Asas Ilmu Tani Hapus Stigma Tangan Panas

asas bertani

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020 yang lalu, satu situasi yang agak ganjil telah berlaku. Tanpa kita duga, permintaan terhadap biji benih dan peralatan menanam telah meningkat sebanyak 70 peratus. Siapa sangka semakin ramai rakyat Malaysia berminat untuk bercucuk tanam?

Tangan Panas

Pernahkah anda dengar seseorang itu mempunyai tangan panas? Katanya, dia tanam apa-apa pokok pun tidak hidup. Mungkin ada juga di antara kita yang pernah berjinak-jinak untuk bertani di halaman rumah tetapi tidak membuahkan hasil yang kita jangkakan. Maka, kita mengalah dan hanya membeli sayur-sayuran di pasar. Adakah kita mempunyai sindrom tangan panas?

Sebenarnya, apa-apa yang kita usahakan perlu diperkuat dengan ilmu pengetahuan yang betul dan tepat. Tiada kajian khusus yang mengatakan bahawa tangan panas merupakan satu penyakit mahupun sindrom yang tidak boleh diubati. Sebaliknya, tangan panas hanyalah suatu tanggapan yang dilabel oleh masyarakat kepada mereka yang tidak pandai bertani. Mari kita pelajari beberapa asas ilmu tani yang penting bagi menangkis stigma ini.

1. Asas Bertani

Apa-apa yang kita lakukan perlu mempunyai asas yang kukuh untuk dijayakan. Sebagai permulaan, eloklah kita bertani dengan tanaman yang mudah bercambah dan membesar untuk menaikkan semangat kita. Sayur-sayuran daun seperti kangkung, sawi dan bayam serta sayuran buah seperti bendi dan jagung amat mudah untuk hidup dan dijaga.

Sayur bayam merah

Sayur bayam merah

Bagi yang tinggal di kampung, kawasan luar rumah ialah tempat terbaik untuk bertani. Namun, mereka yang tinggal di bandar, rumah bertingkat atau ruang yang terhad sudah tentu akan berfikir beberapa kali sebelum mula bertani. Jangan risau kerana kita boleh menggunakan teknik pertanian moden seperti hidroponik yang tidak memerlukan ruang yang luas.   

Biji benih, media tanaman dan air adalah tiga komponen utama yang kita perlukan. Biji benih komersial telah dirawat dengan racun kulat bagi menghindarkan jangkitan kulat terhadap biji benih. Biasanya, tanah campuran digunakan sebagai media tanaman. Jika kita ingin menggunakan teknik hidroponik, jenis-jenis media yang biasa digunakan ialah span, sabut kelapa dan LECA (sejenis bebola tanah liat).

Light Expanded Clay Aggregate (LECA)

Light Expanded Clay Aggregate (LECA)

2. Keperluan Nutrien

Selepas menanam, sudah tentu kita perlu membaja kerana kandungan nutrien sedia ada di dalam tanah tidak menjamin pertumbuhan pokok yang optima. Baja tanaman terbahagi kepada dua jenis iaitu baja organik dan baja kimia. Baja organik ialah bahan-bahan semula jadi yang mereput dan terurai lantas menghasilkan nutrien seperti sisa dapur, hampas padi dan hampas tebu. Baja kimia pula ialah bahan buatan atau sintetik yang mengandungi nutrien tersedia untuk diserap oleh akar pokok.

Setiap tanaman memerlukan kadar nutrien yang berbeza. Terdapat 17 nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok yang optima yang dibahagikan kepada makronutrien dan mikronutrien. Cukuplah untuk kita fokus kepada tiga makronutrien utama iaitu nitrogen, fosforus dan kalium.

Nitrogen ialah nutrien yang mendorong pertumbuhan daun dan pokok manakala fosforus membantu dalam pertumbuhan akar. Kalium pula amat diperlukan bagi proses pembentukan bunga dan buah.

3. Tumbesaran Pokok

Jika kita lihat pada setiap peringkat tumbesaran pokok, proses percambahan benih dan pertumbuhan pokok memerlukan nutrien, media, air dan cahaya. Seterusnya, proses pembungaan dan pembentukan buah memerlukan bantuan agen pendebungaan seperti lebah. Agen pendebungaan bertindak menyebarkan debunga jantan ke bunga betina. Akhirnya, bunga yang telah disenyawakan akan bertukar menjadi buah.  

Lebah (agen pendebungaan) pada rumbai jagung.

Lebah (agen pendebungaan) pada rumbai jagung.

Sebenarnya, pembungaan ialah proses paling kompleks dalam fisiologi tanaman. Namun demikian, bunga dan buah yang muncul akan melahirkan kepuasan dan kegembiraan buat petani. Lebih-lebih lagi jika tanaman itu ialah hasil usaha kita sendiri mencangkul, menanam, menyiram dan membaja.

Ramai orang menganggap aktiviti bertani adalah hak eksklusif pakcik dan makcik yang sudah berpencen. Kini, rata-rata orang muda mula menggemari pertanian moden dan tanaman dekorasi. Marilah kita sama-sama menjadikan aktiviti bertani sebagai hobi walaupun selepas tempoh PKP tamat. Pertanian ialah fardhu kifayah yang amat dituntut dalam Islam dan hasil tanaman tersebut merupakan amal jariah buat kita.

Rujukan :

  1. BERNAMA. (2020). Benih catat permintaan tinggi di kedai tanaman ‘online’.
  2. Featured image dari: Thehealthy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.