Punca Tidak Datang haid yang anda perlu tahu?

punca tidak datang haid

Kaum wanita semestinya sudah sinonim dengan kehadiran haid pada setiap bulan secara kebiasannya. Kedatangan haid oleh kaum wanita adalah berbeza-beza serta menjadi kayu pengukur terhadap status kesihatan dan fisiologi badan seseorang individu tersebut. Namun, tahukah anda terdapat juga keadaan seseorang itu juga boleh mengalami masalah tidak datang haid atau disebut sebagai ‘amenorrhea’ dalam istilah perubatan.

Jenis Tidak datang haid

Terdapat 2 jenis amenorrhea:

1. Amenorrhea primer

Amenorrhea primer berlaku apabila seorang wanita ketiadaan haid pada umur 15 tahun. Bagi mereka yang mempunyai kekurangan dari segi perubahan akil baligh bermula umur 13 tahun digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mengesan tanda-tanda berlakunya kelewatan akil baligh.

2. Amenorrhea sekunder

Amenorrhea sekunder adalah ketiadaan haid selepas 3 kitaran atau 6 bulan. Bagi mereka yang mengalami kelewatan haid pada tempoh 35 hari atau lebih untuk wanita dewasa atau 45 hari bagi remaja juga dikenali sebagai oligomenorrhea. Keadaan ini juga adalah sama seperti amenorrhea sekunder.

Apakah yang Menyebabkan Amenorrhea?

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan amenorrhea seperti saluran keluar darah yang tidak normal, kekurangan fungsi ovari, penyakit pituitari atau hipotalamus, penyakit kelenjar endokrin atau penyakit kronik. Struktur rangka pelvik yang tidak normal juga dikaitkan dengan amenorrhea primer. Faktor-faktor di bawah ini juga boleh menyumbang kepada amenorrhea:

  1. Mengandung dan menyusu badan
  2. Tabiat pemakanan dan senaman
  3. Perubahan berat badan (bulimia dan anoreksia)
  4. Tekanan
  5. Penggunaan ubat-ubatan
  6. Ketidakseimbangan hormon di dalam badan.

Beberapa punca yang lain adalah:

1. Saluran Keluar yang Tidak Normal

Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan penyakit ‘Mullerian agenesis’ yang dianggarkan berlaku kepada seorang daripada 5000 wanita. Individu yang mengalami masalah ini mempunyai 46, XX kromosom dan mempunyai proses akil baligh yang normal. Namun, individu ini mempunyai anatomi sistem peranakan yang tidak normal akan mempengaruhi pembentukan struktur saluran kencing dan tulang pada bahagian tersebut.

Manakala pesakit yang mempunyai 46, XY kromosom akan mengalami pembentukan ciri-ciri  sekunder seperti lelaki semasa akil baligh. Dua keadaan ini amat jarang berlaku dan kemungkinan akan memerlukan pembedahan terhadap pesakit.

2. Kelemahan Fungsi Ovari

Keadaan ini boleh berlaku kepada seorang daripada 100 wanita disebabkan oleh folikel yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Kebanyakan kes adalah tidak diketahui puncanya, namun terdapat beberapa keadaan yang boleh menyumbang kepada permasalahan ini seperti radiasi, kemoterapi, jangkitan kuman, tumor, proses autoimun dan masalah berkaitan kromosom.

Terapi penggantian hormon boleh mengurangkan masalah simptom putus haid, kekurangan sumber mineral pada tulang dan risiko penyakit kardiovaskular.

3. Gangguan Hipotalamus dan Kelenjar Pituitari

Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘Functional Hypothalamic Amenorrhea’ yang menyebabkan proses ovulasi tidak berlaku akibat daripada faktor-faktor seperti berat badan yang rendah, senaman yang berlebihan dan tekanan yang boleh membawa kesan seperti mandul dan tulang rapuh. Faktor-faktor di atas akan mengganggu fungsi hipotalamus dan kelenjar pituitari dalam menghasilkan hormon yang terlibat dalam penghasilan kitaran haid seperti ‘luteinizing hormone’, ‘follicle-stimulating hormone’, dan ‘estradiol’.

Kaum wanita dari kategori remaja dan dewasa yang mempunyai masalah kurang berat badan yang kronik akan lebih cenderung untuk mempunyai tekanan darah yang tidak stabil, tekanan darah rendah, kadar degupan jantung yang rendah dan penurunan tekanan darah secara tiba-tiba apabila berdiri.

Rawatan bagi mereka yang mempunyai masalah seperti ini adalah dengan mengembalikan fungsi-fungsi ovari secara normal seperti mengubah gaya hidup, melengkapkan pengambilan nutrisi seharian, mengurangkan tekanan dan mempunyai berat badan yang ideal. Pesakit disarankan untuk berjumpa dengan ahli diet atau ahli nutrisi bagi membantu dalam menyediakan panduan diet yang berkesan terhadap pesakit.

4. ‘Polycystic Ovary Syndrome’ (PCOS)

PCOS adalah penyakit yang berpunca daripada gangguan endokrin yang menyebabkan kelemahan fungsi ovari, masalah hormon androgen dan ovari yang mempunyai ‘cyst’ juga boleh menyebabkan amenorrhea. PCOS seringkali dikaitkan dengan sindrom metabolik dan kelemahan fungsi insulin. Tabiat pemakanan yang sihat dan kekerapan senaman adalah cara yang terbaik disarankan kepada pesakit PCOS.

Simptom Amenorrhea

Simptom utama adalah jarang berlakunya haid atau tidak datang haid. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa tanda-tanda lain seperti:

  • Keluarnya cecair berwarna putih susu pada puting payudara
  • Rambut gugur
  • Sakit kepala
  • Perubahan pada penglihatan
  • Pertumbuhan bulu pada muka

Pesakit yang mengalami amenorrhea primer akan mengalami pertumbuhan payudara yang terbantut.

Ujian Pemeriksaan

Terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan untuk mengesan punca kepada masalah tidak datang haid ini.

1. Amenorrhea Primer

Sekiranya seseorang individu itu tidak mengalami haid pada usia 16 tahun, doktor akan menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui kadar hormon yang terdapat pada seseorang itu seperti:

  • Follicle stimulating hormone (FSH)
  • Luteinizing hormone (LH)
  • Thyroid stimulating hormone (TSH)

Pesakit juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan fizikal.

2. Amenorrhea sekunder

Diagnosis untuk amenorrhea sekunder adalah berdasarkan punca yang menyebabkan permasalahan ini. Terdapat beberapa ujian seperti:

  • Ujian kehamilan
  • Ujian fungsi tiroid
  • Ujian fungsi ovari
  • Ujian hormone
  • MRI, CT atau imbasan ultrasound
  • Hysteroscopy – Prosedur dimana kamera dimasukkan ke dalam rahim untuk melihat keadaan rahim

Rawatan Tidak Datang Haid

1. Amenorrhea Primer

Rawatan untuk pesakit kategori ini adalah berdasarkan umur dan keputusan ujian fungsi ovari. Jika pesakit mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami lewat haid, maka pesakit juga cenderung untuk mengalami kedatangan haid yang agak lewat.

Sekiranya terdapat genetik atau masalah anatomi pada organ peranakan, pembedahan mungkin perlu dijalankan. Walaubagaimanapun, cara ini tidak menentukan pesakit akan mengalami kitaran haid yang normal selepas pembedahan.

2. Amenorrhea Sekunder

Rawatan adalah berdasarkan punca yang menyebabkan ketiadaan haid.

  1. Jika seseorang itu melakukan senaman secara berlebihan, perubahan pola senaman dan diet dapat membantu untuk menstabilkan kitaran haid semula.
  2. Berjumpa dengan kaunselor jika anda mengalami tekanan perasaan atau emosi.
  3. Bagi mereka yang mengalami masalah kurang berat badan, disarankan supaya anda berjumpa ahli nutrisi atau ahli diet untuk merancang diet yang sihat bagi menambah berat badan anda.
  4. Ubat thyroxine akan diberikan sekiranya haid terhenti disebabkan tiroid yang tidak aktif.

Kesimpulan

Sesetengah kaum wanita mungkin mengalami masalah amenorrhea ini. Haid boleh terhenti disebabkan beberapa faktor. Namun, perkari ini tidak bermakna seseorang itu mandul dan tidak boleh merancang untuk hamil.  Bagi mereka yang mengalami keadaan seperti ini, eloklah berjumpa dengan para doktor supaya anda tahu bagaimana dan cara untuk mengatasi masalah ini.

Rujukan

  1. Klein DA, Paradise SL, Reeder RM. Amenorrhea: A Systematic Approach to Diagnosis and Management. Am Fam Physician. 2019;100(1):39-48.
  2. Gordon CM, Ackerman KE, Berga SL, et al. Functional Hypothalamic Amenorrhea: An Endocrine Society Clinical Practice Guideline. J Clin Endocrinol Metab. 2017;102(5):1413-1439. doi:10.1210/jc.2017-00131
  3. What is Ammenorrhea? – Medicalnewstoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.