Kulat dalam mulut? Biar betul!

Kulat pada roti

Tahukah anda rongga mulut manusia didiami oleh mikroorganisme yang terdiri daripada pelbagai jenis dan spesis. Mikroorganisme yang terdapat di dalam rongga mulut dikenali sebagai mikroflora oral. Jumlah dan jenis mikroflora oral ini bergantung kepada faktor umur, genetik, pengamalan diet dan tahap kebersihan oral individu tersebut.

Perubahan ekosistem oral juga mempengaruhi mikroflora oral seseorang individu atas beberapa faktor seperti pengambilan antibiotik, vaksin dan aktiviti merokok merangkumi perokok aktif dan perokok pasif. Air liur dikatakan mempunyai jumlah bakteria yang banyak berbanding dengan bahagian-bahagian rongga mulut yang lain.

Kalau anda nak tahu, terdapat sejenis spesis kulat yang mendominasi hampir 75% rongga mulut manusia. Kulat tersebut adalah daripada spesis Candida. Kehadiran kulat ini adalah normal bagi seseorang individu yang sihat. Namun tidak bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Candida albicans adalah sejenis kulat daripada spesis Candida yang seringkali menyebabkan jangkitan pada bahagian mulut yang dikenali sebagai ‘Oral thrush’ atau kandidiasis mulut. Hampir 95% kes jangkitan kandidiasis mulut adalah disebabkan oleh Candida albicans.

Malahan, Candida albicans juga boleh menjangkiti bahagian lain selain rongga mulut terutamanya bahagian orofarinks dan esofagus. Jangkitan ini selalunya berkait rapat dengan mereka yang mempunyai masalah dari segi sistem pertahanan badan mereka.  Pasti anda tertanya-tanya siapakah individu yang tergolong dalam kalangan tersebut.

Golongan yang terdedah kepada kandidiasis mulut boleh dikategorikan kepada dua faktor, iaitu faktor setempat dan faktor sistemik.

Faktor setempat:

  1. Kemeresotan fungsi air liur
  2. Penggunaan gigi palsu
  3. Penyedut steroid oleh pesakit asma
  4. Aktiviti merokok

Faktor sistemik:

  1. Warga emas dan bayi
  2. Penggunaan antimikrobial spektrum-luas
  3. Penggunaan ubat yang merencat sistem pertahanan badan
  4. Kelemahan sistem pertahanan badan
  5. HIV/AIDS
  6. Kencing manis
  7. Kekurangan nutrisi
  8. Radioterapi dan kemoterapi (Kanser kepala dan leher)

Pesakit HIV atau AIDS adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kandidiasis mulut ini. Perlu diingatkan bahawa golongan-golongan ini mudah dijangkiti kandidiasis mulut disebabkan Candida albicans ini adalah spesis kulat yang memerlukan peluang untuk menyebabkan jangkitan.

Perubahan ekologi mulut seseorang individu akan menggalakkan peralihan sifat kulat tersebut yang pada mulanya tidak mendatangkan kesan buruk kepada perumah menjadi patogen yang boleh menyebabkan jangkitan kandidiasis mulut. Jangkitan berpeluang (opportunistic infection) seperti ini seringkali dikaitkan dengan individu yang sudah berpenyakit.

Tanda dan Gejala Kandidiasis Mulut

Antara tanda dan gejala kandidiasis mulut (Jangkitan kulat dalam mulut) adalah seperti:

  • Mulut kering,
  • Kehilangan deria rasa
  • Rasa terbakar di bahagian rongga mulut.

Namun, perlu diingatkan jangkitan kulat ini boleh menjadi lebih teruk dengan merebak melalui saluran darah dan mempengaruhi organ-organ dalaman yang penting. Bilangan kuantiti spesis Candida yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Warna putih menunjukkan kulat di dalam mulut

Interaksi Dua Hala Candida albicans – Bakteria

Wujudnya kerjasama antara spesis atau hubungan dua hala dalam kalangan komuniti mikrob untuk meningkatkan ketahanan spesis yang lain. Sebagai contoh, dalam kalangan flora bakteria, streptokokus adalah penghuni utama di dalam rongga mulut yang mempunyai peranan penting dalam menghasilkan karbon sebagai sumber nutrisi untuk menggalakkan pertumbuhan Candida albicans.

Tambahan pula, asid laktik yang dihasilkan oleh streptokokus pula digunakan oleh Candida albicans untuk merendahkan paras oksigen bagi menyesuaikan persekitaran sekeliling terhadap streptokokus. Walaupun hubungan ini agak mesra bagi Candida albicans dan streptokokus, tetapi tidak bagi perumah kepada organisma tersebut.

Streptococcus mutans misalnya seringkali dikaitkan dengan pengumpulan plak pada gigi seterusnya menyebabkan karies gigi atau gigi berlubang. Walaubagaimanapun, terdapat bukti yang menyatakan peranan Candida albicans dalam menyumbang kepada karies gigi melalui interaksi dengan Streptococcus mutans.

Yang lebih menarik lagi, terdapat kajian yang menyatakan penggunaan gula yang berlebihan menjadi faktor utama kepada karies gigi juga berkait rapat dengan interaksi dua hala antara Streptococcus mutans dan Candida albicans. Jadi, kepada mereka yang suka melebihkan gula dalam makanan, anda perlulah berhati-hati untuk mengelakkan perkara sebegini di kemudian hari.

Kesimpulan

Kebersihan mulut seharusnya tidak dipandang enteng oleh masyarakat. Sekiranya kita tahu bahawa di dalam mulut kita ada pelbagai jenis mikroorganisme, tentu kita akan lebih peka untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut kita. Pepatah mengatakan kesihatan gigi dan mulut adalah cerminan kesihatan tubuh badan.

References

  1. Mayer, F. L., Wilson, D., & Hube, B. (2013). Candida albicans pathogenicity mechanisms. Virulence4(2), 119-128.
  2. Sharma, N., Bhatia, S., Sodhi, A. S., & Batra, N. (2018). Oral microbiome and health. AIMS microbiology4(1), 42.
  3. Vila, T., Sultan, A. S., Montelongo-Jauregui, D., & Jabra-Rizk, M. A. (2020). Oral Candidiasis: A Disease of Opportunity. Journal of Fungi6(1), 15.
  4. Zhou, P. R., Hua, H., & Liu, X. S. (2017). Quantity of Candida colonies in saliva: a diagnostic evaluation for oral candidiasis. Chin J Dent Res20(1), 27-32.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.