BIM. Ke Arah Transformasi Industri Pembinaan. Apa Yang Anda Perlu Tahu?

bim

Pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modelling (BIM) telah diperkenalkan di Malaysia seiring dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) negara. BIM digambarkan sebagai teknologi penting dalam industri pembinaan. Ia dilihat mampu meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dan kualiti proses pembinaan. BIM juga dikatakan dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan, mewujudkan komunikasi yang berkesan di antara pasukan projek yang terlibat, mengatasi masalah kelewatan dan mengurangkan kos projek.

Sejarah BIM

Mari kita selusuri asal usul BIM. Konsep BIM pertama kalinya diperkenalkan oleh Eastman pada tahun 1970-an [1]. Namun, penggunaan istilah BIM hanya mula dipopularkan oleh Autodesk pada tahun 2002 [2]. Impak BIM yang memberangsangkan, telah menarik minat banyak negara di seluruh dunia untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi BIM termasuklah Malaysia. Maka dengan itu, pada tahun 2007, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mencadangkan untuk memperkenalkan BIM di Malaysia [3].

Seterusnya, pada tahun 2010, projek kerajaan pertama yang menggunakan teknologi BIM, iaitu Institut Kanser Nasional, Sepang, diumumkan. Usaha murni terus dipergiatkan lagi apabila pada tahun 2013, CIDB telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu BIM Malaysia untuk memudahkan pelaksanaan BIM di negara ini [4]. Di samping itu, CIDB juga telah memulakan Malaysia BIM Roadmap untuk memperkenalkan BIM dalam industri pembinaan, dengan menyasarkan lebih banyak pelaksana BIM menjelang tahun 2020 [5].

Apa itu BIM?

Tahukah anda apa itu BIM? BIM sebenarnya adalah teknologi pemodelan yang berfungsi sebagai satu set proses perkongsian pengetahuan berkaitan keseluruhan proses projek pembinaan. Ia memerlukan penyertaan semua ahli pasukan projek daripada pelbagai disiplin. Proses BIM merangkumi skema perkongsian berstruktur dan pengurusan maklumat digital sepanjang kitaran hidup projek pembinaan.

Kitaran hidup BIM (Sumber: iFluids Engineering, 2015)

Tahap kematangan BIM

Bagaimana prestasi pelaksanaan BIM diukur? Prestasi pelaksanaan BIM diukur berdasarkan tahap kematangan BIM. Kumpulan BIMTask telah membina model untuk kematangan BIM. Model ini bertujuan untuk menjelaskan tahap prestasi yang diharapkan dan untuk membimbing kolaborasi antara anggota pasukan projek. Ia dijadikan panduan untuk mengintegrasi BIM dalam projek dan kontrak pembinaan. Berikut adalah tahap dari 0 hingga 3 kematangan BIM:

Tahap 0

Tahap ini mempromosikan sifar kolaborasi dan menggunakan teknik penghasilan CAD 2D berasaskan kertas. Matlamat utama adalah untuk menghasilkan maklumat pengeluaran dalam bentuk kertas atau cetakan elektronik. Kini, tahap ini telah jarang digunakan.

Tahap 1

Data dikendalikan secara maya dalam CAD 3D dan 2D. Ketika ini, 3D CAD digunakan untuk kerja-kerja konseptual, manakala 2D digunakan untuk penghasilan dokumentasi kelulusan berkanun dan maklumat pengeluaran. Perkongsian data berlaku secara elektronik menggunakan persekitaran data yang sama. Kerjasama antara pasukan projek adalah sifar atau rendah kerana setiap orang membuat dan mengurus data mereka sendiri.

Tahap 2

Pada tahap ini, model 3D dan maklumat bangunan yang dibangunkan secara maya dikongsi bersama dengan semua pasukan projek melalui pangkalan data yang sama. Kerja kolaboratif adalah aspek yang membezakan tahap ini dengan tahap-tahap sebelumnya, di mana tahap 2 memerlukan pertukaran maklumat yang diperkemas berkaitan dengan projek dan koordinasi yang lancar antara semua sistem yang digunakan.

Tahap 3

Tahap 3 didasarkan pada piawaian terbuka. Tahap ini membolehkan semua peserta mengerjakan model yang sama secara automatik. Ia akan menghilangkan kemungkinan maklumat bertentangan. Untuk mencapai tahap 3, pasukan projek disarankan menggunakan penyelesaian bersepadu yang dibina berdasarkan standard terbuka seperti Industry Foundation Classes (IFC) di mana hanya satu server sahaja yang akan digunakan untuk menyimpan semua data projek. Selain daripada itu, tahap ini juga disebut sebagai iBIM atau BIM yang terintegrasi.

Model tahap kematangan BIM (Sumber: Bew and Richard, BIMTaskGroup, 2011)

Manfaat BIM

Secara teorinya manfaat BIM dapat dibahagikan kepada lima peringkat dalam kitaran hidup projek pembinaan iaitu [6]:

  • Peringkat konseptual

Pada peringkat ini digambarkan model bangunan akan memberikan visualisasi yang lebih baik kerana dapat memberikan jangkaan keadaan tapak seawal sebelum pembinaan dijalankan. BIM dapat mengesan pertembungan, melakukan penilaian yang tepat dan ia menjadi asas yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan walaupun masih di peringkat awal pembinaan.

  • Peringkat reka bentuk perincian

Peringkat ini dijangka akan dapat mengurangkan kesilapan reka bentuk seterusnya ia meningkatkan potensi penjimatan masa dan kos projek pembinaan.

  • Peringkat dokumentasi

Koordinasi dapat dipertingkatkan, mengurangkan pembaziran dan ia secara teorinya dapat meminimumkan pertikaian undang-undang.

  • Peringkat pembinaan

Kawalan kualiti pembinaan dijangka dapat dipertingkatkan dan projek pembinaan digambarkan berjalan mengikut jadual yang dirancang. Ia menyebabkan projek dapat diserahkan tepat pada waktunya.

  • Peringkat pengurusan binaan

Memberikan kemudahan penyelenggaraan bangunan melalui anggaran kos awal bagi peringkat pengurusan binaan dan maklumat yang tepat daripada model BIM.

Cabaran BIM

Realitinya pelaksanaan BIM terganggu dan tidak berjalan semudah yang dirancang. Cabaran dalam pelaksanaan BIM melibatkan beberapa faktor, di antaranya adalah keserasian di antara ahli pasukan projek, kebolehpercayaan, keengganan untuk berubah dan kekurangan persediaan melaksanakan teknologi BIM yang mana semua ini akan menyebabkan berlakunya pertikaian antara pasukan projek. Halangan budaya untuk menggunakan teknologi baru telah mewujudkan mentaliti silo di kalangan ahli pasukan projek. Dengan kewujudan mentaliti sebegini, ia menyebabkan manfaat BIM tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Di manakah kurangnya? Adakah kita terlalu selesa dengan cara lama yang menyebabkan kita tidak berani untuk berubah?

Kita seharusnya sedar, negara sangat memerlukan pelaksana sektor pembinaan yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menyesuaikan diri dengan cara proses kerja BIM. Tahukah anda negara telah mengeluarkan belanja yang besar dengan memberi subsidi untuk latihan BIM dan juga menyediakan dana untuk transformasi BIM? Selain daripada itu, pihak berwajib telah menyediakan platform latihan khusus bagi mempersiapkan personel BIM yang mahir dan terlatih. Pelbagai inisiatif bagi mempromosikan BIM turut giat dijalankan seperti BIM Day, jerayawara, mengadakan sesi penglibatan industri dan memperhebatkan promosi di platform dalam talian.

Secara tuntasnya, untuk menikmati manfaat BIM, ia memerlukan usaha daripada pelbagai pihak. Bukan hanya daripada pihak berwajib yang dipertanggungjawabkan, malah ia turut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada pasukan projek dan pelaksana sektor pembinaan yang terlibat. Pakar-pakar pemikir juga dituntut untuk sama-sama membantu menyumbangkan aspirasi bernas serta berkualiti dengan berganding bahu bersama industri bagi menghasilkan formula-formula kejayaan BIM di Malaysia. Insya Allah cepat atau lambat, kita bakal merealisasikannya.

Rujukan:

[1] C. Eastman, P. Teicholz, R. Sacks, and K. Liston, Handbook A guide to Building Information Modeling. 2011.

[2] D. Holzer, “Best Practice BIM,” in The BIM Manager’s Handbook, 2016.

[3] N. Kasim, N. A. Zainal Abidin, R. Zainal, N. Sarpin, M. H. I. Abd Rahim, and M. Saikah, “Best practices of Building Information Modelling (BIM) implementation in design phase for construction project,” IOP Conf. Ser. Mater. Sci. Eng., vol. 271, no. 1, 2017, doi: 10.1088/1757-899X/271/1/012038.

[4] Ahmad Tarmizi, A. Marshall-Ponting, M. N. Mohd Nasrun, and I. Mohd Harris, “Building information modelling : A case study approach to identify readiness criteria for process requirement,” Am. J. Sustain. Agric., vol. 8, no. 7, pp. 85–91, 2014.

[5] Construction Industry Development Board, Construction Industry Transformation Programme 2016 – 2020. 2015.

[6] CREAM, “Malaysian Construction Research International Conference on Applied,” Malaysian Constr. Res. J., vol. 3, no. special issue No.1, pp. 1–9, 2018. [7]        Video telah di link kepada: https://www.youtube.com/watch?v=suNadRnHy-U

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.