Bahaya Budaya Berswafoto atau “Selfie” Harm

bahaya budaya berswafoto atau selfie harm

Budaya berswafoto atau “selfie” telah menjadi semakin popular dan meningkat dengan mendadak seiring dengan peningkatan populariti media sosial. Semenjak hampir sedekad yang lalu, penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Snapchat dan TikTok dilaporkan telah meningkat dengan drastik terutamanya dalam kalangan remaja.

Berbanding dengan media tradisional seperti radio, media sosial merupakan medium bersosial yang jauh lebih menarik kerana bersifat interaktif dan pemilik akaun media sosial boleh membina sendiri profile mereka untuk dipamerkan kepada followers atau friends mereka. Kebolehan mengawal dan mengekspresikan kekreatifan individu ini secara tidak langsung menyumbang kepada populariti dan perkembangan budaya swafoto.

Definisi swafoto ialah perbuatan menangkap gambar sendiri menggunakan peranti mudah alih (handheld device) seperti telefon pintar dan tablet, yang akan dimuat naik di media-media sosial. Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan, berbanding dengan lelaki, wanita lebih cenderung untuk berswafoto dan memuat naik gambar-gambar tersebut di media sosial dan lebih cenderung untuk meluangkan masa mengurus akaun mereka.

Walaupun tidak dinafikan faedah seperti membantu menambahbaik komunikasi dengan orang sekeliling tanpa batasan tempat atau masa, peningkatan penggunaan media sosial dan budaya berswafoto ini telah dilaporkan memberi banyak kesan-kesan negatif. Penggunaan media sosial yang berlebihan dan budaya berswafoto ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ketidakpuasan imej tubuh dan berat badan (body image and weight dissatisfaction).

Artikel kali ini akan membincangkan kajian terbaru berkaitan kesan budaya swafoto dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial kepada seseorang individu dan projek fotografi “Selfie Harm” oleh jurugambar terkenal British, Rankin.

Kajian Saintifik “Selfie Harm” – Menganggu mood dan menyebabkan keresahan

Pada tahun 2018, sebuah kajian saintifik untuk mencari kesan berswafoto dan memuat naik gambar swafoto tersebut di media sosial kepada imej tubuh badan (body image) dan mood dalam kalangan wanita telah dijalankan di Flinders University di Ainsdale, South Australia.

Mood adalah sesuatu yang kita selalunya tidak sedar sehinggalah terdapat perubahan dalam sikap kita, sama ada baik atau buruk.

Mood, jika dibandingkan dengan emosi, lebih cenderung untuk bertahan lebih lama, berjam-jam bahkan berhari-hari. Emosi adalah lebih sekejap dan adalah merupakan respons lebih spesifik kepada sesuatu keadaan seperti marah, sedih dan sebagainya.

Dalam kajian mereka, peserta telah dibahagikan kepada tiga kumpulan;

  1. Untouched Selfie: peserta tidak dibenarkan untuk menambah apa-apa filter atau mengubah gambar swafoto mereka sebelum memuat naik gambar tersebut di akaun media sosial mereka
  2. Retouched Selfie: peserta-peserta dalam kumpulan ini dibenarkan untuk mengubah atau menambah filter
  3. Control, peserta dalam kumpulan ini hanya disuruh untuk membaca artikel pendek daripada laman sesawang tertentu yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang memuat naik gambar swafoto tanpa dibenarkan untuk mengubah atau menambah filter, didapati jauh lebih resah, kurang keyakinan dan merasakan diri mereka kurang menarik berbanding dengan mereka yang tidak mengambil swafoto.

Tambahan lagi, menambah filter atau mengubah suai gambar swafoto dilihat tidak akan menambah keyakinan mahupun meningkatkan mood seseorang. Tahap keresahan mereka tetap sama jika dibandingkan dengan peserta yang tidak mengubah suai swafoto mereka.

Semua kesan-kesan ini mnyumbang kepada ketidakpuasan imej tubuh dan berat badan (body and weight dissatisfaction). Kesimpulannya, kajian ini mendapati mengambil gambar swafoto dan memuat naik di akaun media sosial, tidak kira sama ada menambah filter ataupun tidak, boleh menganggu mood, menambah keresahan, mengurangkan tahap keyakinan dan merendahkan persepsi individu kepada imej tubuh badan mereka. Kesan-kesan negatif ini tidak didapati dalam kalangan mereka yang tidak mengambil swafoto.

Kajian ini adalah antara yang pertama yang mengfokuskan kepada causal relationship, yang bermaksud, dengan kehadiran faktor A akan menyebabkan berlakunya kejadian B. Dalam kajian ini, perbuatan berswafoto, dan memuatnaik gambar tersebut ke media sosial (faktor A) akan mengganggu mood dan mengurangkan keyakinan diri mereka (kejadian B).

Projek Fotografi “Selfie Harm”  oleh Jurugambar British, Rankin

Jika tadi dibincangkan tentang kajian saintifik, subtopik kali ini berkaitan dengan sebuah projek fotografi yang dijalankan oleh jurugambar fesyen British, John Rankin Waddell, atau lebih dikenali sebagai Rankin. Beliau merupakan jurugambar profesional yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang fotografi termasuk pernah menjadi jurugambar Queen Elizabeth II. Siri fotografi yang diberi tajuk “Selfie Harm” ini merupakan sebahagian daripada projek “Visual Diet” beliau bersama-sama dengan M&C Saatchi dan MT Art Agency.

Dalam projek “Selfie Harm” ini, Rankin telah mengambil gambar 15 orang remaja dan membenarkan mereka untuk mengubah suai gambar mereka sehingga mereka merasakan gambar itu “social-media friendly”. Hasil daripada projek ini menunjukkan keputusan yang memeranjatkan dengan pelbagai ubah suai telah dilakukan untuk memenuhi imej sempurnayang mereka impikan (Gambar 1), dan Rankin mengatakan kebanyakan ubah suai yang dilakukan adalah untuk meniru idola-idola mereka. Antara yang diubah ialah hidung yang semakin kecil, mata yang besar, warna kulit yang lebih cerah, bibir yang lebih mungil dan bentuk muka yang semakin tirus.

Gambar 1: Antara fotograf yang diambil oleh jurugambar terkenal, Rankin, dalam projek “Selfie Harm” beliau. Gambar di sebelah kanan adalah dikira sebagai lebih “social-media friendly” selepas diubah suai.

Antara tujuan Rankin melaksanakan projek ini adalah untuk memberi kesedaran (awareness) tentang bahaya media sosial, terutama kepada persepsi self-image seseorang. Kebebasan di media sosial memudahkan para pengguna untuk membandingkan imej diri mereka dengan imej pemilik akaun media sosial lain yang lebih cantik dan sempurna, yang besar kemungkinan juga telah diubah dan ditambah filter tertentu.

Bagaimana untuk mengubah persepsi dan menambah baik imej tubuh kita?

Beberapa langkah mudah yang boleh kita lakukan untuk menambaik baik self-image dan mengelakkan daripada ketidakpuasan imej tubuh dan berat badan:

  1. Unfollow akaun-akaun media sosial yang menggunakan imej dan tubuh badan mereka untuk menjual produk atau apa-apa servis kepada anda
  2. Follow akaun media sosial yang berkongsi maklumat-maklumat kesihatan yang benar dan berdasarkan bukti saintifik, dan pemakanan seimbang (it’s not only about the abs!)
  3. Mengatakan perkara-perkara yang baik tentang tubuh badan anda, termasuklah ketika anda bersosial dengan rakan-rakan anda,
  4. Cari maklumat dan praktiskan gaya pemakanan sihat dan kekal aktif dengan melakukan senaman dan aktiviti-aktiviti fizikal yang memberi anda keseronokan, bukan menghukum diri anda
  5. Beri perhatian kepada jenis-jenis tubuh badan yang normal di sekeliling anda dan sedar bahawa bentuk tubuh badan anda adalah normal.

Rujukan

  1. Cascone, S. (2019, February 07). For a Project Called ‘Selfie Harm,’ a Photographer Asked Teens to Photoshop Their Own Portraits. What They Did Was Scary. Retrieved September 01, 2020, from News.artnet.com
  2. Hillen, B. (2019, February 08). Photography project ‘Selfie Harm’ tasked teens with editing their portraits for social media. Retrieved September 01, 2020,
  3. McLean, S. A., Jarman, H. K., & Rodgers, R. F. (2019). How do “selfies” impact adolescents’ well-being and body confidence? A narrative review. Psychology research and behavior management12, 513.
  4. Medlin, S. (2019, May 15). Health Versus Aesthetics – How Social Media is Affecting Your Body Image. Retrieved September 01, 2020, from Forbes.com
  5. Mills, J. S., Musto, S., Williams, L., & Tiggemann, M. (2018). “Selfie” harm: Effects on mood and body image in young women. Body Image27, 86-92.
  6. Sandoiu, A. (2018, November 19). How does social media use affect our body image? Retrieved September 01, 2020, from Medicalnewstoday
  7. Thagard, P. (2018, May 23). What Are Moods? Retrieved September 01, 2020, from Pshycologytoday
  8. “Selfie” by kaatverschuere is licensed under CC BY 2.0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.