Demam Denggi: Punca, Simptom dan Rawatan

demam denggi punca

Kebelakangan ini, ketika negara sedang sibuk memerangi wabak COVID-19, terdapat satu lagi wabak yang sekian lama melanda negara kita. Demam denggi sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan sekitar negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.

Punca Demam Denggi


Demam denggi adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk Aedes yang dijangkiti virus Denggi. Apabila nyamuk Aedes yang dijangkiti mengigit manusia, virus tersebut akan menjangkiti manusia.

Virus denggi mempunya beberapa jenis iaitu, DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Sekiranya anda pernah dijangkiti oleh salah satu jenis virus tersebut, anda akan mempunyai imuniti terhadap virus tersebut sahaja. Oleh itu, anda boleh dijangkiti demam denggi lebih dari satu kali dalam hidup anda.

Nyamuk Aedes jenis aegypti pula adalah vektor atau pembawa virus ini. Nyamuk ini boleh dikenalpasti melalui belang hitam putih pada badan dan kakinya. Nyamuk aedes mula aktif sewaktu awal pagi dan lewat senja. Ia membiak di dalam kawasan air bertakung yang bersih dan jernih. Kitaran hidupnya dari telur, jejentik, kepompong dan nyamuk dewasa hanya mengambil masa 7 hari menyebabkan populasi mereka sangat cepat membesar.

Tanda tanda demam denggi


Sebelum bercerita dengan lebih lanjut tentang tanda demam denggi, umum perlu tahu bahawa terdapat 2 jenis demam denggi; demam denggi biasa dan demam denggi berdarah.

Setelah digigit oleh nyamuk yang membawa virus denggi, seseorang itu akan mula menunjukkan tanda tanda dalam masa 3 hingga 14 hari. Di tahap ini, tanda tanda yang sering dialami ialah:

  • Demam dan rasa lesu. Demam boleh mencecah suhu 40 darjah celcius dan berterusan selama seminggu. Kanak- kanak juga boleh menjadi sawan kerana demam panas.
  • Sakit kepala di bahagian belakang mata
  • Sakit otot dan sendi
  • Hilang selera makan
  • Muntah
  • Sakit perut
  • Ruam kemerahan pada badan

Ruam selalunya timbul ketika demam sudah nak baik dan ia kelihatan seperti tompok tompok merah pada kulit putih. Fasa di atas merupakan fasa demam(febrile phase). Fasa seterusnya adalah fasa kritikal yang mengambil masa 2 hari. Pada waktu ini, demam mula surut dan terdapat perubahan drastik proses pengedaran darah disebabkan reaksi badan kita terhadap virus tersebut.

Kebanyakan pesakit dapat melalui fasa ini dan seterusnya memasuki fasa penyembuhan.Namun begitu, terdapat sesetengah pesakit yang menjadi semakin tenat kerana mereka sukar melepasi fasa ini.

Pasa waktu ini, sistem pengedaran darah dalam badan telah terjejas, darah menjadi semakin pekat dan tekanan darah menjadi rendah menyebabkan mereka mula menunjukkan tanda tanda pendarahan. Terdapat beberapa tanda tanda amaran yang perlu dikenalpasti;

Apabila seseorang itu telah mula menunjukkan tanda tanda di atas, mereka mesti segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut yang akan menentukan samada mereka hidup atau mati.

Ujian Pengesanan


Terdapat beberapa ujian yang akan dilakukan oleh doktor untuk mengesan masalah ini. Selalunya jika pesakit hanya mengalami demam sahaja, doktor akan memberikan masa lebih kurang 3 hari untuk melihat sama ada pesakit akan sembuh atau tidak. Jika pesakit masih demam, selalunya doktor akan mula menyiasat punca demam tersebut.

1. Full Blood Count

Ujian ini untuk melihat jumlah sel darah di dalam badan kita. Selalunya pesakit yang mengalami demam denggi akan mempunyai bilangan platlet dan sel darah putih yang rendah di dalam badan.

2. Dengue Rapid Test

Doktor akan menjalankan ujian “dengue rapid test” yang akan memberi kepastian bahawa seseorang itu telah dijangkiti virus denggi. Ia mengesan antigen NS1 iaitu sejenis protein pada virus denggi. Jika  ujian NS1 ini positif, ia bermakna seseorang itu sedang dijangkiti virus denggi dan dalam fasa akut atau awal.

Terdapat juga beberapa ujian antibodi yang lain seperti antibodi IgM dan IgG. Antibodi ini dihasilkan oleh sistem imun badan bagi melawan virus denggi.

Antibodi IgM biasanya muncul di awal fasa jangkitan manakala IgG muncul sedikit lewat dalam jangkitan denggi kali pertama. Pada jangkitan kali kedua, antibodi IgG akan muncul lebih awal dan menjadi penentu bagi jangkitan denggi kali kedua.

Selain itu terdapat juga beberapa ujian darah lain yang dijalankan oleh doktor bagi memantau keadaan pesakit. Ujian ini termasuk “coagulation test” dan ujian fungsi hati dan fungsi buah pinggang

Rawatan demam denggi


Sehingga hari ini, tiada ubat ditemukan untuk merawat penyakit denggi. Vaksin yang berkesan dan kurang kesan sampingan juga masih belum ditemui bagi menghalang jangkitan virus denggi. Jika di hospital, doktor akan memberikan rawatan simptomatik bagi melegakan simptom yang dialami.

1. Ubat Demam

Ubat demam selalunya tidak diberikan kepada pesakit demam denggi terutamanya jika mereka dimasukkan ke dalam hospital. Ini kerana penting bagi doktor untuk mengetahui bila demam pesakit mula sembuh.

Ketika demam sembuh, pesakit mudah mengalami ‘Fluid overload’ iaitu satu keadaan dimana air yang diberikan kepada pesakit berlebihan dan air tersebut berkumpul di dalam paru-paru. Hanya jika suhu pesakit terlalu tinggi, barulah ubat demam diberikan kepada pesakit.

2. Suntikan air ke dalam Salur darah

Pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital selalu diberikan rawatan ini iaitu air terus dimasukkan ke dalam salur darah melalui jaram. Ini penting bagi pesakit demam denggi kerana jika pesakit kekurangan air, pesakit akan berisiko untuk mengalami denggi berdarah, kegagalan hati dan juga buah pinggang.

Jika dirumah pula, pesakit boleh mengambil air sekerap yang mungkin untuk mengelakkan dehidrasi berlaku pada dirinya.

3. Pemberian Darah

Pemberian darah hanya diberikan kepada pesakit jika pesakit disyaki mengalami pendarahan. Pada ketika ini, selalunya tekanan darah pesakit akan menjadi semakin rendah dan mungkin pesakit akan menunjukkan simptom pendarahan seperti gusi berdarah atau muntah darah. Inilah dinamakan sebagai Denggi Berdarah

Komplikasi


Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin boleh dihadapi oleh pesakit demam denggi. Ia adalah:

1. Denggi Berdarah

Pada ketika ini, selalunya pesakit akan mengalami tekanan darah yang rendah berserta denyutan jantung yang laju. Tidak semestinya denggi berdarah itu berlaku dengan simptom pendarahan seperti muntah darah atau gusi berdarah. Selalunya pesakit tidak mempunyai simptom-simptom seperti itu tetapi apa yang dapat dilihat adalah tekanan darahnya semakin berkurangan dan tidak respons walaupun diberikan air kepada pesakit.

2. Kegagalan fungsi hati

Darah yang terlalu pekat ataupun denggi berdarah itu sendiri dapat menyebabkan masalah kegagalan fungsi hati. Ini disebabkan kurangannya sel darah merah yang mencukupi pergi ke hati. Perkara ini akan menyebabkan sel hati mati dan tidak mampu menghasilkan faktor pembeku darah yang mencukupi menyebabkan akhirnya pesakit lebih mudah mengalami pendarahan.

3. Kegagalan fungsi buah pinggang

Puncanya sama seperti kegagalan fungsi hati. Perkara ini menyebabkan banyak bahan kumuh pesakit tidak dapat dirembeskan dengan betul. Keadaan pesakit boleh menjadi lebih teruk disebabkan perkara ini.

4. Jangkitan Selaput otak

Demam denggi juga boleh menyebabkan jangkitan selaput otak(meningitis). Virus ini mampu pergi ke otak dan menyebabkan keradangan selaput otak. Pesakit boleh pengsan, tidak sedarkan diri atau sawan disebabkan perkara ini.

Pencegahan Demam Denggi


Terdapat beberapa cara untuk mencegah penyakit ini daripada berlaku. Cara-cara tersebut adalah:

  1. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk di dalam dan luar rumah
    • Membuang bekas yang menakung air
    • Pastikan tangki air dan bekas tadahah hujan ditutup
    • Pastikan pasu bunga dan bekas takungan air dibersihkan sekali seminggu
    • Disarankan juga membela ikan di dalam kolam untuk membunuh jentik jentik
    • Meletakkan ubat jejentik di dalam tempat tadahan air
  2. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  3. Mengamalkan langkah perlindungan diri seperti;
    • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
    • Elakkan berada di luar rumah pada awal pagi dan lewat petang kerana nyamuk aktif di waktu ini
    • Memasang ubat nyamuk di dalam rumah

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.