Kencing Tikus: Punca, Tanda dan Rawatan

kencing tikus

 “Seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi rakannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas disyaki dijangkiti Leptospirosis atau kencing tikus” (Sinar Harian, 16  Jun 2020)

Leptospirosis atau lebih dikenali masyarakat tempatan dengan nama kencing tikus merupakan antara penyakit berjangkit yang sering berlaku di Malaysia. Kes Leptospirosis pertama direkodkan di Malaysia dikatakan sekitar tahun 1925.

Mungkin ada pembaca tertanya-tanya, kenapa namanya kencing tikus? Apakah kaitan penyakit ini dengan haiwan tersebut?. Seterusnya, bagaimana penyakit ini boleh menjadi begitu serius sehingga boleh menyebabkan kematian?. Justeru, artikel kali ini akan cuba menjawab persoalan tersebut.

PENGENALAN

Leptospirosis merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria spirochete, iaitu spesies leptospira interrogans. Ia merupakan penyakit bawaan zoonotik kerana manusia biasanya mendapat jangkitan ini daripada haiwan terjangkit (infected animals) contohnya tikus. Bakteria ini akan berada di dalam buah pinggang haiwan terjangkit dan akan keluar bersama air kencing haiwan tersebut.

Leptospirosis juga digelar sebagai “The Great Mimicker” kerana boleh menyembabkan simptom yang pelbagai sama seperti penyakit lain mengakibatkan ia agak susah untuk di diagnos. Antara komplikasi penyakit ini adalah seperti menyebabkan kegagalan pada fungsi hati dan ginjal, jangkitan kuman pada otak (Meningitis), atau masalah pernafasan seterusnya kematian andai tidak dirawat.

Trend jangkitan di Malaysia menunjukkan peningkatan kes. Berikut merupakan bilangan kes dilaporkan di Malaysia:

TahunKesKematian
2011226855
2012366548
2013445771
2014780692
2015829178
2016528752

HAIWAN PEMBAWA

Ia dikaitkan dengan tikus kerana sesetengah tikus dijangkiti dengan bakteria ini dan selalunya ia merebak kepada orang lain melalui air kencing tikus tersebut. Ada dua jenis tikus yang sering mengakibatkan Leptospirosis iaitu rattus dan Rattus norvegicus. Populasi tikus di Malaysia dianggarkan lapan ekor tikus per seorang manusia.

Kajian dilakukan pada 2004 di kawasan perumahan sekitar Serdang, mendapati prevalence tikus pembawa bakteria ini adalah sebanyak 3.1% manakala kajian pada tahun 2013 di sekitar Kuala Lumpur mendapati 20 daripada 300 tikus yang ditangkap merupakan pembawa bakteria ini. Walau bagaimanapun, ia juga boleh disebarkan menerusi air kencing haiwan lain seperti:

  • Musang
  • Anjing
  • Babi
  • Kucing
  • Lembu
  • Kambing
  • Kuda
  • Arnab

Haiwan terjangkit akan menjadi perumah (host) kepada bakteria tersebut. Namun, haiwan ini tidak menunjukkan sebarang simptom.

CARA JANGKITAN KENCING TIKUS

Manusia boleh dijangkiti melalui:

  • Terdedah secara langsung dengan air yang tercemar oleh air kencing haiwan terjangkit
  • Mengambil makanan atau minuman yang tercemar oleh air kencing haiwan terjangkit

BOLEHKAH PESAKIT LEPTOSPIROSIS MENJANGKITI MANUSIA YANG LAIN?

Tiada laporan menyatakan seorang pesakit Leptospirosis boleh menjangkiti manusia lain.

FAKTOR RISIKO JANGKITAN LEPTOSPIROSIS

Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes Leptospirosis adalah:

1. Iklim

Hujan yang turun melebihi 600mm dalam tempoh seminggu pada musim tengkujuh boleh mengakibatkan berlakunya banjir. Data menunjukkan, kes Leptospirosis meningkat pasca banjir. Sebagai contoh, banjir besar telah melanda Kelantan pada Disember 2014. Kes Leptospirosis direkodkan meningkat dua kali ganda selepas berlakunya banjir tersebut.

Pada musim banjir, air banjir terdedah kepada pencemaran yang disebabkan oleh air kencing haiwan terjangkit. Air yang tercemar ini boleh memasuki badan melalui rongga-rongga tubuh dan menerusi kawasan luka yang ada pada badan.

2. Aktiviti rekreasi

Rata-rata pesakit yang dijangkiti mendapat jangkitan sewaktu melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah, berenang, berkanu di sungai, air terjun, atau kolam. Ini terjadi disebabkan penjagaan kebersihan di kawasan rekreasi yang tidak memuaskan. Sampah sarap yang dibuang merata tempat menarik perhatian haiwan terjangkit seperti tikus untuk datang.

3. Sampah sarap

Sistem pembuangan sampah sarap yang tidak terurus seperti tidak meletakkan sampah ke dalam tong sampah, akan menarik haiwan terjangkit untuk datang. Selain itu, keadaan pasar basah yang tidak bersih juga dilaporkan menyebabkan kes Leptospirosis meningkat. Menurut laporan, kes Leptospirosis pasca banjir di Kelantan pada tahun 2014 banyak terjadi kepada mereka yang tinggal berhampiran tempat pembuangan sampah. Konklusinya, pelupusan sampah sarap yang tidak teratur meningkatkan kes Leptospirosis,

4. Pekerjaan

Pekerjaan seperti petani, pekerja kumbahan, veterinar dan pengendali haiwan mempunyai risiko tinggi untuk terkena jangkitan leptospirosis. Ia semakin membarah sekiranya mereka tidak menggunakan peralatan yang sesuai sewaktu bekerja.

TANDA-TANDA JANGKITAN KENCING TIKUS

Penyakit ini juga mempunyai tempoh inkubasi (tempoh masa dari pesakit terdedah kepada jangkitan sehingga tanda jangkitan pertama muncul) sekitar 2-30 hari.

Antara tanda-tanda jangkitan leptospirosis boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu:

1. Fasa pertama

  • Demam dengan suhu tinggi
  • Menggigil
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Sakit sendi
  • Loya/muntah
  • Jaundis (Penyakit kuning)
  • Radang mata
  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Batuk tidak berkahak
  • Ruam pada kulit
  • Pembesaran limpa atau hati
  • Bengkak salur kalenjar

2. Fasa kedua (fasa komplikasi)

  • Kegagalan fungsi hati dan ginjal
  • Jangkitan kuman pada otak (Meningitis)
  • Sindrom Weil seperti jaundis (penyakit kuning), kegagalan fungsi ginjal, pendarahan, radang otot jantung (myocarditis) berserta degupan jantung yang abnormal (arrythmia)
  • Disseminated Intravascular Coagulopathy (DIVC). Proses pembekuan darah terjejas sehingga meningkatkan risiko berlaku pendarahan.
  • Pendarahan paru-paru yang teruk sehingga mengakibatkan kegagalan sistem pernafasan
  • Sepsis
  • Kegagalan pelbagai fungsi organ (multiorgan failure)

Para pengkaji berpendapat, kewujudan endotoxin, hemolysin, dan lipase pada bakteria ini mengakibatkan tanda jangkitan dan komplikasi yang teruk. Ia mungkin disebabkan interaksi yang kompleks berlaku sehingga sukar untuk dijelaskan.

Sekiranya diperhatikan, tanda-tanda jangkitan ini boleh dikatakan hampir sama dengan ciri-ciri penyakit berjangkit yang  lain contohnya denggi, malaria, atau melioidosis yang mana menyukarkan proses diagnosa dilakukan.

PENYIASATAN

Sejarah aktiviti rekreasi serta mempunyai teman rapat/ahli keluarga yang mempunyai tanda-tanda jangkitan yang sama membantu doktor untuk mendiagnos penyakit ini.

Walau bagaimanapun, ujian makmal akan dijalankan untuk memastikan penyakit ini. Antara ujian yang dijalankan adalah:

1. Microscopic agglutination test (MAT)

Hanya beberapa makmal dan hospital boleh melakukan ujian ini kerana ia memerlukan pakar untuk mengendali sampel ujian.

2. Polymerase chain reaction (PCR)

Dijalankan dalam tempoh 10 hari.

3. Kultur darah dan air kencing

Darah dan air kencing di ambil untuk dikultur bagi membiakkan dan mengesan bakteria leptospirosis tersebut

ADAKAH PESAKIT PERLU DIKUARANTIN?

Pesakit tidak perlu dikuarantin. Namun, pesakit akan dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut.

RAWATAN KENCING TIKUS

Penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik seperti Doxycycline, Ceftriaxone, atau Benzylpenicillin selama 7 hari.

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Antara langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah:

  • Menjaga kebersihan persekitaran / premis, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain. Sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna ke dalam tong sampah.
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam / sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna. Elakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau saliran air / sungai yang perlahan.
  • Elakkan daripada minum air sungai / kolam yang tidak dimasak.
  • Memilih premis makanan yang bersih dan elakkan daripada mengunjungi mana-mana premis makanan yang kotor.
  • Bagi orang awam yang terdedah kepada risiko penyakit leptospirosis melalui pekerjaan dan aktiviti rekreasi supaya mengambil langkah-langkah berikut:
  • Memakai pakaian perlindungan yang kalis air seperti but getah dan sarung tangan
  • Menutup luka-luka kulit dengan balutan yang kalis air
  • Mencuci dengan air bersih dan sabun selepas pendedahan
  • Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala jangkitan

Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 222;

“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya”

KES MENARIK LEPTOSPIROSIS DI MALAYSIA

Pada tahun 2017, negara dikejutkan dengan kisah Mohd Thaqif, 11 tahun yang dikatakan telah dipukul oleh warden sebuah madrasah mengunakan batang paip. Dia kemudiannya mengadu bengkak kaki berserta sakit dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail. Selanjutnya, kedua-dua kaki Mohd Thaqif didapati mempunyai jangkitan kuman serta darah beku dan terpaksa dipotong untuk mencegah jangkitan merebak ke seluruh badan. Mohd Thaqif akhirnya meninggal dunia pada 26 April 2017.

Selepas beberapa bulan berlalu, akhirnya kematian Mohd Thaqif disahkan kerana terkena Leptospirosis. Seperti yang dinyatakan, penyakit ini amat sukar untuk di diagnos. Tambahan pula, Mohd Thaqif hadir dengan simptom nekrosis kulit iaitu dalam istilah perubatannya dikenali sebagai Purpura Fulminans dan juga pembentukan darah beku mikro (Microthrombi) yang berlaku di seluruh saluran darah. Untuk bacaan lanjut mengenai kes Mohd Thaqif, boleh klik di sini.

RUJUKAN

  1. Garba, B., Bahaman, A. R., Bejo, S. K., Zakaria, Z., Mutalib, A. R., & Bande, F. (2018). Major epidemiological factors associated with leptospirosis in Malaysia. Acta tropica, 178, 242-247.
  2. Garba, B., Bahaman, A. R., Khairani-Bejo, S., Zakaria, Z., & Mutalib, A. R. (2017). Retrospective study of leptospirosis in Malaysia. EcoHealth, 14(2), 389-398.
  3. Radi, M. F. M., Hashim, J. H., Jaafar, M. H., Hod, R., Ahmad, N., Nawi, A. M., … & Ayub, N. I. F. (2018). Leptospirosis outbreak after the 2014 major flooding event in Kelantan, Malaysia: a spatial-temporal analysis. The American journal of tropical medicine and hygiene, 98(5), 1281-1295.
  4. Kenyataan Akhbar KPK 16 Februari 2017 – Kejadian Kes Kematian Leptospirosis di Tanah Merah, Kelantan
  5. Centers for Disease Control and Pevention: Leptospirosis
  6. Guidelines for Diagnosis, Management, Prevention and Control of Leptospirosis in Malaysia 1st Edition 2011
  7. Medscape: Pathophysiology Leptospirosis
  8. National Antimicrobial Guideline 2019
  9. Myeidos.com: Kronologi Kes Adik Mohd Thaqif Sebelum Meninggal
  10. Root of Science: Kes Adik Thaqif: Kenapa doktor potong kaki Thaqif dan kenapa keputusan dapat lambat?
  11. Sinar Harian edisi Terengganu: Lelaki meninggal dunia disyaki akibat kencing tikus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.