merah dan daging terproses

Semua daging haiwan mamalia termasuk daging lembu, sapi, babi, kuda dan kambing adalah daging merah. Daging merah adalah sumber protein dan zat besi, maka pengambilannya dicadangkan untuk dihadkan sebanyak tiga kali seminggu. Manakala daging terproses seperti salami, bacon, sosej dan nugget harus sangat dielakkan.

6. Kurangkan minuman bergula

Seperi makanan segera, minuman bergula menggalakkan pengambilan kalori yang berlebihan, berbanding penggunaan kalori tersebut.

7. Kurangkan pengambilan alkohol

Untuk mencegah kanser, tidak mengambil alkohol adalah langkah paling baik. Bukti menunjukkan bahawa minuman beralkohol dari semua jenis mempunyai kesan yang sama terhadap risiko kanser.

8. Tidak menggunakan supplement untuk mencegah kanser

Untuk pencegahan kanser, adalah digalakkan untuk mencukupkan keperluan nutrien dengan makanan sebenar (real food), berbanding supplement. Kajian ujian terkawal secara rawak (randomised controlled trials) menunjukkan supplements dengan dos yang tinggi tiada kesan pelindung terhadap risiko kanser.

9. Penyusuan susu ibu, jika boleh

Terdapat bukti kukuh yang menyokong peranan penyusuan susu dalam melindungi daripada kanser payudara. Ia juga melindungi anak tersebut dari kenaikan berat badan dan obesiti,  yang menjadi risiko besar kanser kelak.

10. Jika didiagnosis dengan kanser, teruskan mengamalkan rekomendasi ini

Untuk pesakit kanser atau yang telah bebas kanser, rekomendasi ini masih digalakkan untuk mengawal penyakit tersebut.

‘Nasib’ yang boleh dikawal

Maka nyatalah, kanser bukan sekadar sekadar penyakit nasib. Apa yang lebih meningkatkan kebarangkalian mendapat kanser adalah, interaksi gen dengan keadaan sekelilingnya –dan keadaan ini berpunca kebanyakannya, dari faktor-faktor dalam kawalan kita. Kita tidak boleh kawal di dalam keturunan manakah kita dilahirkan, kita tidak boleh kawal kod genetik yang sedia ada dalam badan. Tapi, kita boleh kawal berat badan, amalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

Rujukan:

  1. Beliveau R, Gingras D. Preventing Cancer: Reducing the Risks. Canada: Firefly Books; 2015.
  2. Iyengar NM, Gucalp A, Dannenberg AJ, Hudis CA. Obesity and Cancer Mechanisms: Tumor Microenvironment and Inflammation. J Clin Oncol. 2016;34(35):4270-4276.
  3. World Cancer Research Fund. 2020Cancer Prevention Recommendations. [online] Available at: https://www.wcrf.org/dietandcancer/cancer-prevention-recommendations  [Accessed 15 August 2020].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.