Kuih Kuba Guling: Kandungan & Kesan Kepada Kesihatan

kuba guling

Baru-baru ini sejenis kuih dengan nama unik yang terkenal sebagai juadah berbuka puasa rakyat Kelantan telah tular di media sosial. ‘Kuba Guling’ mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia ekoran rasanya yang lazat walaupun mempunyai nama yang mungkin dianggap agak pelik oleh segelintir masyarakat.

Tetapi, muncul pula satu isu di mana ada yang mempersoalkan kesan sampingan daripada pengambilan kuih kuba guling kerana bahan asasnya terdiri daripada serbuk arang. Artikel ini akan membincangkan kandungan kuba guling dan kesannya kepada kesihatan tubuh badan.

Apa itu Kuih Kuba Guling?

‘Kerbau Guling’ atau dalam dialek Kelantan disebut sebagai ‘Kuba Guling’ merupakan kuih yang berasal dari negara Thailand dan menjadi kegemaran penduduk tempatan di Rantau Panjang, Kelantan, terutamanya setiap kali Ramadan menjelang tiba. Kuih yang turut dikenali dengan nama ‘koleh hitam’ atau ‘kuih hitam’ ini mempunyai tekstur yang lembut dan enak dimakan bersama kelapa parut.

Sehingga hari ini, kuba guling yang mula mendapat tempat di hati pembeli sejak 3 dekad lalu masih dihasilkan menurut resepi turun-temurun. Kuih ini mula dikenali sebagai ‘kuba guling’ selepas tular pada tahun 2018 kerana ia digolekkan di atas kelapa parut, menjadikannya tampak seperti kerbau sedang berendam.

Bagaimana Kuba Guling dihasilkan?

Kuba guling disediakan dengan memasak sehingga likat adunan bahan-bahan berikut:

  • Tepung beras
  • Tepung jagung
  • Tepung beras pulut
  • Gula
  • Kapur
  • Air tempurung bakar
  • Garam 

Selain namanya yang unik, salah satu bahan dalam resepi kuba guling juga menjadikannya berbeza dengan kuih-muih lain, iaitu tempurung bakar.

Dalam penghasilan kuba guling, tempurung kelapa yang dibakar perlu ditumbuk, dicampur dengan air, dan seterusnya ditapis menggunakan kain bagi mendapatkan airnya. Air tempurung bakar inilah yang menjadikan kuih kuba guling berwarna hitam dan bukanlah daripada sebarang pewarna sintetik. Tempurung juga boleh diganti dengan serbuk arang yang ada dijual di kedai bakeri.

Apa itu Arang Diaktifkan (Activated Charcoal)?

Air daripada tempurung bakar atau serbuk arang yang digunakan dalam penghasilan kuba guling ini mempunyai sifat seperti arang diaktifkan (activated charcoal). Activated charcoal ialahserbuk berwarna hitam yang dihasilkan daripada tempurung kelapa, arang batu, habuk gergaji, gambut, atau beberapa bahan lain.

Arang ini diaktifkan melalui pemprosesan pada suhu yang sangat tinggi. Suhu tinggi tersebut mengubah struktur dalaman dan menghasilkan arang yang lebih berliang (porous) berbanding arang biasa.

Fungsi Activated Charcoal

  • Arang diaktifkan tidak diserap oleh tubuh badan, justeru itu ia mampu untuk menyerap toksin dan gas lalu mengeluarkannya dari dalam sistem penghadaman. Selain itu, sifatnya yang tidak diserap oleh badan juga menjadikan najis berwarna hitam.
  • Merawat cirit-birit dan sembelit.
  • Mengurangkan ketidakhadaman dan kembung perut.
  • Merawat sesetengah keadaan keracunan. Ia berfungsi dengan mencegah racun tersebut daripada masuk ke dalam salur darah.

Pewarna Arang untuk ‘Detoks’ Badan?

Penggunaan arang sebagai pewarna makanan semakin menjadi ‘trend’ di luar negara dan di Malaysia sendiri. Selain memberi nilai estetik, terdapat segelintir pengusaha makanan yang mengatakan bahawa pewarna daripada arang ini mempunyai kesan detoks ke atas tubuh badan.

Namun, kenyataan ini tidak disokong oleh data kajian. Tambahan pula, activated charcoal hanya boleh menyerap dan mengeluarkan toksin yang masih berada di dalam perut atau usus, dan belum diserap ke dalam salur darah. Sekiranya toksin telah berada di dalam salur darah atau tisu badan, activated charcoal tidak akan dapat menyerap toksin tersebut.

Kesan Sampingan kepada Tubuh Badan

Dalam sistem penghadaman kita, activated charcoal bukan sahaja boleh menyerap (bind) racun, malah makanan dan ubat-ubatan. Perkara ini meningkatkan kemungkinan nutrien di dalam makanan untuk kurang diserap, seperti vitamin dan mineral, serta merendahkan keberkesanan ubat-ubatan.

Adakah pengambilan kuba guling membahayakan kesihatan?

Seperti konsep pemakanan yang sering kali ditekankan, kunci kepada pemakanan sihat ialah kesederhanaan. Pengambilan kuba guling yang terkawal dan tidak berlebihan masih selamat dan tidak memudaratkan tubuh badan.

Sekiranya ia diambil dalam kuantiti yang berlebihan, risiko malnutrisi atau kesan sampingan seperti mengurangkan tahap keberkesanan ubat-ubatan dikhuatiri akan terjadi. Namun, dos atau jumlah spesifik yang boleh dikategorikan sebagai ‘selamat’ masih belum dapat dinyatakan.

Kesimpulan

Apa-apa makanan akan menjadi ‘racun’ sekiranya diambil dalam kuantiti berlebihan dan tidak terkawal. Makanlah secara sihat dengan mengamalkan keseimbangan, kesederhanaan, dan kepelbagaian dalam setiap hidangan kita. Pelihara tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang kita dengan mengekalkan makanan tradisional seperti kuih kuba guling di samping tetap mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

Artikel Berkaitan: Makanan berasaskan arang

Rujukan

  1. Khim, K. B. (2018). Charcoal foods are all the rage – but are they bad for you? – Channel News Asia
  2. Mitchell, L. (2017). Should you be eating activated charcoal? – Healthcare Utah
  3. Muhammad Azizul Osman. (2018). Bahaya Jika Makan Kerbau Guling Berlebihan. – Malaysia Gazette
  4. Nur Elina. (2018). Resepi Kuih Kerbau Guling. -Resepi.my
  5. Ross, R. (2019). What is activated charcoal? -Livescience
  6. Syaherah Mustafa. (2018). ‘Kerbau Guling’ A Hit. – Pressreader

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − six =

Open

Close