Susu Segar VS Susu UHT

susu segar vs susu uht

Susu lembu semakin popular dan seringkali menjadi minuman pilihan untuk menghilangkan dahaga. Selain itu, susu lembu juga kaya dengan nutrien penting seperi kalsium, protein, vitamin dan mineral. Mengikut saranan pengambilan makanan harian Malaysia, seseorang perlu minum sekurang kurangnya 3 gelas susu dalam sehari. Banyak, bukan?

Susu diperlukan dalam diet untuk memastikan pengambilan kalsium dan protein yang penting untuk kesihatan tulang dan tumbesaran. Tahukah anda, kita perlu minum susu sepanjang hidup? Terdapat pelbagai variasi susu dipasaran. Ada yang disusun di rak pada suhu bilik dan ada yang disusun di ruangan sejuk. Apakah perbezaannya? Nampak sama, tetapi mengapa perlu disimpan disuhu berbeza. Artikel ini akan mengupas perbezaan jenis susu lembu dan bagaimana ia mempengaruhi cara penyimpanan.

Susu Segar

Berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Regulasi Makanan 1985, susu segar bermaksud susu normal, bersih dan segar yang dihasilkan oleh lembu, kerbau atau kambing yang sihat. Haiwan mamalia ini perlulah diberi diet yang mencukupi dan dipelihara dengan baik. Susu perlu mempunyai tidak kurang daripada 3.25% lemak dan 8.5% pepejal bukan lemak.

Atas faktor keselamatan makanan, kita perlu mengambil susu yang telah di ‘pasteur’. Hal ini kerana, proses pasteurisasi susu berupaya untuk membunuh kuman dan bakteria.

Terdapat dua teknik dalam pempasteuran susu.

1. Holding Method

Susu dikenakan haba dijulat 63°C hingga 65°C sekurang kurangnya dalam masa 30 minit. Sejurus itu, disejukkan ke suhu 4°C atau kurang. Susu perlu sentiasa berada di suhu bawah 4°C ini dan perlu dijauhkan dari sumber pencemaran makanan sehingga sampai ke pengguna.

2. High Temperature Short Time Method

Susu dikenakan haba tidak kurang daripada 73°C selama 15 saat. Sejurus itu, disejukkan ke suhu 4°C atau kurang.

Susu UHT

Susu UHT atau Ultra High Temperature ialah susu yang telah dikenakan haba yang tidak kurang daripada 135°C selama sekurang kurangnya 2 saat dan terus dibungkus secara aseptik kedalam bungkusan steril. Proses ini juga dikenali sebagai “commercially sterile”atau steril dan bersih daripada bakteria dan enzim bakteria yang tahan haba. Di suhu ini, kebanyakan bakteria akan mati.

Penyimpanan

1. Susu Segar

Susu segar biasanya boleh didapati di bahagian sejuk atau chiller. Oleh kerana itu, sejurus selepas dibeli, susu segar perlu segera dibawa pulang dan dimasukkan kedalam peti sejuk. Sekiranya tidak dapat terus pulang ke rumah, selepas dibayar di kaunter, masukkan susu segar ke dalam kotak ais supaya dapat mengekalkan suhu sejuk dan kesegaran susu tersebut. Langkah ini juga penting untuk mengelakkan susu rosak diserang bakteria.

2. Susu UHT

Susu UHT pula biasanya diletakkan di suhu bilik sahaja. Harganya juga sedikit murah jika dibandingkan dengan susu segar kerana ia mudah dan tidak renyah dihantar dari kilang ke pasaran. Lori penghantaran susu UHT tidak memerlukan chiller. Oleh itu, kos dapat dikurangkan. Jika dibandingkan dengan susu segar, susu UHT boleh menjangkau hayat selama 6 bulan. Tetapi, sebaik sahaja dibuka, susu tersebut perlu disimpan di suhu 4°C dan perlu dihabiskan dalam masa 3 ke 4 hari.

Walaupun kedua dua susu ini berbeza cara penyimpanannya, tetapi jika diperhatikan terdapat persamaan dari segi material pembungkusan. Susu segar dan UHT dibungkus menggunakan kotak atau plastik pembungkusan minuman yang tidak telus cahaya. Oleh kerana vitamin yang terdapat dalam susu sangat sensitif kepada cahaya, pembungkusan sedemikian sangat penting untuk menjaga kualiti susu. Botol kaca pernah digunakan untuk menyimpan susu, tetapi semakin lama susu terdedah dengan cahaya, semakin kurang kandungan vitamin didalam susu terutamanya vitamin B2 yang sangat sensitif cahaya. Ia boleh merubah rasa susu tersebut.

Kesimpulan

Untuk mendapatkan nutrien dalam susu semaksima yang mungkin, kita seharusnya mengikut tatacara penyimpanan susu mengikut label di kotak susu. Baca label dikotak susu dan ikut aturan yang diarahkan. Simpan susu disuhu 4°C di dalam bungkusan asal. Habiskan susu dalam masa 3 ke 4 hari. Sentiasa pastikan susu ditutup untuk mengelakkan susu menyerap rasa dan bau makanan lain. Elak bekukan susu kerana struktur protein susu boleh terjejas apabila dinyahbekukan. Susu mungkin akan menjadi seperti tekstur dadih.

Rujukan:

  1. Food Act 1983 (Act 281) & Regulations
  2. Malaysian Dietary Guidelines

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.