Jom Laksanakan Aktiviti Fizikal Bersama Anak anda

aktiviti fizikal bersama anak anda

Aktiviti fizikal bermaksud semua jenis pergerakan anggota tubuh badan yang disebabkan oleh kontraksi otot. Aktiviti fizikal terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap rendah, tahap sederhana dan tahap tinggi. World Health Organization [WHO], 2011 telah menyarankan supaya kanak-kanak dan remaja yang berusia lima hingga tujuh belas tahun untuk malaksanakan aktiviti fizikal selama 60 minit sehari termasuklah aktiviti fizikal tahap sederhana dan tahap tinggi.

Cabaran

Cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam melaksanakan aktiviti fizikal semasa di prasekolah adalah waktu yang diperuntukkan untuk melaksanakan aktiviti luar yang merangkumi aktiviti fizikal adalah terhad sebanyak 120 minit sahaja dalam seminggu (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2016). Selain dari itu, kesibukkan ibu bapa dalam urusan kerja juga meyebabkan kanak-kanak tidak dapat melaksanakan aktiviti fizikal bersama keluarga mengikut saranan waktu pihak WHO. Secara tidak langsung, kekangan ini boleh menyebabkan kurangnya perlaksanaan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak.

Kesan Kurang Melakukan Aktiviti Fizikal

Kajian Dale, Corbin, & Dale (2000) menegaskan bahawa apabila aktiviti fizikal di sekolah adalah terhad untuk dilakukan, maka kanak-kanak tidak akan memperoleh semula waktu untuk menjalankan aktiviti fizikal selepas waktu persekolahan. Kesannya, apabila kanak-kanak tidak menjalankan aktiviti fizikal secara aktif, dianggarkan bilangan kanak-kanak obesiti semakin meningkat. Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh daripada World Health Organization (WHO) (2019), Malaysia menunjukkan nilai peratusan kedua tertinggi bagi kanak-kanak obesiti di Asia.

Kekurangan perlaksanaan aktiviti fizikal di luar bilik darjah atau rumah serta kurang pendedahan terhadap matahari juga boleh menjejaskan kadar penyerapan vitamin D terhadap tubuh badan kanak-kanak (Al-Othman et.al,. 2012). Kekurangan penyerapan vitamin D ini boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak berisiko untuk merima beberapa jenis penyakit seperti diabetis tahap 2, masalah hati, influenza, kemurungan (Akanksha & Pragya, 2017), penyakit riket (Ji, Tze & Jennifer, 2013) dan peningkatan tahap pharatyriod (Holick, Siris, Binkley et al., 2007). Oleh hal yang demikian, peningkatan perlaksanaan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa bukan sahaja perlu ditingkatkan di rumah malahan di peringkat sekolah (Al-Othman et.al,. 2012).

Kelebihan Melaksanakan Aktiviti Fizikal

Setelah penat melaksanakan aktiviti fizikal, pasti ibu bapa dan anak-anak nak tahu apa kelebihan dalam melaksanakan aktiviti fizikal. Antara kelebihan aktiviti fizikal yang boleh diperoleh adalah kanak-kanak akan memperoleh berat badan yang ideal. Berat badan yang ideal bagi kanak-kanak boleh diukur dengan menggunakan formula berat (kg) dibahagi dengan tinggi (meter2). Berat kanak-kanak perlu dikawal untuk sentiasa berada pada tahap ideal bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah obesiti.

Selain dari itu, perlaksanaan aktiviti ini dapat meningkatkan perkembangan motor kanak-kanak sama ada motor halus atau motor kasar. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak melaksanakan aktiviti bermain bola sepak, perkembangan motor kasar kanak-kanak boleh dikembangkan melalui tendangan dan larian yang berlaku sepanjang sesi permainan.

Bukan itu sahaja, perlaksanaan aktiviti fizikal yang berterusan juga dapat membantu kanak-kanak untuk tidur lebih lena dan dapat meningkatkan menyerapan vitamin D yang dapat diperoleh secara tidak langsung semasa melaksanakan aktiviti fizikal di luar rumah.

Cadangan Aktiviti Fizikal Bersama Kanak-kanak

Aktiviti fizikal kanak-kanak mempunyai tiga tahap iaitu tahap rendah, tahap sederhana dan tahap tinggi. Berikut merupakan aktiviti-aktiviti fizikal yang boleh dilaksanakan oleh kanak-kanak di rumah berdasarkan tahap.

Tahap Rendah: Aktiviti fizikal tahap rendah merupakan aktiviti fizikal yang lebih santai sama ada dalam mahupun luar rumah. Antara contoh aktiviti fizikal pada tahap rendah adalah berjalan, berjalan santai, merangkak; dan bermain permainan papan (board games).

Tahap Sederhana: Kebiasaannya, aktiviti fizikal tahap sederhana dilaksanakan di luar rumah. Antara aktiviti fizikal tahap sederhana yang boleh dilaksanakan bersama kanak-kanak adalah berbasikal, bermain tali lompat (skipping), bermain di taman permainan; dan berjalan pantas.

Tahap Tinggi: Bagi aktiviti tahap tinggi, kanak-kanak disarankan untuk melaksanakan aktiviti seperti bermain bola sepak, bermain badminton, berenang, bermain lompat tali; dan bermain kejar-kejar.

Kesimpulan

Perlaksanaan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya kanak-kanak sentiada aktif dan cergas sama ada kanak-kanak melaksanakan aktiviti fizikal dalam atau pun luar rumah. Ibu bapa atau penjaga juga perlu sentasa bijak dalam mencari ruang waktu bersama anak-anak supaya mereka sentiasa dapat melaksanakan aktiviti fizikal dengan pantauan orang dewasa.

Rujukan:

  1. Akanksha Rathi & Pragya Sharma. (2017). Vitamin D Deficiency and Its Related
  2. Health Effects: An Indian Perspective. International Journal of Innovative Research and Advanced Studies. 4(3), 178-181
  3. Al-Othman et. al,. (2012). Effect of physical activity and sun exposure on vitamin DStatus of Saudi children and adolescents. BMC Pediatrics. 12:92.
  4. Bahagian Pembangunan Kurikulum (2016). Dokuman Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
  5. Dale, D., Corbin, C. B., & Dale, K. S. (2000). Restricting opportunities to be active during school time: Do children compensate by increasing physical activity levels after school?. Research Quarterly for Exercise and Sport. 71, 240–248.
  6. Ji. Y.L., T.Y.S., Jennifer (2013). A Review on Vitamin D Deficiency Treatment in Pediatric Patients. J Pediatr Pharmacol Ther 18(4), 277–291
  7. Physical activity and young people. Retrieved October 31, 2020, from WHO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 7 =

Open

Close