Adakah Bayi Pramatang Mati Awal Tanpa Inkubator?

bayi-pramatang-inkubator

Bagi seorang ibu yang telah berjuang untuk melahirkan buah hati tercinta mereka, pastinya mereka inginkan bayi dalam keadaan sihat dan sempurna di mata mereka. Tapi bagaimana pula jika mendapati bayi mereka lahir secara pramatang?

Seperti yang kita tahu, bayi kelahiran pramatang ataupun ‘bayi yang belum cukup bulan’ ini ialah bayi yang keluar awal daripada tarikh yang telah ditetapkan ataupun lahir sebelum 42 minggu kehamilan.

Kebiasaannya bayi kelahiran pramatang ini mempunyai komplikasi yang lebih tinggi daripada bayi yang lahir sesuai pada masanya. Persoalannya, berapa lamakah jangka hayat bagi bayi ini dan adakah inkubator boleh menyelamatkan nyawa bayi ini?

Bayi Pramatang

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bayi yang dianggap kelahiran pramatang jika dia dilahirkan dalam tempoh 22 – 37 minggu kehamilan dengan berat mencapai 500g – 2500g dan ketinggian bayi mencecah 25cm – 40 cm. Bagi bayi yang lahir ≧24 minggu kehamilan sebenarnya sudah cukup matang untuk hidup diluar rahim walaupun bayi harus dirawat dengan lebih lama dalam Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) dengan menggunakan mesin inkubator. Manakala, bagi bayi yang ≦23 minggu kehamilan biasanya agak sukar untuk hidup diluar.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bayi kelahiran pramatang, antaranya :

  • Air ketuban terlalu sedikit / banyak.
  • Masalah uri di bawah dan kedudukan uri di depan pintu rahim.
  • Ibu yang mengalami masalah tidak cukup zat ketika hamil.
  • Ibu yang pernah melahirkan bayi pramatang (kebarangkalian 20-40% untuk dapat masalah ini untuk kali ke-2).
  • Jangkitan kuman di bahagian peranakan atau jangkitan saluran air kencing

Jangka Hayat Bayi Pramatang

Kajian menunjukkan setiap tahun kira-kira 5-18 peratus iaitu hampir 15 juta daripada bayi yang dilahirkan diseluruh dunia adalah pramatang dan lebih 1 juta daripada mereka mati setiap tahun akibat komplikasi. Bukan itu sahaja, bilangan ini semakin lama semakin bertambah rentetan perubahan gaya hidup masyakat kini.

Dalam kajian lain pula menunjukkan bahawa banyak daripada bayi pramatang yang mati sebelum mencapai umur sebulan. Dimana 80-90% bayi yang lahir kurang daripada 26 minggu kehamilan. Manakala, 60-70% bayi yang lahir pada 27 dan 28 minggu kehamilan. Hal ini disebabkan banyak komplikasi yang terjadi pada bayi ini, antaranya :

1. Komplikasi pendarahan bahagian otak

Bayi yang lahir kurang 28 minggu akan mengundang pendarahan yang serius pada otak yang boleh menyebabkan kecederaan kekal bagi otak bayi serta memberi kesan pengumpulan cecair dalam otak(hydrochepalus). Bagi bayi mempunyai pengumpulan cecair dalam otak, sesetengah daripadanya memerlukan pembedahan bagi mengeluarkan cecair tersebut.

2. Komplikasi Pernafasan

Masalah ini memang biasa tetrjadi kepada bayi pramatang kerana sistem pernafasan dan paru-paru mereka kurang matang dan ia akan menyebabkan kekurangan oksigen untuk badan mereka.

3. Komplikasi Jantung

Masalah jantung yang biasanya berkaitan dengan Paten Ductur Arteriosus (PDA) dimana terdapat pengaliran darah yang tidak normal yang berlaku diantara dua arteri utama jantung dan menyebabkan darah yang kurang oksigen bercampur dengan darah yang kaya dengan oksigen.

Jika dibiarkan jantung bayi akan bengkak dan semakin lama fungsi jantung tersebut akan terganggu dan menyebabkan kegagalan jantung. Selain itu, bayi akan hadapi tekanan darah rendah (hypotension).

4. Komplikasi Darah

Kebiasaannya masalah yang terdapat dalam darah bayi ini adalah anemia (tidak cukup sel-sel darah merah) dan juga penyakit kuning.

Mesin Inkubator

Mesin penyambung nyawa ini dikenali sebagai mesin inkubator dimana ia berfungsi untuk merawat bayi pramatang mengikut tempoh sehingga bayi tersebut matang. Selain itu, mesin ini boleh dianggap seperti bayi yang berada di dalam perut ibu. Jikalau bayi lahir dari perut ibu ketika 6 bulan kehamilan, maka bayi akan diletakkan di dalam mesin ini selama 3 bulan sehingga tarikh kelahiran biasa ataupun sehingga berat bayi mencapai berat normal. Tetapi ia juga melihat kepada keadaan bayi tersebut dari semasa ke semasa. Jadi, jika bayi tidak dirawat dalam inkubator, hayat bagi bayi tersebut sangatlah singkat.

Secara fizikalnya inkubator ini berbentuk seperti kotak yang diperbuat daripada plastik lutsinar. Mesin ini membantu bayi agar terhindar dari jangkitan bakteria, suasana bising serta menjaga tubuh bayi agar sentiasa dalam suasana hangat. Jadi, terdapat beberapa sebab mengapa bayi pramatang memerlukan mesin ini, antaranya :

1. Menjaga Suhu Tubuh Bayi

Bayi kelahiran pramatang tidak memiliki lapisan lemak yang cukup untuk mengawal suhu badan mereka dengan baik. Jadi, mereka perlu segera dimasukkan ke dalam inkubator supaya terhindar daripada udara yang sejuk.

2. Membekalkan Oksigen

Seperti yang kita tahu, bayi pramatang selalunya akan mengalami masalah pernafasan saat lahir. Maka, dalam situasi ini, alat bantuan pernafasan dapat digunakan pada inkubator agar oksigen dapat dibekalkan kepada bayi dengan secukupnya.

3. Mengubati Penyakit Kuning

Rawatan cahaya fototerapi digunakan untuk mengurangkan komplikasi penyakit kuning pada bayi. Terapi ini digunakan untuk mengurangkan jumlah pigmen kuning (bilirubin) di dalam tubuh bayi.

Kesimpulan

Maka, penjagaan kesihatan amatlah perlu dititikberatkan agar dapat mengurangi berlakunya kelahiran bayi pramatang dikalangan masyarakat kita dan jika anda memiliki anak pramatang, mintalah nasihat daripada pakar kesihatan untuk rawatan yang lebih lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.