Cara Tanam Kesum yang Betul di Rumah

cara tanam kesum

Apakah cara yang betul untuk tanam pokok daun kesum di rumah? Artikel ini akan membincangkan bagaimana cara yang betul untuk menanam pokok daun kesum di rumah anda.

Kesum merupakan bahan masakan yang penting terutamanya bagi masakan seperti laksa, asam pedas dan sebagainya. Kesum juga dijadikan sebagi ulam penambah selera bagi mereka yang sukakan ulam-ulaman. Kesum ataupun nama saintifiknya Polygonum minus adalah tumbuhan aromatik dalam keluarga Polygonaceae, yang tumbuh terutamanya di kawasan beriklim sederhana. Tumbuhan ini berasal dari negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Vietnam, dan Indonesia, di mana ia digunakan secara meluas sebagai rempah dan perasa dalam industri makanan.

Penanaman kesum di kawasan rumah adalah penting supaya mudah diambil sekiranya ingin digunakan di dalam masakan. Terdapat beberapa kaedah yang perlu diambil perhatian bagi memastikan tanaman kesum yang ditanam hidup subur dan boleh dipetik apabila matang.

Pemilihan benih

Benih kesum diambil dari keratan batang. Keratan batang boleh dipetik dari pokok sedia ada mahupun kesum yang dibeli dari pasar. Pastikan pilih keratan batang yang matang dan subur. Elakkan memilih keratan batang yang terlalu muda ataupun yang telah layu. Pilih keratan sekurang-kurangnya 10 – 15cm.

Keratan batang yang sesuai dan baik perlu dipilih supaya pokok hidup dengan subur.

Penyediakan bahan tanaman

Kesum merupakan tanaman yang sangat sukakan air. Maka tidak hairanlah sekiranya pernah melihat kesum ditanam di kawasan yang berair terutamanya di tepi paip air ataupun kawasan yang lembap. Terdapat beberapa cara atau bahan tanaman yang boleh digunakan untuk menanam kesum iaitu sama ada ditanam di tanah, di dalam pasu ataupun secara hidroponik.

1. Penanaman di tanah

Jika memilih untuk untuk menanam kesum di tanah, pastikan kawasan tanaman tersebut adalah berdekatan dengan sumber air. Adalah lebih baik sekiranya kawasan tanah tersebut adalah kawasan yang lembap. Pastikan kawasan telah dibersihkan dari rumpai-rumpai dan bendasing sebelum penanaman dilakukan. Tanah juga perlu digembur supaya akar pokok kesum mudah untuk keluar.

Penanaman kesum di tanah

2. Penanaman di dalam pasu

Penanaman kesum di dalam pasu merupakan kaedah yang paling digemari kerana ianya mudah. Sebaiknya guna pasu yang mempunyai lubang yang sedikit untuk meminimakan kadar air yang keluar dari pasu. Hal ini adalah bagi memastikan tanah di dalam pasu sentiasa lembap untuk kesum hidup subur memandangkan pokok kesum sangat sukakan air. Masukkan tanah yang sesuai di dalam pasu dan tanam keratan batang kesum mengikut saiz pasu tersebut.

Penanaman kesum di dalam pasu

3. Penanaman secara hidroponik

Penanaman secara hidroponik juga dilihat semakin popular untuk tanaman kesum, namun bagi jangka masa yang panjang, kaedah ini jarang dilakukan. Jika ingin mencuba, adalah lebih baik kerana penanaman kesum menggunakan kaedah hidroponik juga sangat mudah. Secara DIY, ambil keratan batang dan sediakan bekas yang sesuai seperti penapis, masukkan keratan batang dan rendamkan di dalam air. Penggunaan kit hidroponik juga lebih sesuai jika terdapat bahan yang diperlukan. Pokok kesum akan kelihatan mengeluarkan akar dan seterusnya mengeluarkan pucuk yang baru.

Penanaman kesum secara hidroponik

Cara tanam kesum dan penjagaan

Keratan batang yang dipilih boleh ditanam terus ke tanah dengan membuat lubang sedalam 2 inci. Siram dan letakkan di kawasan yang teduh sekurang-kurang seminggu untuk memberi masa kepada keratan batang untuk menghasilkan akar dan memastikan pokok kesum tidak layu sekiranya terdedah kepada matahari sepenuhnya. Setelah pokok kelihatan stabil, boleh pindahkan pokok ke kawasan yang terkena cahaya matahari. Bagi pokok yang ditanam terus di tanah, perlu meletakkan teduhan sementara supaya pokok tidak layu. Teduhan yang boleh digunakan termasuklah jaring hitam, pelepah kelapa ataupun apa-apa bahan terpakai yang sesuai.

Kaedah yang kedua ialah dengan merendam dahulu keratan batang di dalam air sehingga akar keluar. Seterusnya pindah ke tanah dan letakkan pasu di kawasan teduh beberapa hari sebelum dedahkan sepenuhnya kepada cahaya matahari.

Pengairan dan pembajaan

Pokok kesum memerlukan kadar air yang mencukupi. Siram pokok kesum sekurang-kurangkan sekali sehari. Pastikan tanah lembap sepenuhnya. Baja yang sesuai untuk pokok kesum ialah baja organik seperti baja tahi ayam ataupun baja kompos. Pembajaan boleh dilakukan 2 minggu sekali.

Penuaian hasil

Hasil boleh dipetik setelah pokok membesar dengan subur. Petik batang kesum dengan meninggalkan sedikit bahagian pangkal bawah untuk memudahkan pucuk baru untuk naik dengan seragam.

Penanaman kesum di kawasan rumah merupakan amalan yang bijak kerana kesum boleh dipetik dengan segar dan mengikut kuantiti yang perlu sahaja. Amalan menanam sayur dan juga ulam-ulaman amat digalakkan untuk surirumah terutamanya bagi memaksimumkan penggunaan tanah di kawasan rumah, ataupun meningkatkan seri rumah dengan menanam tanaman-tanaman sayuran di dalam pasu di kawasan rumah.

Diharapkan, artikel cara tanam kesum ini dapat membantu anda menanam pokok daun kesum di rumah anda.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Pokok KariBuah NagaLimau Purut
AvocadoUbi KeledekKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × two =

Open

Close