Adakah Lemon berkesan untuk detox badan?

adakah lemon boleh digunakan sebagai detox

Sering kali kita dengari tentang pengambilan lemon sebagai detox. Adakah perkara ini mitos atau fakta? Artikel kali ini akan merungkai rahsia disebalik lemon.

Detoksifikasi dan pembersihan

Semua orang pasti ingin membuang toksin dalam badan bagi mendapat kesihatan yang lebih baik. Pada zaman sekarang, ramai yang mengangap dengan minum air detox seperti lemon dapat membersih dan membuang segala toksin yang terkumpul dalam badan.

Detoksifikasi adalah proses yang menyingkirkan toksin dan bahan berbahaya daripada badan.

Toksin yang dihasilkan dalam badan termasuklah asid laktik, urea dan bahan buangan daripada bakteria dalam usus. Toksin daripada sumber luar termasuklah bahan kimia dalam rokok, dadah dan arak, plumbum daripada ekzos kereta dan pencemaran udara.

Proses detoksifikasi berbeza bagi setiap individu kerana ialah dipengaruhi oleh faktor persekitaran, pemakanan, gaya hidup, status kesihatan dan genetik

Proses detox dalam badan

Tahukah anda yang sebenarnya dalam badan kita, terdapat beberapa organ yang bekerja untuk membuang toksin dan bahan kumbahan secara semula jadi. Ini termasuklah:

1. Hati

Hati merupakan organ yang paling besar dalam badan. Ia merupakan organ utama bagi proses detoksifikasi dan penapisan. Hati membantu membuang toksin daripada badan, membersihkan darah, menyimpan nutrien serta menghasilkan protein.

2. Usus besar

Fungsi utama usus besar adalah untuk menyerap air daripada makanan yang tidak dapat dihadam dan seterusnya meyingkirkan bahan buangan seperti najis.

3. Buah pinggang

Berfungsi untuk menapis darah dan penyingkiran bahan kumuhan termasuk urea dan urik asid.

4. Paru-paru

Menyingkirkan karbon dioksida melalui pernafasan

Perlukah lemon sebagai detox?

Jawapannya, TIDAK!

Seperti yang telah dijelaskan di atas, badan kita mempunyai organ yang bekerja untuk membuang toksin. Penambahan lemon sebagai detox tidak memberi kesan kepada proses ini. Tambahan pula, berdasarkan beberapa kajian, tidak ada bukti yang kukuh mengatakan bahawa lemon berperanan sebagai detox.

Cara terbaik untuk membersihkan sistem badan anda adalah dengan minum air yang cukup dan mengambil mengambil serat mengikut keperluan seharian. Ini dapat memastikan sistem pencernaan anda lebih teratur.

Tidak boleh tambah lemon sama sekali ke?

Secara umunya, lemon tidak berfungsi sebagai detox yang boleh membuang toksin dan bahan kumuhan daripada badan.

Bahan utama air lemon ialah air. Minum air secukupnya adalah bagus untuk kekal terhidrat. Jika anda menambah lemon dalam air kerana sukakan rasanya daripada air kosong dan dapat membantu anda untuk minum air secukupnya, maka boleh diteruskan.

Kebaikan Lemon

Walaupun tiada kajian kukuh yang dapat membuktikan lemon berfungsi sebagai detox, namun, lemon mempunyai khasiat tersendiri kerana mengandungi nutrien seperti Vitamin C, antioksidan dan flavonoid.

1. Mengandungi antioksidan

Antioksidan adalah satu komponen yang membantu untuk melindungi sel badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Dengan ini, ia dapat mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

2. Mengandungi flavonoid

Flavonoid adalah daripada kumpulan fitokimia yang juga mengandungi antioksidan dan juga dapat mengurangkan keradangan dalam badan.

Keradangan kronik akan meningkatkan tekanan oksidatif dan risiko penyakit seperti atritis, kanser dan kencing manis.

3. Mengandungi Vitamin C

Vitamin C merupakan vitamin yang larut air. Ia berperanan dalam meningkatkan sistem ketahanan badan, penyembuhan luka dan membantu penyerapan zat besi daripada makanan.

4. Mengurangkan risiko batu karang

Batu karang merupakan penumpukan mineral yang terkumpul dalam buah pinggang. Kompaun sitrat dapat mengurangkan risiko batu karang.

Lemon mempunyai kandungan sitrat yang tinggi dapat melindungi daripada risiko pembentukan batu karang.

Tambahan pula, batu karang juga boleh terjadi apabila seseorang itu tidak cukup pengambilan air. Justeru, pengambilan air yang cukup dapat mencegah daripada berlakunya batu karang, tidak kira ada ditambahn lemon di dalamnya atau tidak.

Kesimpulan

Penambahan lemon dalam air tidak memberi kesan kepada proses detoksifikasi dalam badan. Organ kitalah yang berfungsi untuk membuang toksin dan bahan buangan dalam badan.

Namun, lemon yang ditambah dalam air mempunyai khasiatnya kerana ia mengandungi komponen dan nutrien seperti antioksidan, flavonoid, vitamin C, dan juga mengurangkan risiko batu karang.

Penambahan lemon ada salah satu cara bagi menambah rasa dalam air dan juga memberi kesegaran, apa lagi apabila minum air lemon sejuk pada hari panas. Ia juga membantu anda untuk kekal terhidrat.

Akhir sekali, minum air secukupnya adalah penting kerana ia bukan sahaja mengekalkan dehidrasi, tapi dapat membantu untuk melancarkan proses penghadaman dan pembuangan toksin dalam badan.

Rujukan

  1. “Detoxes” and “Cleanses”: What You Need To Know. (n.d.). Retrieved September 27, 2020, from National Institutes of Health, US
  2. Foroutan, R. (n.d.). Whats the Deal with Detox Diets. Retrieved September 27, 2020, from Eatright
  3. Heitz, D. (2018, August 07). Should You Try the Lemon Water Detox? Retrieved September 27, 2020, from Healthline
  4. Kandola, A. (2019, March). Lemon detox diet: Does it work and is it safe? Retrieved September 27, 2020, from Medical News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.