Kopi, Teh Hijau Mengurangkan Risiko Mati Awal

teh hijau dan kopi kurangkan risiko mati awal

Ini mungkin satu berita baik buat pesakit kencing manis. Baru-baru ini, satu kajian di Jepun mencadangkan bahawa pencinta kopi atau teh hijau yang menghidap kencing manis berpotensi mempunyai risiko kematian pramatang yang lebih rendah.

Dalam kajian tersebut, pengambilan 4 cawan teh hijau atau lebih, bersama-sama 2 cawan kopi setiap hari, dapat merendahkan risiko kematian sebanyak 63% semasa kajian susulan selepas lima tahun. Bukan itu sahaja, bahkan hanya secawan kopi atau teh hijau didapati mengurangkan risiko kematian pramatang sehingga 15% lebih rendah!

Kopi dan teh hijau sememangnya mengandungi nutrien yang mampu mengurangkan keradangan. Walau bagaimanapun, para penyelidik masih belum dapat mengenal pasti bagaimana kedua-dua minuman ini dapat memberi kesan seperti dalam kajian itu. Artikel ini akan membincangkan kajian tersebut dengan lebih terperinci.

Bagaimana kajian tersebut dijalankan?

Dalam kajian ini, semua peserta adalah orang dewasa penghidap kencing manis dengan purata umur kira-kira 66 tahun. Mereka dikehendaki untuk melengkapkan soal selidik makanan dan minuman yang menanyakan jumlah pengambilan kopi dan teh hijau harian. Peserta juga perlu memberi maklumat tentang jumlah senaman yang dipraktikkan, tabiat merokok dan pengambilan alkohol, di samping jangka masa tidur setiap hari.

Daripada 5000 orang peserta, hampir 4400 orang mengambil teh hijau manakala 5000 orang mengambil kopi. Dalam sehari, ada yang mengambil minuman tersebut cuma secawan, dan ada yang mengambil lebih daripada 4 cawan. Selepas lima tahun, semasa tempoh kajian susulan, hanya 300 peserta telah meninggal dunia.  

Apakah yang ditemui dalam kajian ini?

Penyelidik dalam kajian ini menemui dua dapatan utama:

  1. Berbanding peserta yang langsung tidak mengambil kopi atau teh hijau, peserta yang meminum salah satu daripadanya mempunyai risiko kematian yang lebih rendah. Mereka yang meminum kedua-duanya pula mempunyai risiko kematian paling rendah.
  2. Jumlah pengambilan kopi/teh hijau harian yang lebih tinggi menghasilkan penurunan risiko kematian yang lebih ketara. Pengambilan empat cawan teh hijau dalam tempoh sehari menyebabkan risiko kematian menurun sehingga 40%.

Kopi, Teh Hijau, dan Kencing Manis

Khasiat teh hijau telah dikaji sejak bertahun-tahun dahulu dan dibuktikan melalui beberapa kajian bahawa ia dapat mengurangkan risiko mendapat kencing manis. Kajian lain juga menunjukkan bahawa teh hijau berupaya mengawal gula dalam darah dan sensitiviti insulin.

Seorang pakar perubatan dari Barat juga mengatakan bahawa khasiat teh hijau tidak hanya terhad ke atas penghidap kencing manis, Teh hijau juga telah terbukti dapat menurunkan risiko kematian bagi penyakit kardiovaskular dalam beberapa kajian terhadap masyarakat Jepun. Namun, beliau turut menyatakan bahawa kesan baik daripada teh hijau ini mungkin tidak ditemui dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat. Ini kerana, teh hijau di Jepun mempunyai kualitinya yang tersendiri.

Bagi kopi pula, ada beberapa kajian yang mendapati risiko mendapat kencing manis semakin berkurangan sekiranya pengambilan kopi adalah tinggi. Kopi juga dikaitkan dengan risiko kematian keseluruhan yang lebih rendah. Dalam satu kajian pada tahun 2006, dalam kalangan pesakit kencing manis, kopi didapati menurunkan risiko kematian untuk masalah kardiovaskular.

Batasan Kajian

Secara umumnya, kopi dan teh sememangnya mengandungi antioksida dan fitokimia yang berkhasiat seperti tumbuh-tumbuhan lain. Namun begitu, penemuan dari kajian baharu ini perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana kebanyakan peserta mempunyai BMI yang normal serta tekanan darah tinggi yang terkawal.

Selain itu, seperti dikatakan di atas, kualiti teh hijau di Jepun mungkin berbeza daripada tempat-tempat lain. Masyarakat Jepun juga kebiasaannya tidak menambah gula atau krim ke dalam minuman mereka. Maklumat pengambilan kopi dan teh hijau peserta juga hanya diambil pada permulaan tempoh kajian, dan ia mungkin berubah dalam tempoh 5 tahun tersebut.

Tambahan pula, kajian ini tidak direka bentuk untuk membuktikan sebab dan kesan (cause and effect). Sebaliknya, ia hanyalah kajian pemerhatian yang cuma mampu mengenalpasti kaitan di antara kopi/teh hijau dengan penurunan risiko kematian. Penyelidik juga tidak mempunyai maklumat lain tentang peserta yang mungkin memberi kesan kepada hasil kajian seperti tahap pendidikan, pendapatan, dan sejarah keluarga. 

Kesimpulan

Pendek kata, kopi dan teh hijau dapat memberi banyak khasiat dalam mencegah atau mengawal diabetes, tetapi kesannya mungkin berbeza mengikut individu dan lokasi, serta dipengaruhi pelbagai faktor lain. Oleh itu, pesakit kencing manis dinasihatkan untuk terus mengikuti rawatan daripada doktor dan nasihat pemakanan daripada pakar pemakanan.

Rujukan

  1. Bidel, S., Hu, G., Qiao, Q., Jousilahti, P., Antikainen, R., & Tuomilehto, J. (2006). Coffee consumption and risk of total and cardiovascular mortality among patients with type 2 diabetes. Diabetologia, 49(11), 2618–2626.
  2. Gordon, S. (2020). Coffee, Green Tea May Help Against Type 2 Diabetes.– WebMD
  3. Newman, T. (2020). Diabetes: Coffee and Green Tea might reduce death risk. – Medical News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.