Adakah setiap zarah itu mempunyai kesedaran?

Jawapan pendek: Tidak.

Tidak mengejutkan bukan? Zarah itu adalah satu objek bukannya satu hidupan. Tapi bagaimanakah  saintis-saintis kuantum dahulu seperti Wolfgang Pauli dan Niels Bohr mengatakan zarah-zarah itu mempunyai kesedaran (consciousness)? Sehingga Einstein menuduh Bohr memasukkan mistisisme ke dalam fizik.1

Jika kita ambil contoh eksperimen celah berganda (double slit experiment) seperti Gambar 1.

Gambar 1. Eksperimen celah berganda. (Jika anda ingin melakukan eksperimen ini di rumah, pastikan celahan ini lebih kecil berbanding panjang gelombang cahaya yang digunakan)

Dalam eksperimen ini, didapati terdapat garis-garis interferens cahaya pada skrin. Zarah cahaya iaitu photon akan melalui celahan berganda dan akan bergerak ke skrin. Secara logiknya, di skrin tersebut sepatutnya hanya ada 2 garis cahaya kesan dari celahan berganda. Tetapi apa yang didapati adalah garis-garis interferens.

Di sini kita boleh bertanya, adakah photon mempunyai kesedaran (keinginan) untuk menghasilkan interferens berbanding 2 garis sahaja? Apakah yang menyebabkan photon bertindak begitu?

Perkara mengenai kesedaran zarah ini telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh pelopor-pelopor kuantum mekanik terdahulu dan hingga sekarang.

Macam mana kesedaran tu berkait dengan Kuantum?

Para pembaca mungkin dah biasa dengar tentang uji kaji pemikiran (thought experiment) kucing Schrödinger.

Dalam eksperimen ini, seekor kucing diletakkan di dalam suatu kotak bersama-sama dengan racun yang dilepaskan dengan kebarangkalian 50% seperti di Gambar 2. Jadi apabila kita mendefinisikan keadaan di dalam kotak tersebut, kucing itu dalam keadaan superposisi antara hidup dan mati. Sehinggalah kita membuka kotak tersebut untuk mengetahui keadaan di dalam kotak itu.

Gambar 2. Eksperimen kucing Schrödinger.

Eksperimen kucing Schrödinger ini boleh dikembangkan lagi seperti berikut:

Menggunakan sebuah kotak yang sama seperti di atas, dan kotak tersebut diletakkan di dalam sebuah bilik dengan seorang pencerap bernama Ali. Ali akan memberitahu hasil cerapannya kepada seorang lagi pencerap bernama Budi di luar bilik. Eksperimen ini dipanggil uji kaji pemikiran rakan Wigner (Wigner’s friend).2

Gambar 3. Eksperimen rakan Wigner.

Secara ringkasnya, apa yang berlaku dalam situasi ini ialah, Ali mengetahui keadaan kucing di dalam kotak tersebut setelah dia membukanya. Manakala Budi pula mengetahui keadaan kucing itu setelah Ali memberitahunya.

Jadi apakah masalahnya?

Dari sudut pandangan Ali, keadaan kucing diketahui pada peristiwa ke-2. Bagi Budi pula, keadaan kucing diketahui pada peristiwa ke-3.

Secara tepat di manakah kucing itu diketahui hidup atau mati? Peristiwa ke-2 atau ke-3?

Bagi Ali, dia mengetahuinya apabila kotak dibuka. Seolah-olah kesedaran Ali membolehkan dia mengetahui keadaan kucing itu setelah dia membukanya. Bagi Budi pula, dia mengetahuinya apabila Ali memberitahunya. Kesedarannya hanya membolehkan dia tahu keadaan kucing itu pada peristiwa ke-3.

Untuk Ali, kita boleh definisikan kucing itu berada di dalam keadaan superposisi sebelum kotak dibuka. Manakala untuk Budi kita boleh definisikan kucing dan kesedaran Ali adalah dalam keadaan superposisi sebelum Ali memberitahu Budi.

Apabila Budi mendefinisikan fungsi gelombang pada peristiwa ke-2, keadaan kucing termasuk kesedaran Ali adalah terbelit (entangled).

Bagaimana kita kaitkan kesedaran Ali dengan zarah-zarah lain?

Apabila membina satu-satu hukum fizik, ia hendaklah mampu menerangkan fenomena fizikal tersebut dari sekecil-kecil skala sehinggalah sebesar-besar skala. Di sini, cuba kita tengok dari sudut pandang Budi. B akan mendefinisikan keseluruhan sistem kuantum bilik Ali kepada satu fungsi gelombang. Fungsi gelombang ini akan merangkumi keadaan kucing dan kesedaran Ali sekali gus.

Bayangkan pula jika Budi ini sedang mencerap satu zarah lain, apabila Budi mendefinisi fungsi gelombang zarah itu, adakah Budi pasti ‘Ali’ tidak berada di dalam zarah tersebut? Tentu sekali kita boleh membuat cerapan terhadap kesedaran sistem itu (jika ada caranya) dan menunjukkan suatu nilai, tetapi pada masa yang sama kita merosakkan sistem kuantum tersebut dan tidak lagi dapat mengetahui sifat-sifat zarah yang lain.

Ini tidak bermakna zarah tersebut mempunyai kesedaran. Zarah-zarah hanya bertindak sedemikian kerana adanya gangguan fungsi-fungsi gelombang dari persekitaran dan cerapan. Yang mana menyebabkan runtuhan fungsi gelombang dan meningkatkan kebarangkalian untuk menghasilkan garis-garis interferens seperti contoh pertama artikel. Runtuhan fungsi gelombang ini diterangkan dalam teori kedekoherenan kuantum (quantum decoherence).  

Apakah kuasa minda anda mempengaruhi keadaan fizikal yang lain?

Tidak. Anda tiada adi kuasa seperti itu.

Tapi bukankah kesedaran Ali dan keadaan kucing dalam keadaan terbelit? Ya, tetapi Ali hanya tahu apabila kotak dibuka dan bukan sebaliknya. Hanya untuk Budi, kesedaran Ali dan keadaan kucing adalah terbelit kerana keadaan kucing mempengaruhi Ali. Keputusan yang diperolehi hanya mengikut kebarangkalian yang berlaku bukannya dikawal oleh kesedaran Ali.

Ini kerana Ali tidak mempunyai cara untuk mengubah keadaan kucing itu seperti dia mahu. Dia hanya tahu kucing itu hidup atau mati setelah membuka kotak itu. Sama juga untuk Budi, dia tidak ada cara untuk mengubah keadaan di dalam bilik tersebut, dia hanya tahu apabila diberitahu.

Berhati-hatilah

Banyak penipu yang menggunakan pengetahuan separuh jalan untuk menipu anda. Dalam konteks kesedaran kuantum, mereka seolah-olah menerapkan mempunyai kuasa yang mampu mengubah fizik melalui kuasa minda. Contohnya, mereka akan mensasarkan pesakit-pesakit kronik untuk berubat dengan mengikuti kelas-kelas pemulihan kuasa minda dengan bayaran tinggi. Mereka juga boleh menipu dengan memesongkan akidah dengan menerangkan bahawa mengikuti kelas mereka akan mendapat kesedaran (enlightenment) dari alam lain dan banyak lagi amalan yang palsu. Mereka akan menggunakan pseudosains (penerangan sains yang seolah-olah benar) untuk menipu dan mengaut keuntungan.

Gambar 3. Contoh iklan kelas minda yang diragui.

Referens

  1. Quantum Mysticism: Gone but Not Forgotten. Phys.org.
  2. Wigner’s friends. Wikipedia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.