Teknologi Alat Bantu Pendengaran

alat bantu dengar

Pernahkan anda melihat alat bantu pendengaran (ABP)? Ia datang dengan pelbagai bentuk, saiz, warna serta teknologi yang berbeza. Sehingga ke hari ini, saiz ABP yang paling kecil adalah sebesar syiling 50 sen. Di Malaysia, terdapat banyak syarikat alat bantu pendengaran yang menawarkan ABP yang berbeza kepada pesakit dari harga serendah RM 1500 untuk model asas hingga setinggi RM20, 000 untuk alat yang paling moden dan terkini.

Namun begitu, tahukah anda bagaimana ABP berfungsi? Artikel kali ini akan mengupas secara terperinci tentang teknologi ABP yang mungkin anda belum tahu.

Mekaniks Alat Bantu Pendengaran

Secara amnya, ABP mempunyai 7 komponen utama iaitu mikrofon, Analog-to-Digital Converter (A/D Converter), Amplifier, Digital Signal Processor (DSP), Digital-to-Analog Converter (D/A Converter) pembesar suara (speaker) dan bateri. Setiap komponen ini diperlukan untuk menukar bunyi persekitaran dan pertuturan kepada bentuk yang boleh difahami dan diterima oleh pesakit bermasalah pendengaran. Teknologi ABP juga menggunakan sistem noise reduction, auto microphone (directional & omnidirectional) beserta fitting formula tertentu dalam memproses bunyi untuk pesakit.

1. Mikrofon

Mikrofon yang digunakan dalam ABP berfungsi sama seperti mikrofon biasa. Tugasnya adalah sebagai alat untuk menerima bunyi daripada sekeliling. Apabila merekod bunyi, diafram mikrofon melakukan pergerakan keluar dan ke dalam. Gerakan ini seterusnya menggerakkan magnet yang melekat pada diafram mikrofon ke dalam dan keluar daripada gegelung wayar dan menghasilkan signal elektrik yang turut dikenali sebagai signal analog.

Jenama ABP berbeza akan mempunyai kualiti serta keupayaan mikrofon yang berbeza. Di sini, amat penting untuk mikrofon berupaya menerima bunyi daripada frekuensi spektrum yang luas agar komponen ABP yang lain mendapat maklumat yang cukup untuk memproses bunyi.

2. Analog-to-Digital Converter (A/D Converter)

Turut dikenali sebagai A/D Converter. Sepertimana namanya, fungsi komponen ini untuk menukar signal analog daripada mikrofon kepada bentuk digital. Di sini, A/D Converter menafsir signal analog kepada bentuk binari yang menggunakan sistem nombor 1 dan 0. Bentuk binari ini adalah satu-satunya bentuk yang boleh dibaca oleh prosessor ABP. Signal ini kemudiannya dihantar kepada amplifier.

Gambar Dari RetirementLiving.com

3. Amplifier

Setelah signal digital sampai kepada amplifier, amplifier akan menjalankan tugasnya untuk membesarkan signal digital terbabit. Ini memastikan signal digital adalah cukup besar untuk dibaca oleh DSP.

4. Digital Signal Processor (DSP)

DSP adalah ‘’otak’’ kepada keseluruhan sistem ABP. Kewujudan DSP adalah komponen penting dalam membezakan ABP dan pembesar suara. DSP akan ‘’membaca’’ signal digital daripada A/D Converter dan menggunakan algoritma tertentu untuk menyelesaikan isu berkait dengan bunyi latar belakang percakapan yang bising, bunyi angin ketika memandu sambil membuka tingkap, bunyi berdesing daripada ABP (feedback), kejelasan pertuturan (speech clarity) serta banyak lagi isu lain.

5. Digital-to-Analog Converter (D/A Converter)

Mempunyai fungsi yang berlawanan dengan A/D Converter. Setelah DSP memproses signal digital, ia akan menghantar signal tersebut kepada D/A Converter. Di sini, signal digital akan ditukar semula kepada signal analog yang seterusnya di terima oleh pembesar suara.

6. Pembesar Suara (Receiver)

Komponen yang paling mudah dikenalpasti pada ABP. Tugasnya adalah untuk menukar signal analog yang sudah diproses kepada tenaga bunyi. Signal analog (signal elektrik) akan menggerakkan diafram pembesar suara melalui proses pergerakan magnet melalui gegelur wayar. Semakin kuat signal elektrik, semakin kuat pergerakan diafram menghentam udara. Ini menghasilkan gelombang bunyi yang akan didengari oleh telinga pesakit.

7. Bateri

Tahukah anda bateri ABP yang paling besar hanya berdiameter 1cm? Ya, dengan kemajuan teknologi ABP tidak memerlukan bateri yang bersaiz besar. Bateri ABP telah berpindah daripada menggunakan merkuri kepada zink sebagai bahan asas. Tujuannya untuk menghasilkan bateri yang lebih kecil, tidak mudah bocor, selamat dan menghasilkan voltan yang stabil.  Terdapat 4 jenis bateri ABP yang diberikan kod nombor dan warna berbeza iaitu 10 (kuning), 312 (coklat), 13 (jingga) dan 675 (biru). Kod nombor dan warna ini adalah piawai antarabangsa untuk memudahkan pengguna. Maksudnya, anda tetap boleh membeli bateri untuk ABP anda walaupun sedang melancong ke Brazil.

(Gambar Dari Connevans.co.uk)

Mengapa Guna Alat Bantu Pendegaran dan Tidak Personal Amplifier?

Jawapannya adalah kerana fungsi pada personal amplifier tidak sama dengan ABP. Hal ini berkait rapat dengan kualiti serta kemampuan komponen ABP. Sudah tentu ABP yang lebih mahal mempunyai kualiti dan kemampuan yang jauh lebih baik berbanding personal amplifier yang murah.

Tambahan lagi, ABP boleh bertindak sebagai streamer apabila disambungkan kepada telefon bimbit, television, radio mahupun komputer. Ianya juga boleh disambungkan dengan Sistem FM yang dapat membantu individu mendengar dengan lebih jelas apabila berada dalam mesyuarat ataupun kelas yang bising. Kelebihan ini tidak wujud sama sekali pada personal amplifier.

Sesetengah ABP juga dilengkapi dengan teknologi pengecasan. Jadi, pengguna tidak perlu sentiasa membeli bateri baru. Ini memberi penjimatan kepada pengguna selain daripada menyelamatkan alam sekitar.

Namun, yang paling penting adalah ABP yang mahal lebih SELAMAT. ABP mahal boleh diprogram oleh audiologis terlatih dengan data tahap pendengaran pengguna. Sekali gus memastikan bunyi yang terhasil tidak terlampau kuat hingga merosakkan baki pendengaran pesakit dan tidak terlampau perlahan sehingga pesakit tidak mendapat manfaat daripada ABP. Jadi, jangan terkejut apabila anda ke hospital dan diberi guna ABP, bukannya personal amplifier.

Rujukan:

  1. Connevans Limited. (2020). Hearing Aid Batteries – Zinc Air. Retrieved from Connevans
  2. D, S. (2020). 5 Signs You Should Upgrade to Newer Technology. Retrieved from Swift Audiology
  3. H, J. (2020, September 17). What is a Preamplifier? Why Do We Need Them? Retrieved from Ledgernote.com
  4. Li, Y., Chen, F., Sun, Z., Weng, Z., Tang, X., Jiang, H., & Wang, Z. (2019). A Smart Binaural Hearing Aid Architecture Based on a Mobile Computing Platform. Electronics, 18.
  5. M, T. A., & J, G. S. (2015). Management of Children with Mild, Moderate, and Moderately Severe Sensorineural Hearing Loss. Otolaryngologic Clinics of North America, 13.
  6. P, P. S., & F, B. R. (2013). Performance Analysis of Ten Brands of Batteries for Hearing Aids. Int. Arch. Otorhinolaryngol., 14.
  7. R, S. (2001, July 2). DIGITAL HEARING AIDS: Hype, Hoax or Hope. Retrieved from Audiologyonline:
  8. RetirementLiving.com. (2020). Widex Hearing Aids. Retrieved from RetirementLiving.com
  9. T, R. (2020, March 12). How Do Speakers Work? Retrieved from Soundguys

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.