Toxic Positivity. Sikap Positif yang merosakkan diri dan orang lain

toxic positivity

Mungkin anda pernah berada dalam situasi di mana anda sangat sedih dan stres, dan hendak mengadu kepada seseorang. Anda membuat keputusan untuk bersembang dan meluahkan perasaan kepada kawan. Anda bercerita dari pagi terbangun lambat, terlepas bas, seterusnya dimarahi bos di tempat kerja. Selepas itu, apabila hendak membuat kerja, rupa-rupanya dokumen penting yang anda perlukan tertinggal di rumah.

Setelah menceritakan segala-galanya, respons rakan anda ialah, “Kau kena fikir positif. Sekurang- kurangnya, bos tak pecat kau!” atau “Kau ni negatif sangat ni. Sebab tu benda tak baik sahaja selalu datang dekat kau”. Tidak kurang juga yang mengatakan “Aku pun pernah kena lagi teruk dari kau. Tapi elok je aku. Kalau aku boleh, kau pun boleh! Positif!”. Bayangkan apakah perasaan anda ketika itu? Saya yakin kebanyakan berasa semakin geram dan sedih, dan mungkin juga ada yang menyalahkan diri sendiri dan malu. Pada masa yang sama, sama ada anda sedar atau tidak, mungkin respons-respons itulah yang anda berikan apabila rakan anda meluahkan perasaan mereka. Ini adalah contoh positiviti yang tidak baik (toxic positivity).

Apa itu toxic positivity dan apakah kesannya?

Toxic positivity berlaku apabila seseorang itu menyarankan untuk sentiasa berfikiran positif, bahkan secara berlebihan kepada apa jua situasi yang berlaku sama ada kepada diri sendiri atau orang lain. Positiviti yang berlebihan adalah tidak bagus kerana kita sebenarnya mengelak daripada menghadapi masalah yang sebenar. Setiap situasi yang berlaku, kita tetap mengatakan kepada diri atau orang lain “Kena positif!”, “Tak ada apa-apa pun ni”, atau “Semua okay sahaja. Tak perlu marah atau menangis. Hidup mesti diteruskan!”.

Respons-respons ini bukanlah seratus peratus tidak benar. Namun, sekiranya seseorang yang sedang penuh dengan emosi marah, sedih, stres dan sebagainya meluahkan perasaan dan emosi kepada kita, dan contoh respons-respons yang diberikan tadi adalah jawapan kita kepada mereka, tanpa sedar, kita telah menafikan emosi mereka. Seolah-olah emosi dan perasaan mereka itu bukan sebahagian daripada kemanusiaan mereka. Secara tidak langsung, kita menjadi penyebab mereka menyalahkan diri atau emosi dan perasaan sendiri, seterusnya memandang rendah kepada diri mereka.

Toxic positivity membuatkan kita meletakkan dalam pemikiran kita untuk sentiasa ceria dan gembira sepanjang masa. Situasi ini adalah mustahil dan tidak logik kerana sebagai manusia, kita mempunyai emosi dan perasaan yang berbeza-beza. Ada masa kita akan sedih. Ada masa kita akan gembira. Ada masa kita rasa marah, dan ada masa kita rasa kecewa. Semua ini adalah perasaan dan emosi yang sah, yang sememangnya manusia akan rasa. Jadi, untuk mengharapkan atau menyuruh manusia untuk gembira sepanjang masa adalah mustahil. Sentiasa memendamkan perasaan (supressing emotions) boleh membawa

kepada kesan-kesan negatif lain. Beberapa kajian yang dijalankan berkaitan dengan supressed emotions telah menunjukkan bahawa memendam perasaan boleh menyebabkan kesan seperti degupan jantung yang laju, makan secara berlebihan, dan juga keletihan yang berlebihan di tempat kerja. Keletihan ini adalah akibat daripada emotional dissonance, iaitu perbezaan dalam reaksi dan emosi yang anda tunjukkan secara luaran berbanding perasaan dan emosi anda yang sebenar.

Apabila kita berfikiran positif secara berlebihan dan secara tidak langsung menggalakkan orang di sekeliling kita untuk melakukan perkara yang sama, kita membawa mesej bahawa apa-apa emosi selain gembira adalah tidak dialu-alukan. Secara tidak langsung, kita membuatkan orang lain merasa serba salah untuk mencari dan menggunakan sumber seperti kaunseling atau terapi. Mereka akan terasa berat hati dan malu serta khuatir akan dipandang sebagai lemah atau sensitif. Tanpa kita sedar, niat untuk menjadikan persekitaran kita lebih positif akan mengundang lebih banyak keburukan.

Jadi, apa patut saya buat untuk mengelakkan toxic positivity?

1. Mendengar dan Memberi Sepenuh perhatian

Apabila ada dalam kalangan rakan atau keluarga kita datang ingin mengadu tentang sesuatu, perkara pertama yang sepatutnya kita lakukan ialah mendengar dan berikan perhatian. Tinggalkan sebentar apa-apa yang kita lakukan, seperti telefon pintar, dan fokus kepada cerita yang mahu dikongsikan. Selalunya mereka tidak mengharapkan jalan penyelesaian, sebaliknya hanya telinga untuk mendengar cerita dan keluhan mereka.

Mungkin kecewa atau marah dengan kejadian di tempat kerja, mungkin sedih kerana makanan kegemaran mereka di kedai sudah habis sebelum mereka sempat keluar berehat dan sebagainya. Dari sekecil-kecil peristiwa, ke sebesar-besar masalah, luangkanlah masa kita sebentar, duduk di sebelah mereka dan fokus untuk mendengar. Walaupun kita tidak mempunyai penyelesaian kepada masalah mereka, sekurang-kurangnya kita memberi sepenuh perhatian kepada mereka dan mereka boleh mengelak daripada memendam perasaan.

2. Elakkan dari menghakimi

Elakkan daripada cuba menghakimi seterusnya menyalahkan mereka atas apa-apa yang telah berlaku. Mereka memerlukan seseorang untuk mendengar kekecewaan mereka, dan menyalahkan mereka akan menambah lagi bebanan perasaan mereka. Tidak salah untuk mempunyai pendapat yang berbeza dengan rakan-rakan yang sedang berkongsi cerita, tetapi lihat pada situasi dan elakkan bertikam lidah. Lebih-lebih lagi, apabila manusia berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil, akan mengundang perbuatan dan percakapan yang tidak baik dan besar kemungkinan akan disesali kemudian.

Perkara-perkara ini nampak seperti kecil, namun, lama-kelamaan bebanan perasaan mereka yang tidak diluahkan mungkin akan memberi ruang kepada masalah-masalah psikologi yang lain seperti stres berlebihan, keresahan (anxiety) dan kemurungan (depression)

Berfikiran positif: Salah atau tidak?

Berdasarkan perbincangan yang telah dikongsikan tadi, ingin ditegaskan bahawa berfikiran positif adalah tidak salah. Ada masa yang memerlukan kita berfikiran positif agar kita boleh fokus dan teruskan kehidupan dan aktiviti yang sedang kita lakukan. Lain pula ceritanya apabila kita berfikiran positif yang berlebihan, kita akan cenderung untuk mengabaikan kesedihan, kemarahan dan ketidakpuasan hati kita, dan hanya memendam perasaan jauh ke dalam diri.

Kita menafikan perasaan dan emosi sedih, kecewa atau marah yang kita rasa, sekaligus tidak memberikan ruang dan peluang kepada diri untuk memproses kejadian yang berlaku dan perasaan kita pada ketika itu. Seseorang manusia itu adakalanya memerlukan masa untuk menerima sesuatu peristiwa yang terjadi sebelum dia boleh meneruskan kehidupannya dengan motivasi dan perasaan yang lebih positif.

Kerap memendam perasaan akan membawa kesan sebaliknya kerana badan kita perlahan-lahan akan terasa kesan daripada emosi yang tidak diluahkan itu. Kita akan selalu terasa sangat letih dan kurang semangat untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Ini adalah bertentangan daripada yang kita mahukan dengan sentiasa berfikiran positif.

Rujukan

  1. Butler, E. A., Young, V. J., & Randall, A. K. (2010). Suppressing to please, eating to cope: The effect of overweight women’s emotion suppression on romantic relationships and eating. Journal of Social and Clinical Psychology, 29(6), 599-623.
  2. TEDx Talks. (2019, November 23). How Toxic Positivity Leads to More Suffering | Mahmoud Khedr | TEDxMenloCollege [Video]. YouTube. https://youtu.be/5EOj2Z7hw5w
  3. The Psychology Group. (2019, October 12). Toxic Positivity: The Dark Side of Positive Vibes – From Fort Lauderdale Therapists [Video]. YouTube. https://youtu.be/If7O8n–hME
  4. Van Gelderen, B. R., Bakker, A. B., Konijn, E. A., & Demerouti, E. (2011). Daily suppression of discrete emotions during the work of police service workers and criminal investigation officers. Anxiety, Stress & Coping, 24(5), 515-537.

1 thought on “Toxic Positivity. Sikap Positif yang merosakkan diri dan orang lain

  1. Nice sharing. Pack with new knowledge. Suka gaya penerangan penulis.
    Nanti boleh discuss tentang topik “suppressing emotions” pula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.