Cara Tanam Pokok Buah Naga yang betul

cara tanam pokok buah naga

Tahu makan tapi tidak tahu cara menanamnya? Melalui artikel ini, kita akan mengupas cara tanam pokok buah naga yang betul dan berkesan dalam pelbagai aspek penting bagi tujuan penanaman buah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Penyediaan Kawasan
  3. Penyediaan Anak Benih
  4. Penanaman di Ladang
  5. Pembajaan
  6. Pemangkasan
  7. Pengairan
  8. Pengurusan Perosak dan Penyakit
  9. Penuaian

Pengenalan

Buah naga berasal dari Amerika Selatan dan termasuk di dalam keluarga kaktus ataupun Cactaceae. Ianya merupakan sumber makanan berkhasiat yang semakin terkenal di Asia termasuk Malaysia. Buah ini mempunyai pelbagai manfaat bagi kesihatan manusia seperti mengimbangi gula dan kolestrol dalam darah, bagus untuk kesihatan mulut, mencegah kanser, dan sebagainya. Ianya juga kaya dengan vitamin C, asid lemak dan fosforus. Sebelum memulakan penanaman buah ini, keperluan asasnya perlulah dipenuhi bagi menjamin pengeluaran dan kualitinya. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Suhu yang ideal bagi tanaman ini adalah dalam lingkungan 20 – 30°C dengan pencahayaan sinaran matahari optimum selama 7 jam sehari.
  • Taburan hujan di antara 500 – 1,500 mm setahun.
  • pH yang sesuai adalah antara 6-7 ataupun beralkali.
  • Bagi jenis tanah pula ialah tanah berpasir dan tanah loam berpasir.

Penyediaan Kawasan

Pertama sekali, lubang perlu ditabur dengan campuran seperti kapur, baja organic dan baja CIRP bagi menyuburkan semula keadaan tanah. Cara mudah mendapatkan pengiraan yang tepat adalah dengan dengan nisbah 2 tan kapur: 1.25 kg/h: 50 gram/pokok CIRP pada setiap lubang sebelum proses penanaman.

Tidak menjadi masalah sekiranya persekitaran yang tidak mempunyai lindungan. Saiz lubang adalah 45 cm x 45 cm x 60 cm dan tiang sokongan berukuran 1.8 m x 12 cm x 12 cm ditanam sedalam 60 cm. Jarak tanaman tiang sokongan adalah 3.3 m x 3.3 m dan para perlu ditempatkan pada setiap tiang sokongan. Para tersebut bertujuan untuk menyokong batang yang akan menjalar. Akhir sekali, pastikan tanah digembur sekeliling tiang seperti busut.

Penyediaan Anak Benih

Bagi tujuan penyediaan anak benih, ianya boleh dilakukan samada dengan 2 cara iaitu:

  1. Semaian biji
    • Ambil biji buah naga daripada buahnya.
    • Keringkan dan semai biji benih di atas kertas atau tisu lembab sehingga bercambah.
    • Sediakan media tanaman dengan campuran tanah dan baja kompos dengan nisbah 1:1 ataupun 1 bahagian tanah campur dengan 1 bahagian baja kompos.
    • Kemudian taburkan benih yang telah bertunas tadi pada media tanaman.
    • Timbuskan tanaman tersebut dengan tanah dan pastikan disiram secukupnya.
    • Pindahkan ke dalam polibag sekiranya pokok telah besar.
  2. Keratan batang
    • Potong secara melintang serta rata bersih tanpa luka dan potongan mesti licin dengan menggunakan parang yang tajam.
    • Ukuran keratan adalah dalam lingkungan 30 cm–60 cm.
    • Keratan batang perlu dikeringkan di tempat yang kering udara selama dua minggu.
    • Setelah tamat pengeringan keratan, ianya perlu ditanam ke dalam polibeg sebelum ditanam ke ladang apabila tunas dan akar telah keluar.

Cara Tanam Pokok Buah Naga Di Ladang

Pastikan jarak antara tanaman adalah 3 m X 2.5 m supaya tanaman tidak terlalu padat dan dapat mengelakkan persaingan terhadap nutrien, air dan cahaya. Pada setiap tiang yang dipacak, sebaiknya ditanam dengan 3 – 4 batang anak pokok. Kemudian biarkan pokok tersebut menjalar pada tiang. Bagi pangkal keratan yang telah berakar, hendaklah ditanam sedalam 5 cm dalam tanah. Apabila pokoknya semakin besar, ianya hendaklah dijarangkan supaya ia tidak terlalu padat dan seeloknya diikat pada bahagian stem yang memanjang supaya tidak mudah patah.

Pembajaan

Berikut adalah jadual pagi pembajaan tanaman ini:

Pemangkasan

Dengan menggunakan gunting, cantas dan biarkan 4 – 5   cabang pada setiap dahan bagi memastikan pokok utama dapat membesar dengan baik. Pastikan dahan-dahan yang sihat, subur dan kedudukan seimbang di atas para sahaja dipilih. Seeloknya, dahan yang telah cukup panjang serta tidak produktif lagi untuk berbuah perlu dipangkas supaya tidak bersaing dengan dahan muda dalam mendapatkan nutrien. Kanopi pada pokok jangan terlalu rimbun dan hendaklah dipangkas mengikut bentuk tengah terbuka. Kerja pemangkasan perlu dibuat secara berkala untuk menjamin pengeluaran hasil yang terbaik.

Pengairan

Ianya sejenis kaktus yang secara zahirnya mempunyai kebolehan menyimpan air. Namun pokok ini amat perlu penyiraman air bagi mempercepat pemanjangan ruas terutama pada musim panas.

Pengurusan Perosak dan Penyakit

Antara perosaknya adalah burung, tupai, tikus, kumbang, lalat buah dan kelawar. Langkah kawalan yang perlu dilakukan ialah dengan menggunakan kertas atau jaring pembungkus dan bahan lain yang bersesuaian.

Manakala penyakit yang sinonim dengan tanaman ini adalah oleh bakteria Xanthomonas campestris dan penyakit antraknos turut menyerang tanaman ini. Penyakit antraknos ataupun bintik berpusar yang berpunca dari kulat Colletotrichum capsici akan menyebabkan bahagian pada batang atau buah terdapat kesan bintik nekrotik. Sekiranya tidak ditangani segera akan menyebabkan batang mereput. 

Untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku, kawasan ladang akan sentiasa dibersihkan dan memastikan tiada sebarang perumah bagi makhluk perosak untuk hidup membiak di kawasan ladang. Cara mudah untuk melakukan demikian adalah dengan pemberian racun berbentuk broad spectrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethoate adalah sesuai.

Penuaian

Ianya akan mula berbuah apabila berumur 7 – 12 bulan selepas ditanam. Buah hanya boleh dipetik setelah mencapai tahap kematangan yang sesuai. Dalam lingkungan 50 – 53 hari dari mula pengeluaran putik bunga, pokok ini akan berbuah dan boleh dipetik dalam tempoh tersebut. Buah yang sesuai dipetik ialah buah yang berwarna merah serta mampu mencapai berat antara 200 – 700 g. Pengeluarannya tidak mengikut musim. Hasil akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda pada tahun berikutnya dan hingga ke tahun seterusnya.

Diharapkan artikel cara tanam pokok buah naga ini dapat memberikan kaedah menanam pokok buah naga dengan cara yang betul

Beli biji benih buah naga di sini

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Daun KesumPokok KariLimau Purut
AvocadoUbi KeledekKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Rujukan:

  1. Zainudin, M. (2011). Penyediaan bahan tanaman buah naga: spesifikasi mengikut SIRIM. Bul.Tek. Tanaman 8: 67 – 70.
  2. Hamidah, S. dan Zainudin, M. (2007). Diseases of dragon fruit: Hylocereus sp. Proc. National Horticulture Conference, Johor Bahru.
  3. Zainudin, M. dan Hamidah, S. (2007). Challenges in dragon fruits growing in Malaysia. Malaysia Soc. Plant Physiology Conf., Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen + 11 =

Open

Close