Strok dan masalah komunikasi

masalah komunikasi dalam strok

Pernah atau tidak anda tertanya, mengapa pesakit post-stroke (selepas dapat strok) susah untuk bercakap? Ataupun, mengapa tutur kata mereka susah untuk difahami? Ataupun mengapa mereka sudah kurang untuk bercakap?

Sebelum artikel ini menghuraikan dengan lebih lanjut, amatlah penting untuk pembaca mengetahui bagaimana otak berfungsi untuk memahami dan menghasilkan bahasa. Gambar di bawah menunjukkan dua bahagian utama di dalam otak yang terlibat dengan penghasilan dan pemahaman bahasa iaitu Broca’s area dan Wernicke’s area. Broca’s area adalah bahagian otak yang terlibat dengan penghasilan bahasa ataupun yang berfungsi untuk membenarkan kita bercakap dengan jelas.

Oleh itu, jika seseorang mengalami gangguan ataupun kerosakan di bahagian Brocas’s area, kemampuan untuk bertutur akan terkesan. Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai masalah gumpalan darah (blood clot) atau salur darah pecah di bahagian Broca’s, tutur kata pesakit tersebut akan terkesan seperti bercakap dalam kadar yang perlahan dan tidak lancar.

Bahagian otak yang kedua ialah Wernicke’s area. Wernicke’s area pula bertanggungjawab dari segi pemahaman bahasa. Sebagai contoh, jika seseorang mengalami gangguan atau kerosakan di Wernicke’s, pesakit akan mengalami kesukaran untuk memahami maklumat yang disampaikan oleh seseorang kepadanya.

Gambar di atas menunjukkan Broca’s dan Wernicke’s area. Sumber: Google

Strok

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, strok bermaksud gangguan peredaran darah di otak yang menjejaskan fungi otak/saraf mengakibatkan tanda-tanda sama ada fokal atau global dalam tempoh 24 jam atau lebih atau menyebabkan kematian.

Terdapat tiga jenis strok iaitu

  • Ischemic stroke,
  • Hemorrhagic stroke dan
  • Transient ischemic attack (mini strok).

Ischemic stroke terjadi apabila saluran darah di otak tersumbat akibat plak atau gumpalan (clots) yang menyebabkan gangguan bekalan oksigen ke otak dan mengakibatkan sel-sel otak mati. Kelaziman strok jenis ischemic ialah 80% daripada seluruh kejadian strok.

Seterusnya, hemorrhagic stroke terjadi apabila saluran darah di otak bocor atau pecah dan menyebabkan darah mengalir ke bahagian sel-sel otak lalu mengakibatkan kerosakan.

Jenis stroke yang ketiga ialah transient ischemic attack atau dikenali sebagai mini strok. Mini strok ini hanya terjadi dalam beberapa saat ataupun minit. Punca mini strok ialah saluran darah di otak tersumbat seketika dan tiada kerosakan kekal yang berlaku.

Masalah komunikasi disebabkan strok.

1. Afasia (Aphasia)

Aphasia didefinisikan sebagai gangguan bahasa pada sistem bahasa orang dewasa selepas bahasa sudah dipelajari. Ini bermaksud, aphasia bukanlah masalah bahasa yang terjadi sejak lahir. Seseorang itu pada asalnya mempunyai sistem bahasa yang  normal namun sistem bahasanya terganggu selepas mendapat strok.

Aphasia memberi kesan kepada pemahaman dan penghasilan bahasa/pertuturan seseorang. Sebagai contoh, Encik Abu adalah seorang pesakit post-stroke. Selepas mendapat strok, beliau mempunyai masalah untuk memahami tutur kata seseorang. Hal ini terjadi kerana bahagian otak kiri Encik Abu mengalami gangguan disebabkan strok.

Bahagian otak kiri adalah bahagian yang bertanggungjawab untuk sistem bahasa seperti keupayaan untuk memahami maklumat dan keupayaan untuk bertutur. Selain itu, aphasia juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang upaya untuk menulis, membaca dan menamakan sesuatu. Sebagai contoh, jika kita menunjukkan epal kepada Encik Abu, beliau mengalami kesukaran untuk mengingati lalu menamakan objek tersebut sebagai epal.

2. Dysarthria

Dysarthria ialah kecelaruan pertuturan motor (motor speech disorder) yang disebabkan gangguan untuk mengawal otot-otot yang terlibat dalam pertuturan. Seseorang yang mempunyai dysarthria mempunyai masalah untuk berkomunikasi disebabkan oleh kelemahan, masalah koordinasi atau lumpuh pada otot pertuturan. Contoh otot pertuturan ialah otot pada lidah dan bibir.

3. Apraxia of speech

Apraxia of speech disebabkan gangguan neurologi pertuturan pada otak yang menyebabkan pesakit  mempunyai kesukaran untuk menggerakkan mulut dan lidah untuk menghasilkan tutur kata yang betul. Hal ini berlaku kerana pesakit mempunyai masalah untuk menyampaikan mesej dari otak ke organ pertuturan.

Seterusnya, pesakit yang mempunyai apraxia of speech juga mengalami masalah untuk merancang, menyusun serta menyebut bunyi dan perkataan ketika berkomunikasi lalu menyebabkan pertuturannya sukar difahami. Ini berlaku walaupun tiada kelemahan pada otot-otot muka.

Kesimpulannya, strok boleh mengakibatkan masalah komunikasi seperti aphasia, dysarthria dan apraxia of speech. Sekiranya anda ingin mendapatkan rawatan rehabilitasi, pegawai pemulihan perubatan (pertuturan) ataupun terapis pertuturan dan bahasa adalah profesional yang bertanggungjawab dalam bidang masalah komunikasi tersebut.

Rujukan:

  1. Acquired apraxia of speech. Retrieved from American Speech-Language-Hearing-Association.
  2. Blom Johansson, M. (2012). Aphasia and communication in everyday life: Experiences of persons with aphasia, significant others, and speech-language pathologists (Doctoral dissertation, Acta Universitatis Upsaliensis).
  3. Hallowell, B. (2016). Aphasia and other acquired neurogenic language disorders: A guide for clinical excellence. Plural Publishing.
  4. Kementerian Kesihatan Malaysia (n.d.). Tidak boleh bercakap selepas strok. Retrieved from Myhealth

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.