Skip to content

Cara Tanam Kangkung Secara Komersil dan di Rumah

Bagaimanakah cara untuk tanam kangkung di rumah atau komersil. Artikel ini akan membincangkan penanaman sayur kangkung secara komersial dan juga di rumah secara mudah.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Khasiat Kangkung
  3. Cara Tanam Kangkung Secara Komersil
  4. Cara Tanam Kangkung di Rumah
  5. Cara Simpanan Kangkung

Pengenalan

Kangkung (Ipomoea spp.) merupakan satu tanamam jenis sayuran berbatang lembut dan berwarna hijau yang penting di Asia. Kangkung dikenali dengan pelbagai nama di barat seperti water convolvulus, water spinach, swamp cabbage dan swamp morning–glory. Kangkung atau phak bong (Laos), camotillo (Peru), cancong (Filipina), argali (sudan), paakboong (Thailand), rau muong (Vietnam) merupakan sayuran menjalar yang dipercayai berasal dari India.

Walau bagaimanapun kini kangkung boleh didapati di selatan Asia, Asia Tenggara, Africa, Amerika Selatan dan Amerika Tengah dan Oceania. Kangkung merupakan tanaman yang penting dan ditanam secara intensif di Asia Tenggara, Hong Kong, Taiwan dan Selatan Cina. Daun kangkung berbentuk hati dan tumbuh secara berselang. Bunganya pula berwarna putih dan ungu di bahagian tengahnya. Biji kangkung pula berwarna coklat kehitaman. Kangkung yang merupakan sayuran hijau daripada keluarga Convolvulaceae adalah sajian sayur yang mudah didapati di Malaysia.

Secara praktikal, semua bahagian kangkung yang muda boleh dimakan secara segar atau dimasak. Terdapat dua jenis kangkung yang ditanam dan biasa dijadikan sajian di Malaysia iaitu kangkung air (Impomea aquatic) dan kangkung darat (Impomea reptans). Kangkung air mempunyai daun yang agak lebar dan bujur, serta berbatang besar.

Kangkung darat pula mempunyai daun yang panjang menirus dan berbatang kecil. Menurut Jabatan pertanian Pulau Pinang, penanaman kangkung yang subur memerlukan suhu 24 oC dengan pH tanah antara 5.5 hingga pH 6.5. Pelbagai jenis tanah adalah sesuai untuk menanam tanaman ini seperti tanah gambut, BRIS dan tanah bekas lombong.

Khasiat Kangkung

Kangkung mempunyai kandungan vitamin yang pelbagai seperti Vitamin A, Vitamin B, Vitamin C, protein, zat besi, kalsium, fosforus, karoten selain mempunyai antioksida dan mineral. Kangkung adalah sajian yang selalu disarankan oleh ahli diet dalam program kawalan kolesterol dan penurunan berat badan disebabkan kandungan lemak dan kalori yang rendah, serta sifat antioksidannya.

Penanaman kangkung memberi keuntungan yang lumayan kepada petani di Hong Kong, Thailand, Malaysia dan Singapura. Menurut pelbagai sumber juga, kangkung juga digunakan sebagai tumbuhan ubatan seperti sebagai julap (India) dan merawat kurap. Kajian yang dijalankan di Indonesia pula menggunakan manfaat ekstrak kangkung sebagai agen kawalan biologi kulat untuk mengatasi penyakit reput pada tomato yang disebabkan oleh kulat Fusarium sp.

Kangkung juga mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai agen kawalan biologi untuk mengeluarkan logam berat dari tempat tercemar. Sebagai contoh pada sistem saliran kebun dan air sisa bandaran yang tercemar dengan nitrate.

Cara Tanam Kangkung secara komersial

1. Penyediaan kawasan tanaman

Sebelum proses penanaman kangkung bermula, kawasan tanah yang ingin digunakan haruslah dibajak dan digembur sebanyak dua kali sedalam 15-20 cm sebelum batas tanaman dibentuk. Batas dibentuk selebar 1.2m sepanjang 7.5 m dengan ketinggian 20-30cm.

Alur dibuat merintangi batas dengan jarak 20 cm dan sedalam 3cm untuk tujuan penaburan benih. Pengapuran ke atas tanah yang mempunyai keasidan bawah pH 5.5 hendaklah dilakukan semasa pembajakan dibuat dan hendaklah tidak kurang 14 hari sebelum kangkung ditanam. Untuk tanah mineral, kapur yang digunakan adalah pada kadar 3-5 tan/ha. Baja organik turut diberi pada kadar 3-5 tan/ha.

2. Semaian benih

Untuk semaian biji benih, biji benih perlu dirawat dengan menggunakan racun thiram (racun kulat) pada kadar 3g/1000g bijih benih. Biji benih kangkung ditanam secara terus ke atas batas di dalam alur. Selepas 10 hari, penjarangan dilakukan dengan jarak tanaman sejauh 20 cm di antara baris (alur) dan 10 cm di antara pokok bagi memastikan tumbesaran yang optimum.

3. Sistem Pengairan

Tanaman kangkung memerlukan air yang banyak. Air perlu disiram secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis supaya kangkung mendapat kadar air yang mencukupi untuk tumbesaran yang optimum. Sebaiknya kangkung disiram dua kali sehari setiap pagi dan petang.

4. Pembajaan

Terdapat dua jenis pembajaan yang boleh dilakukan ke atas tanaman kangkung iaitu pembajaan menggunakan baja organik (organan) dan baja bukan organik (kimia). Pembajaan organik haruslah dilakukan seminggu sebelum tanaman kangkung ditanam dengan kadar 4 (t/ha/musim) dengan cara menggaulkan baja ke dalam tanah. Pembajaan menggunakan baja bukan organic pula hendaklah dilakukan dua hingga tiga minggu selepas kangkung di tanam dengan kadar 0.5 (t/ha/musim). Baja bukan organik ini ditabur di sekeliling pokok.

5. Pengurusan Penyakit dan Perosak

Walaupun kangkung jarang diserang oleh serangga, penyakit karat putih (Albugo ipomoeae aquaticae) merupakan penyakit yang sering melanda kangkung. Penyakit ini disebabkan oleh Albugo ipomoeae-aquaticae Schw. dan dapat dilihat secara mata kasar apabila terdapat tompok tompok putih di bahagian atas daun. Tanaman secara bergilir adalah salah satu kaedah untuk mengawal penyakit ini selain menggunakan racun mancozeb.

Namun penggunaan racun haruslah secara minima atau pada waktu sekurang kurangnya lebih 2 minggu sebelum tanaman dituai untuk mengelakkan keracunan pada pengguna.  Selain itu serangan perosak turut mengundang masalah kepada tanaman kangkung seperti siput babi, ulat ratus (armyworm) dan kutu daun (afid). Kawalan rumpai dilakukan secara manual dengan kadar dua kali sepanjang tempoh penanaman. Racun glufosinate ammonium juga boleh digunakan di sekeliling batas dan parit untuk mengatasi masalah rumpai.

6. Tuaian

Kangkung dapat dituai selepas 30 hari penanaman dengan hasil antara 10000-15000 kg/ha. Sayur kangkung perlu dicabut bersama akar pada awal pagi atau lewat petang untuk memastikan hasil yang berkualiti tinggi dan dapat dipasarkan. Selepas dituai, kangkung perlu melalui proses seperti pemilihan, pembersihan, penggredan dan pembungkusan. Akar kangkung perlu dibersihkan menggunakan air bersih sebelum dipasarkan untuk menjamin kebersihan.

Amalan Penanaman Kangkung di rumah

Penanaman kangkung di rumah boleh dilakukan sama ada secara semaian biji benih ataupun keratan batang. Pelbagai kaedah penanaman dapat dilakukan. Biasanya penanaman secara keratan batang dilakukan untuk kangkung air. Melalui keratan batang, apabila hujung kangkung dipetik, ini akan menggalakkan pertumbuhan  batang dan daun yang baru. Bahagian ini boleh dipetik lagi selepas 7- 10 hari.  Untuk tanaman secara keratan batang, batang direndam didalam air selama 2-3 hari untuk percambahan akar. Selepas itu bolehlah batang tadi dialih kedalam pasu yang mengandungi media tanaman yang sesuai seperti tanah campuran kompos. Untuk memastikan kangkung mendapat air yang mecukupi, tanaman haruslah sentiasa disiram 2x sehari ataupun dengan menggunakan pasu yang boleh menakung air.

Untuk penanaman secara biji benih, hanya besen dan penapis diperlukan. Biji benih kangkung pada mulanya diletakkan dalam bekas seperti penapis atau raga dan dibiarkan dalam keadaan lembap. Kehadiran sedikit air pada bahagian bawah raga (dalam besen) diperlukan untuk menggalakkan pencambahan dan tumbesaran pokok. Apabila kangkung mula bercambah selepas seminggu, campuran baja A +B dilarutkan kedalam takungan air dengan menggunakan sukatan bersesuaian dengan umur pokok. Akar pokok pada masa ini akan kebawah dan mencecah takungan baja A+B dan mendapatkan nutrisi yang diperlukan untuk membesar. Bagi penanaman secara menggunakan tanah pula, biji benih boleh ditaburkan terus ke dalam pasu yang berisi tanah dan kompos.

Cara Simpanan Kangkung

Kangkung boleh bertahan selama satu minggu jika disimpan pada suhu 1-3oC dengan kelembapan relative 90-95%.

Bili biji benih kangkung di sini

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

Cara Tanam Pokok KelapaCara Tanam Limau Kasturi
Cara Tanam TimunCara Tanam Kacang Bendi
Cara Tanam Ubi KayuCara Tanam Kacang Tanah
Cara Tanam KubisCara Tanam Peria
Cara Tanam PandanCara Tanam Halia
Cara Tanam TerungCara Tanam Kunyit
Cara Tanam Pokok RambutanCara Tanam Strawberry
Cara Tanam PisangCara Tanam Kentang
Cara Tanam KangkungCara Tanam Ubi Keledek
Cara Tanam Bunga KantanCara Tanam Avocado

Rujukan:

  1. Kangkong – Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
  2. Panduan Menanam Kangkung – Jabatan Pertanian
  3. Khoo, K. L., & Lim, G. (1989). White’rust’disease of Ipomoea aquatica in Singapore (No. RESEARCH).
  4. Aziz, Hamzah & Norsyazwina, M. (2019). Crops damaged by armyworm (Spodoptera litura F.) in Malaysia And Control Tactics.
  5. Kangkong – IFAS
  6. Swamp Morning Glory – CABI
  7. Soekarno, B. P. W., & Marhaenis, E. (2012). Potensi Ekstrak Kangkung sebagai Biofungisida untuk Mengendalikan Penyakit Busuk Buah Fusarium pada Tomat. Jurnal Fitopatologi Indonesia8(5), 121-121.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 + five =