Kesan Dunning-Kruger: Anda yakin tahu tapi sebenarnya tiada ilmu

dunning kruger effect kesan

Pernahkah anda berada di situasi di mana anda tidak tahu sesuatu perkara, kemudian anda membuat carian di enjin carian seperti Google atau Safari, seterusnya membaca beberapa artikel. Setelah daripada itu, anda berasakan anda sudah pakar dalam perkara tersebut, dan adakalanya sehingga tidak mahu menerima kritikan daripada orang lain sekiranya terdapat salah faham dari pihak anda. Sekiranya pernah, anda perlu berhati-hati kerana mungkin anda telah termasuk dalam kalangan mereka yang mengalami Dunning-Kruger effect.

Bertentangan dengan Imposter Syndrome di mana seseorang meragui kemampuan mereka, Dunning-Kruger effect ialah apabila seseorang individu overestimate kemampuan diri, jauh melebihi kemampuan sebenar. Situasi ini berlaku disebabkan oleh cognitive bias dari pihak mereka yang sedang mengalami fenomena ini. Cognitive bias ialah kesilapan seseorang dalam penaakulan (reasoning) dan pemahaman maklumat-maklumat yang terdapat di sekeliling mereka, seterusnya mengakibatkan mereka membuat kesilapan apabila membuat sesuatu keputusan atau konklusi.

Dual Burden/Double Curse

Nama Dunning-Kruger effect berasal daripada dua orang penyelidik yang menjumpai fenomena ini daripada kajian mereka. Pada tahun 1999, David Dunning dan Justin Kruger daripada Cornell University telah menjalankan satu kajian di mana para peserta disuruh menilai diri mereka sendiri dari segi kemahiran logik, tatabahasa dan sense of humor mereka. Keputusan daripada kajian mereka mendapati, kebanyakan peserta menilai diri mereka lebih baik dari purata orang ramai. Pada pendapat para peserta, mereka jauh lebih baik dari kebanyakan orang. Hakikatnya, kemahiran mereka yang sebenar terletak dalam kalangan 12 terbawah, jauh lebih teruk daripada purata. Dunning dan Kruger mengatakan situasi ini berlaku disebabkan oleh ketidakmampuan seseorang untuk menganalisis dan menilai pemikiran dan prestasi diri sendiri.

Graf menunjukkan mereka yang tidak tahu atau kurang pengetahuan mempunyai keyakinan yang tinggi

Dunning-Kruger effect ini dikaitkan dengan dual burden/double curse:

  1. Disebabkan kekurangan pengetahuan dan kemahiran yang sebenar, seseorang individu akan membuat konklusi yang silap dan keputusan yang salah.
  2. Malangnya, disebabkan kekurangan ini jugalah, mereka gagal untuk menyedari kesilapan konklusi dan keputusan yang telah mereka lakukan.

Dalam bahasa yang mudah, individu yang tidak mempunyai pengetahuan tentang sesuatu perkara, tidak akan menyedari bahawa mereka tidak tahu! Tiada petunjuk atau maklum balas dari diri mereka sendiri yang boleh memberi amaran bahawa apa-apa yang mereka lakukan adalah tidak tepat dan harus diperbaiki.

Siapa yang terdedah kepada Dunning-Kruger effect ?

Situasi di mana seseorang individu merasakan mereka lebih baik dari kemampuan sebenar berlaku lebih kerap dari yang kita jangkakan, dan malangnya, tidak ada sesiapa yang terselamat daripada fenomena ini. Hal ini adalah disebabkan setiap orang mempunyai sesuatu bidang yang mereka kurang pengetahuan dan fakta.

Mempunyai pengetahuan yang terhad tentang sesuatu perkara adalah lumrah manusia. Seorang doktor pakar hanya mempunyai kepakaran dalam bidang kedoktoran, dan tidak mempunyai kepakaran dalam membaiki kereta atau membina bangunan.

Begitu juga sebaliknya. Seorang juruteknik atau jurutera yang pakar dalam bidang mereka, tidak mempunyai kepakaran yang sama dalam bidang kedoktoran. Jadi, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada Dunning-Kruger effect ini.

Dalam satu kajian lain yang dijalankan oleh Dunning, beliau mendapati individu yang sebenarnya kurang berpengetahuan ini sukar untuk menerima kritikan, walaupun kritikan tersebut ialah kritikan yang membina. Selain daripada itu, kebanyakan mereka selalunya akan menolak apabila diminta untuk mengambil langkah untuk menambah baik diri mereka atau belajar lebih lagi.

Mereka yang hanya mempunyai pengetahuan asas dalam sesuatu bidang antara yang tidak terlepas daripada Dunning-Kruger effect ini, bahkan mungkin antara yang lebih kerap mengalaminya. Apabila seorang individu mendapat maklumat tentang sesuatu topik yang sebelum ini tidak pernah mereka tahu atau ambil kisah, akan timbul satu perasaan di mana mereka merasakan mereka telah tahu semuanya dan mahir dalam hal tersebut.

Mereka sedang  berada dalam fasa daripada tidak tahu apa-apa kepada mengetahui sesuatu. Malangnya, sesuatu yang mereka tahu itu tidak merangkumi segala pengetahuan tentang sesuatu bidang itu, menyebabkan mereka overestimate kemampuan diri mereka. Kerana itu adalah penting pada peringkat pertama apabila kita menuntut ilmu untuk tidak sombong agar kita sedar masih banyak perkara yang belum kita ketahui. Selalu kita dengar kata-kata semakin tinggi atau banyak kita belajar, semakin kita rasa kita ini bodoh dan tidak tahu banyak perkara. Ini antara sebab selalunya individu yang pakar dalam sesuatu bidang menilai kemampuan mereka lebih rendah daripada kemampuan sebenar mereka.

Perbincangan melibatkan pakar dan orang biasa yang baru sahaja berlangsung

Antara contoh melibatkan isu yang mendapat perhatian ramai kebelakangan ini, apabila terdapat individu-individu yang mempertikaikan prosedur kesihatan dan kepakaran pegawai-pegawai kesihatan yang lebih ahli dalam bidang kedoktoran, dalam mengendalikan kes-kes ibu yang dalam proses melahirkan anak. Jika dibandingkan dengan para ahli dalam bidang kedoktoran dan kesihatan, individu-individu yang menimbulkan pertikaian ini diragui latar belakang dan kredibiliti mereka untuk bercakap berkenaan hal ini.

Adalah lebih baik untuk mendengar dan merujuk kepada yang lebih pakar sekiranya timbul isu-isu yang memerlukan pengetahuan dan kepakaran untuk diselesaikan, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu yang penting dan sensitif. Bersikap lebih terbuka untuk mendengar penjelasan dan nasihat daripada yang lebih ahli dan elakkan daripada cognitive bias dengan hanya mencari dan mengfokuskan perhatian anda kepada maklumat-maklumat yang menyokong pilihan atau dakwaan anda.

Contoh lain yang saya boleh kongsikan ialah memandu kenderaan. Ramai orang, sekiranya ditanya, akan mengaku dan menilai diri mereka sebagai pemandu kenderaan yang jauh lebih baik daripada purata orang ramai. Namun, situasi ini boleh diakibatkan oleh cognitive bias. Contohnya, kita memandu di atas jalan tar.

Berlaku cognitive bias di sini sekiranya kita hanya menggunakan pengalaman kita memandu di atas jalan tar sebagai rujukan untuk terlebih dalam menilai kemampuan diri kita sebagai pemandu kenderaan. Mungkin kita tidak mengambil kira faktor-faktor seperti jenis jalan atau jenis kenderaan, masa kita memandu sama ada pagi, atau petang atau mungkin lewat malam, dan sebagainya. Banyak lagi perkara tentang memandu kenderaan yang kita tidak tahu dan sebaiknya belajar lagi untuk menjadi pemandu yang lebih baik.

Bolehkah Dunning-Kruger effect diatasi?

Memandangkan kebanyakan individu tidak sedar bahawa mereka sedang menjadi mangsa kepada fenomena ini, Dunning-Kruger effect ini agak sukar untuk diatasi. Tetapi, ianya tidak mustahil. Terdapat beberapa cara yang telah disarankan kepada setiap individu:

  1. Sentiasa banyak bertanya kepada diri sendiri berkenaan pemahaman anda tentang sesuatu perkara, terutamanya bagi sesuatu yang bukan dari kepakaran anda, dan seterusnya bersikap terbuka kepada pandangan daripada pihak lain.
  2. Jangan berpura-pura anda mengetahui sesuatu yang anda sebenarnya tidak tahu, atau tidak mempunyai maklumat yang jelas dan pengetahuan yang cukup.
  3. Cabar idea dan pemahaman diri anda tentang sesuatu perkara. Dalam psikologi, terma “devil’s advocate” digunakan kepada individu dalam sebuah kerja berkumpulan, yang sentiasa mencabar atau mengkritik idea dalam kumpulan tersebut. Menggunakan idea yang sama, jadilah devil’s advocate kepada diri anda sendiri dengan mencabar diri anda dengan hujah-hujah yang sepatutnya.
  4. Belajar untuk menerima kritikan daripada orang lain, lebih-lebih lagi sekiranya mereka adalah yang lebih pakar dalam sesuatu bidang tersebut.            

Rujukan

  1. After Skool. (2019, October 9). The Dunning-Kruger Effect – Cognitive Bias – Why Incompetent People Think They Are Competent. YouTube. https://youtu.be/y50i1bI2uN4
  2. Dunning-Kruger Effect. (n.d.). Retrieved September 10, 2020, from Psychology Today
  3. Stanborough, R. J. (2020, May 28). Is Cognitive Bias Affecting Your Decisions? Retrieved September 10, 2020, from Healthline
  4. Stay Tune TV. (2020, September 4). FYI: Vaginal Examination: Seluk Suka-suka?. YouTube. https://youtu.be/aA8CLG7BNmA
  5. TED-Ed. (2017, November 10). Why Incompetent People Think They Are Amazing – David Dunning. YouTube. https://youtu.be/pOLmD_WVY-E
  6. Vandergriendt, C. (2020, May 15). The Dunning-Kruger Effect Explained. Retrieved September 10, 2020, from Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.