Imposter Syndrome: Masalah Meragui Kemampuan Diri

imposter syndrome

Imposter syndrome merujuk kepada satu fenomena di mana seseorang individu meragui kemampuan dan pencapaian diri dan merasakan telah menipu ramai orang. Individu tersebut berasa amat takut dan yakin suatu hari nanti, akan didedahkan sebagai seorang yang bermain muslihat dan memperdaya orang lain (fraud).

Pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti terkemuka merasakan diri mereka tidak layak berada di situ dan kejayaan mereka adalah mungkin kerana kesilapan pihak pentadbiran. Pekerja yang cemerlang merasakan diri mereka tidak kompeten dan kejayaan mereka hanyalah nasib semata-mata, bukan kerana kemampuan mereka sendiri.

Pada awal penemuan fenomena ini, imposter syndrome dipercayai lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita, lebih-lebih lagi mereka yang bekerja dalam lapangan yang didominasi lelaki seperti kejuruteraan. Namun demikian, setelah lebih banyak kajian dilakukan, ternyata fenomena ini boleh berlaku tidak kira jantina, pekerjaan, bangsa mahupun umur.

Walaupun dipanggil sindrom, fenomena ini bukanlah sejenis penyakit dan tidak termasuk dalam masalah psikologi seperti kemurungan (depression), tetapi ada antara simptom yang ditunjukkan dipercayai berkait rapat dengan masalah keresahan (anxiety). Semakin besar pencapaian seseorang, semakin individu tersebut merasakan tidak layak untuk menerima apa-apa penghargaan.

Contoh individu dengan masalah Imposter Syndrome

Antara individu yang juga mengalami imposter syndrome ini ialah Albert Einstein. Walaupun pencapaian beliau adalah sangat hebat terutamanya dalam bidang fizik, beliau menggelar dirinya “involuntary swindler” dan mendakwa pencapaian beliau tidaklah terlalu besar sehingga layak mendapat penghormatan dari pelbagai pihak. Fenomena ini sebenarnya lebih kerap berlaku dari apa yang kita sangkakan.

Ketua syarikat-syarikat besar, jutawan bisnes, mahupun profesor, tidak terlepas daripada kemungkinan mengalami imposter syndrome. Perasaan ini boleh kekal dan berterusan dalam diri seseorang individu dan tidak akan hilang walaupun pelbagai kejayaan telah diraih. Mereka akan menggunakan faktor-faktor luaran seperti nasib, sebagai faktor kejayaan mereka. Respons-respons positif yang diberikan kepada mereka oleh sesiapa jua tidak akan mampu membuatkan mereka yakin dengan kemampuan sebenar mereka.

Tanda-tanda Imposter Syndrome

Terdapat pelbagai sikap dan perlakuan yang mungkin boleh menjadi tanda-tanda anda mungkin mengalami imposter syndrome. Sesetengah individu mungkin mengalaminya berbeza dengan individu lain. Antaranya:

  1. Mempunyai perasaan terlalu takut tidak mampu memenuhi expectation orang sekeliling anda, seperti di tempat kerja.
  2. Berterusan memilih untuk fokus kepada tanggungjawab dan kerja yang sama, serta mengelak daripada melakukan tugaan yang mencabar diri kerana merasakan tidak layak dan tidak mampu untuk memenuhi tanggungjawab dan expectation orang di sekeliling anda.
  3. Anda mensabotaj diri anda sendiri. Akibat daripada perasaan takut yang anda alami, anda secara tidak langsung menghalang diri anda daripada mengasah potensi anda sepenuhnya kerana mengelak daripada mencabar diri
  4. Tersekat dalam “imposter cycle”. Dengan setiap pencapaian baru yang semakin hebat, anda rasa kemungkinan anda akan didedahkan sebagai bermuslihat dan menipu, dan segalanya akan berakhir. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda semakin memaksa diri anda melebihi kemampuan sendiri.
  5. Anda menafikan kemampuan sendiri dan menggunakan faktor luaran sebagai punca kejayaan anda.
  6. Menetapkan goal-setting yang terlalu tinggi dan tidak masuk akal dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Akibat dari rasa takut didedahkan sebagai didedahkan sebagai bermuslihat, anda akan merasa satu keperluan untuk membuat yang terbaik, bahkan secara berlebihan. Ini boleh menyebabkan stres yang berterusan dan mengganggu kesihatan anda.

Jenis-jenis Imposter Syndrome

Dr. Valerie Young, seorang pakar dalam isu ini, mengatakan imposter syndrome terbahagi kepada beberapa jenis.

  1. The Perfectionist: Merasakan keperluan untuk melakukan sesuatu dengan sempurna. Merekan akan merasakan diri mereka sebagai seorang yang gagal dan meragui kemampuan diri mereka sekiranya pekerjaan mereka tidak sempurna. Mereka juga mengalami keresahan, dan kerisauan sekiranya tidak mampu mencapai target mereka yang ekstrem.
  2. The Superhero: Merasakan keperluan untuk hebat dalam semua perkara. Mereka memberi usaha yang sangat banyak sehingga membawa kepada burnout, kepenatan emosional, mental dan fizikal akibat stres berlebihan dan berulang. Workaholics selalunya merupakan seorang superhero.
  3. The Soloist: Individu yang merasakan keperluan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atas kemampuan mereka sendiri, tanpa menerima pertolongan orang lain langsung kerana itu menjadikan mereka kurang kompeten. Mereka selalunya akan menolak sebarang pertolongan yang ditawarkan oleh orang di sekeliling mereka.
  4. The Natural Genius: seorang genius semulajadi akan menilai diri mereka berdasarkan tahap kemampuan mereka menguasai atau mempelajari sesuatu dengan cepat. Sekiranya mereka lambat untuk memahami sesuatu, mereka merasakan diri mereka lemah dan gagal.
  5. The Expert: individu yang menilai diri mereka berdasarkan apa-apa yang mereka tahu. Selalunya, mereka tidak akan memulakan sesuatu tugasan sehingga mereka merasakan sudah memahami dan mempunyai segala maklumat yang perlu tentang tugasan tersebut. Kerap merasakan mereka tidak cukup pandai dan risau akan dipandang sebagai seorang yang tidak berpengetahuan.

Dr. June Shapiro, seorang lagi pakar psikologi di New York mempunyai pendapat sedikit berbeza. Pada pandangan beliau, imposter syndrome ini tidak mempunyai jenis berbeza-beza, dan lima perkara yang disenaraikan tadi adalah lebih kepada kesan fenomena ini kepada hidup kita.

Cara mengatasi Imposter Syndrome

  1. Ingat bahawa anda tidak keseorangan. Satu situasi yang dinamakan “pluralistic ignorance” menggambarkan di mana semua orang mempunyai satu pemikiran yang sama, tetapi, oleh kerana tiada siapa yang membicarakan hal tersebut, masing-masing merasakan mereka keseorangan. Seperti dikatakan pada awal artikel ini, fenomena ini berlaku lebih kerap daripada yang anda sangkakan. Mike-Cannon Brookes, salah seorang pengasas sebuah syarikat software di Australia, Atlassian, menceritakan pengalaman beliau ketika mewakili Australia ke World Enterpreneur of the Year. Beliau merasakan tidak layak untuk mewakili negara tersebut ke peringkat antarabangsa. Beliau berbual dengan seorang lagi pemenang yang mewakili negara Portugal berkenaan perasaan takut beliau dan terkejut apabila mendapati rupa-rupanya wakil Portugal itu juga menghadapi situasi yang sama!
  2. Berkait rapat dengan cara pertama, bicarakan isu tentang perasaan anda kepada individu yang anda percaya. Besar kemungkinan, mereka juga pernah mengalami situasi yang sama.
  3. Terima kelebihan dan kemampuan diri anda sendiri. Sekiranya anda memang jujur melakukan tugasan-tugasan yang diberikan, dan anda mencapai kejayaan yang hebat, tidak salah untuk menerima bahawa salah satu faktor kejayaan itu adalah diri anda sendiri.
  4. Fokus kepada pencapaian anda dan raikan kejayaan. Tidak salah sekali-sekala anda hendak merasa gembira dan berbangga dengan pencapaian yang anda telah lakukan, walaupun mungkin tidak sempurna. Kegagalan adalah sebahagian dari proses pembelajaran untuk lebih berjaya. Elakkan daripada merendahkan diri sendiri.
  5. Belajar untuk menerima pujian dan respons positif daripada orang sekeliling termasuk ketua anda, rakan sekerja mahupun keluarga anda. Selalunya mereka ikhlas memuji dan menghargai usaha yang telah anda berikan. Belajarlah menghargai penghargaan mereka.

Rujukan

  1. Brabaw, K. (2019, April 2). Imposter Syndrome Comes in 5 Different Forms. Retrieved June 6, 2020, from https://www.womenshealthmag.com/health/a27018815/what-is-impostor-syndrome/
  2. Dalla-Camina, M. (2018, September 3). The Reality of Imposter Syndrome. Retrieved June 6, 2020, from https://www.psychologytoday.com/us/blog/real-women/201809/the-reality-imposter-syndrome
  3. Hoang, Q. (2013). The impostor phenomenon: Overcoming internalized barriers and recognizing achievements. The Vermont Connection34(1), 6.
  4. Kolligian Jr, J., & Sternberg, R. J. (1991). Perceived Fraudulence in Young Adults: Is There an ‘Imposter Syndrome’?. Journal of personality assessment56(2), 308-326.
  5. Leonard, J. (2018, May 4). How to Handle Imposter Syndrome. Retrieved June 6, 2020, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/321730
  6. TED-Ed. (2018, August 28). What is imposter syndrome and how can you combat it? – Elizabeth Cox [Video]. YouTube. https://youtu.be/ZQUxL4Jm1Lo
  7. TEDx Talks. (2017, August 2). Imposter Syndrome | Mike Cannon-Brookes | TEDxSydney [Video]. YouTube. https://youtu.be/zNBmHXS3A6I

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.