Cara Kenal Pasti Cendawan – Beracun atau Tidak

cara-kenal-pasti-cendawan-beracun

Bagaimanakah cara untuk kenal pasti cendawan yang beracun ataupun tidak? Artikel ini akan menjelaskan berkenaan cendawan beracun dan juga ciri-cirinya.

Peribahasa Melayu ada menyebut – bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Cendawan sememangnya akan tumbuh dengan pantas dan lebat setelah mendapat air dan didorong oleh suhu dan iklim yang sesuai. Kandungan air dalam sebiji cendawan melebihi 90 peratus bermakna cendawan berupaya menyerap air dengan banyak.

Cendawan tiram kuning (daripada forestflavour.com)

Terdapat 17 jenis cendawan yang ditanam secara komersial di Malaysia sehingga kini. Cendawan tiram kelabu adalah amat popular dan merangkumi 66% daripada industri cendawan di negara kita. Cendawan yang biasa dimakan oleh masyarakat kita seperti cendawan jerami padi dan kukur sudah mula ditanam secara besar-besaran. Kebanyakan jenis cendawan ini merupakan spesis yang tumbuh liar dan dibiakkan melalui kajian untuk tujuan komersial.

Cendawan Lion’s Mane (daripada paleofoundation.com)

Ciri-ciri cendawan

Dari sudut botani, cendawan berasal daripada Kingdom Fungi. Berlainan dengan tumbuhan yang berupaya menghasilkan makanan sendiri melalui proses fotosintesis, cendawan merupakan organisma yang memperoleh makanan daripada sumber lain. Saprophytes merupakan jenis cendawan yang mendapatkan makanan daripada bahan terurai manakala jenis cendawan yang mendapatkan makanan daripada benda hidup digelar Parasites.

Dari segi anatomi, organ cendawan merupakan topi (cap), insang (gills), batang (stem), volva dan mycelium. Cendawan membiak melalui spora yang disebarkan oleh agen penyebaran seperti angin dan haiwan.

Kitaran hidup cendawan hanyalah memakan masa selama beberapa hari. Tumbesaran cendawan amat bergantung kepada kelembapan dan suhu yang memberi kesan langsung kepada saiz cendawan tersebut.

Anatomi cendawan

Apakah yang membuatkan cendawan beracun?

Semua cendawan menghasilkan toksin. Hanyalah kadar dan jenis toksin yang membezakan sama ada jenis cendawan tersebut mendatangkan mudarat kepada tubuh badan kita. Terdapat 4 kategori toksin cendawan iaitu racun protoplasmik, neurotoksin, perengsa gastrousus dan toksin disulfiram. Toksin-toksin ini didapati dalam kadar dan kepekatan yang tinggi dan boleh menyebabkan kesan yang teruk kepada kita jika dimakan.

Kesan sampingan yang tidak akut kepada toksin cendawan ialah seperti halusinasi, pening, mual dan cirit-birit. Namun, kesan akut melibatkan masalah saraf, kegagalan buah pinggang, kerosakan hati sehingga menyebabkan kematian.

Kenal pasti cendawan beracun

Terdapat empat cara asas untuk mengenal pasti cendawan yang beracun.

Ciri-ciriPenjelasan
1. Insang berwarna putih  Kebiasaannya, insang pada cendawan yang boleh dimakan berwarna merah jambu.
2. Topi berwarna merah terang  Terdapat cendawan bertopi merah yang didapati beracun atau memberi kesan halusinasi.
3. Cincin pada batang cendawan  Sesetengah cendawan mempunyai tisu berbentuk cincin atau annulus yang melindungi insang cendawan sebelum cendawan matang.
4. Selaput putih pada pangkal batang di dalam tanah (volva)Untuk mengenal pasti volva, kita perlu menggali sedikit di pangkal cendawan di dalam tanah. Cendawan Amanita sp. yang boleh membawa maut jika dimakan mempunyai volva.

Amanita phalloides (Death Cap) yang mempunyai Amatoxin boleh membawa maut jika dimakan.

Hati-hati!

Seelok-eloknya, masaklah cendawan dahulu sebelum dimakan. Sesetengah toksin di dalam cendawan boleh dihapuskan jika dimasak dengan sempurna tetapi ia tidaklah menandakan bahawa semua cendawan beracun boleh dimakan walaupun setelah dimasak.

Seringkali kita terdengar sesetengah orang mengelakkan daripada memakan cendawan kerana mudah pening atau mual. Ini disebabkan penerimaan setiap orang terhadap kadar toksin dalam cendawan adalah berbeza.

Ada cendawan beracun yang rupanya seakan-akan cendawan yang boleh dimakan. Contohnya False Parasol yang kelihatan seperti cendawan busut.

Cendawan busut (Termitomyces sp.) yang kebiasaannya tumbuh di atas busut selepas hujan. (daripada myagri.com.my)

False Parasol (Chlorophyllum molybdites) yang menyebabkan kes keracunan pada 2018 di Jeram, Kuala Selangor.

Terdapat banyak lagi faktor yang perlu digunapakai untuk mengenal pasti cendawan beracun seperti bau, struktur insang, saiz, habitat dan lain-lain. Mengikut kata pengkaji, cara terbaik untuk mengelakkan daripada memakan cendawan beracun ialah tidak memakan apa-apa cendawan yang belum kita kenal pasti.

Disebabkan kadar serat yang tinggi dan kolesterol yang rendah dalam cendawan, ia antara makanan terbaik untuk membantu mengurangkan berat badan berlebihan. Cendawan turut kaya dengan khasiat vitamin D dan antioksidan selain mempunyai kadar serat yang tinggi. 

Pesanan saya, apa-apapun makanan yang kita ambil, makanlah secara besederhana supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepada kita.

Artikel berkaitan: Cara tanam cendawan yang betul

Rujukan

  1. Biggane, E. (2018, October 5). How to Tell the Difference Between Poisonous and Edible Mushrooms. Wild Food UK.
  2. Menser, G. P. (1996). Hallucinogenic and Poisonous Mushroom Field Guide (3rd ed.). Ronin Publishing.
  3. Cendawan. (n.d.). MYAgro.
  4. Services, U.S. Department of Health and Human, (Fda), D. A. F. A. U. S., & (Us), N. C. F. F. S. A. A. (2017). Bad Bug Book Handbook of Foodborne Pathogenic Microorganisms and Natural Toxins 2nd Edition (2nd ed.). CreateSpace Independent Publishing Platform.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.