Apakah itu Body Shaming dan Kesannya?

Kecam badan atau body shaming

Body Shaming juga dikenali sebagai Kecam Badan mengikut Kamus Dewan Bahasa. Perkara ini kerap berlaku di tempat kerja dan terkadang kita pun tidak mengetahui bahawa perbuatan kita itu adalah body shaming. Artikel ini akan membicangkan secara lengkap berkenaan Body Shaming ini.

“Makin bambam la awak sekarang! Kena bersenam selalu ni bagi kurus sikit.”

“Eeeee kurus sangat awak ni. Kenapa tak makan banyak-banyak lagi? Bagi berisi sikit, baru sihat!”

Ayat-ayat ini mungkin antara ayat yang pernah kita dengari dari semasa ke semasa. Kadang-kadang, setiap hari kita dengar ungkapan ini. Bahkan, kita sendiri mungkin antara penutur-penutur ayat-ayat ini. Sedar atau tidak, ayat-ayat yang disebut di awal artikel ini merupakan contoh-contoh body shaming yang berlaku setiap hari.

Body shaming berlaku apabila seseorang diejek atau direndahkan dengan komen-komen tertentu akibat tidak memenuhi standard masyarakat untuk mempunyai tubuh badan yang “sempurna”. Komen-komen yang diberikan nampak seperti “nasihat” dan disampaikan dengan niat yang baik, agar mereka lebih “bermotivasi” untuk menjadi lebih sihat, tetapi secara sedar atau tidak, tindakan itu sebenarnya memberikan kesan yang negatif. Body shaming berlaku dalam masyarakat kita lebih kerap dari apa yang kita sedari, dan lebih malang, isu ini dianggap “biasa” dan tidak salah.

Salah seorang guru yang sangat saya hormati pernah menyampaikan pesan beliau kepada saya, kita perlu membetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul. Saya sangat setuju dengan kenyataan ini dan ia juga terpakai untuk isu body shaming ini. Isu ini tidak sepatutnya dibiasakan, sebaliknya dibetulkan. Sekiranya kita melihat body shaming berlaku di media sosial atau di sekeliling kita, tidak sepatutnya kita hanya diam dan membiarkan sahaja orang yang melakukan perbuatan berunsur body shaming itu terus dengan perbuatan mereka. Penting untuk kita menyatakan kepada mereka bahawa perbuatan itu adalah salah dan tidak sepatutnya dibiasakan, sama seperti respon kita apabila melihat perbuatan-perbuatan negatif lain seperti mencuri atau menipu. Dengan cara ini, lebih ramai akan menyedari bahawa komen-komen mereka berkaitan tubuh badan atau perwatakan seseorang adalah tidak patut. Tambahan lagi, apabila kita hanya mendiamkan diri, ia sama seperti kita bersetuju dengan perbuatan itu dan secara tidak langsung, kita menggalakkan perbuatan tersebut.

Body shaming sering disalah faham sebagai berlaku hanya kepada mereka yang mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada orang lain. Kerap kali kita menganggap komen seperti “kurus sangat kau ni!” adalah tidak salah, bahkan mereka sepatunya menerima komen tersebut sebagai satu “pujian”. Tanggapan ini adalah salah sama sekali. Komen tersebut adalah sama dengan mengatakan “gemuknya kau ni, kena kurangkan makan ni”. Kedua-duanya adalah body shaming kerana selalunya penerima komen tersebut tidak senang dengan komen yang diberikan dan memberikan kesan negatif kepada diri mereka.

Kesan-kesan Body Shaming Kepada Mangsa

Salah satu tanggapan yang salah berkenaan body shaming ialah, kita menganggap komen-komen yang kita berikan itu akan menjadi satu “motivasi” kepada mereka untuk mencapai tubuh badan yang “sempurna” pada pandangan masyarakat. Sebaliknya, body shaming akan banyak memberikan kesan negatif kepada mangsa. Antaranya:

  1. Perbuatan body shaming akan menyebabkan mangsa lebih stres dan mungkin akan terlibat dengan gejala “stress eating” di mana ia boleh menyebabkan peningkatan berat badan
  2. Merendahkan self-esteem dan keyakinan diri seseorang, dan meningkatkan ketidakpuasan imej dan tubuh badan (body and weight dissatisfaction) dan insecurities mangsa
  3. Menerima komen body shaming yang terlalu kerap boleh menyebabkan social anxiety. Mangsa akan menjadi tidak selesa untuk bergaul dengan orang lain dan sangat malu dengan penampilan mereka.
  4. Meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan (depression)
  5. Meningkatkan risiko eating disorder seperti bulimia dan aneroxia

Bagaimana seseorang mengatasi body shame dan menjadi lebih yakin dengan penampilan diri?

Tidak dinafikan, perkara ini adalah sangat sukar untuk kita atasi, lebih-lebih lagi apabila ia turut berlaku dalam keluarga kita sendiri tanpa kita sedari. Ahli keluarga kita dan teman-teman yang rapat mungkin adalah orang yang paling kerap mengeluarkan komen-komen body shaming ini dan menjadikan situasi tersebut sangat sukar bagi kita yang megakibatkan diri semakin hari semakin tidak suka dengan tubuh badan sendiri. Kadang kala, kita sendiri melakukan body shaming kepada diri kita dengan menyebut komen-komen negatif kepada diri sendiri.

Walaupun ada sesetengah kes yang mana ibu bapa mereka sangat berhati-hati untuk tidak melakukan body shaming kepada anak-anak mereka, kadang-kadang perbuatan body shaming itu dilakukan kepada diri mereka sendiri di hadapan anak-anak. Seperti contoh, tidak menghalang anak-anak untuk makan apa-apa sahaja, tapi diri mereka sendiri tidak makan kerana risau diri mereka semakin berisi dan tidak menarik. Situasi ini secara tidak langsung memberikan mesej halus kepada anak-anak yang belajar dari perbuatan mereka. Selain itu, peer pressure, atau tekanan daripada rakan-rakan, sama ada dalam bentuk usikan atau ejekan boleh juga memberikan kesan kepada mangsa.  Jadi, bagaimana untuk mengatasi body shame dalam diri kita sendiri?

Terima diri kita seadanya

Kedengaran seperti klise tetapi, perkara pertama sekali untuk kita menjadi lebih yakin dengan diri sendiri ialah dengan menerima keadaan diri kita seadanya. Setiap daripada kita mempunyai tubuh badan yang berbeza dari yang lain. Kita adalah unik. Mungkin rakan kita mempunyai rangka tubuh badan yang lebih kecil menyebabkan beliau kelihatan lebih kurus, kita mempunyai badan yang lebih “curvy”, orang lain mempunyai bahu yang bidang, dan sebagainya. Metabolisme kita lebih kurang dari orang lain dan pelbagai lagi perkara yang berbeza dalam kalangan kita. Makanya, adalah lebih baik untuk kita menerima dan bersyukur dengan tubuh badan kita.

Walau bagaimanapun, menerima tubuh badan kita seadanya tidak bermakna yang kita tidak berusaha untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih sihat kerana Islam mengajar kita untuk menjaga tubuh badan dan kesihatan agar kita boleh melakukan ibadah dengan sempurna. Kita masih lagi berusaha untuk menjaga tubuh badan dan kesihatan tetapi kali ini, kita melakukannya dan pada masa yang sama, masih menyayangi dan menghargai diri kita, sambil menikmati proses kita untuk menjadi lebih sihat.

Mempraktiskan Self-Compassion

Setiap hari kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan dan cabaran yang akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental kita, dan body shaming adalah salah satu daripadanya. Oleh itu, antara cara untuk kita mengharungi hari-hari yang mendatang ialah dengan mempraktiskan self-compassion kepada diri kita. Tiada yang lain yang sepatutnya menyayangi diri kita lebih daripada diri kita sendiri. Self-compaasion ialah apabila kita berbuat baik kepada diri kita, mengambi berat dan memahami diri sendiri. Antara cara untuk mempraktiskan self-compassion ialah:

  1. Menyedari kehadiran pemikiran-pemikiran negatif dan self-destruction yang kita ada, dan berusaha untuk membetulkan pemikiran tersebut.
  2. Dalam kita cuba mencapai pelbagai jenis objektif kita dalam kehidupan seharian, mahupun objektif jangka masa panjang, kita hendaklah menyedari bahawa adakalanya objektif yang kita hendak capai itu semestinya sangat mencabar dan kita mungkin akan mengalami kegagalan dalam perjalanan untuk mencapai objektif tersebut. It’s not entirely your fault. It’s just hard.
  3. Berlainan dengan sangkaan kita dan berdasarkan apa-apa yang dipamerkan di pelbagai media yang ada, kebanyakan daripada kita tidak hidup dalam kemewahan, sangat cantik, mempunyai tubuh badan yang sempurna, atau sentiasa gembira dan bahagia. Kebanyakan daripada kita ini hanyalah manusia biasa dan normal. Cuma yang sempurna dan gembira itu yang lebih banyak ditunjukkan oleh media.
  4. Rezeki setiap daripada kita adalah berlainan. Allah telah menetapkan untuk setiap kita rezeki masing-masing. Elakkan membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain dan fokus kepada apa yang kita ada dalam kehidupan seharian kita.
  5. Nilai diri anda tidak bergantung sepenuhnya kepada penampilan luaran anda sahaja. Fokus untuk membina keyakinan dari dalam diri anda dengan memfokuskan kepada kemahiran atau kelebihan diri anda yang lain. Selain itu, fokus kepada apa-apa pujian atau kebaikan yang telah dilakukan kepada anda oleh orang-orang yang rapat dengan anda dan menyayangi anda.

Ini cumalah sedikit contoh daripada pelbagai cara untuk mempraktiskan self-compassion. Anda boleh merujuk kepada buku-buku atau video di YouTube berkaitan dengan self-compassion untuk mengetahui dan memahami dengan lebih lanjut.

Kesimpulan

Memberi komen kepada penampilan seseorang sebagai topik perbincangan setelah lama tidak berjumpa kedengaran seperti cara yang paling mudah bagi memulakan perbualan dengan orang sekeliling kita, sama ada kita kenal atau tidak.

Namun, kita hendaklah berhati-hati agar kita tidak menyinggung perasaan mereka tanpa kita sedari dan secara tidak langsung melakukan body shaming kepada mereka. Selain daripada penampilan fizikal mereka, berikan juga perhatian kepada kesihatan mental mereka, terutamanya dalam situasi pandemik sekarang yang semestinya memberikan impak kepada kesihatan mental hampir semua orang. Marilah kita semua, kita jaga kita!

Rujukan

  1. Abrams, A. (2017, October 10). Shutting Down Body Shaming. Retrieved October 3, 2020, from Psychology Today
  2. Cantor, C. (2017, July 05). How to Overcome Body Shame. Retrieved October 3, 2020, from Psychology Today
  3. Gam, R. T., Singh, S. K., Manar, M., Kar, S. K., & Gupta, A. (2020). Body shaming among school-going adolescents: prevalence and predictors. International Journal of Community Medicine and Public Health7(4), 1324.
  4. Eckley, A. (2016, May 31). The Harmful Effects Of Body Shaming. Retrieved October 3, 2020, from The Odyssey Online
  5. Ekokotu, E. (2020, July 12). Body Shaming: The Negative Effects and Dangers. Retrieved October 3, 2020, from Healthian
  6. Engeln, R. (2018, June 29). You Don’t Have to Feel Beautiful to Care for Your Body. Retrieved October 4, 2020, from Psychology Today
  7. Stanford Alumni. (2018, January 25). 6 Ways to Exercise Self-Compassion. YouTube. https://youtu.be/1g-SD3B1jB8
  8. TEDx Talks. (2017, December 6). Have You Hated Your Body Enough Today? | Michelle Elman | TEDxCoventGardenWomen. YouTube. https://youtu.be/d88uXMWSVfU
  9. The Effects of Body-shaming on Mental Health. (2020, July 24). Retrieved October 3, 2020,
  10. Webb, J. B., Fiery, M. F., & Jafari, N. (2016). “You better not leave me shaming!”: Conditional indirect effect analyses of anti-fat attitudes, body shame, and fat talk as a function of self-compassion in college women. Body image18, 5-13.
  11. Whitbourne, S. (2014, July 26). 10 Ways to Feel Better About How You Look. Retrieved October 3, 2020, from Psychology Today
  12. Widdows, H. (2020, January 10). Be Ashamed of Body Shaming. Retrieved October 4, 2020, from Psychology Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.