Kesinambungan Telur dan Kolesterol: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Artikel telur dan kolesterol

Garis panduan pemakanan bagi rakyat Amerika tentang pengambilan makanan kolesterol

Kajian sebelum ini banyak menerangkan tentang keburukan makanan kolesterol. Justeru itu, had pengambilan makanan kolesterol telah ditetapkan kepada 300 mg sehari berdasarkan purata pengambilan makanan kolesterol bagi populasi besar di Amerika.

Begitu juga dengan kuning telur yang mengandungi tinggi kolesterol. Pengambilan lebih dari satu biji sudah melebihi had saranan pengambilan kolesterol. Terdapat kajian yang mengatakan keburukan dalam mengambil telur. Namun, tidak dinafikan terdapat juga kajian yang mengatakan pengambilan telur yang mengandungi tinggi kolesterol tidak membawa kesan buruk terhadap jantung. Fakta kajian yang tidak sehaluan ini menjadi faktor Dietary Guidelines for Americans 2015–2020 menarik balik cadangan had pengambilan makanan kolesterol.

“Previously, the Dietary Guidelines for Americans recommended that cholesterol intake be limited to no more than 300 milligrams per day. The 2015 DGAC [Dietary Guidelines Advisory Committee] will not bring forward this recommendation because available evidence shows no appreciable relationship between consumption of dietary cholesterol and serum cholesterol, consistent with the conclusions of the AHA/ACC report” [1].

Walaupun garis panduan pemakanan Amerika Syarikat, menarik balik cadangan had pengambilan makanan kolesterol, 300 mg sehari, ia bukanlah ‘tiket’ untuk kita meraikannya dengan makan telur dalam jumlah yang banyak. Terutamanya kuning telur.

Tidak sama sekali!

Pendekatan yang masih lagi disarankan adalah dengan mengambil makanan kolesterol dalam jumlah yang sedikit dan itu adalah lebih baik. Garis panduan tidak menetapkan jumlah had saranan pengambilan, tetapi menekankan supaya mengurangkan pengambilan makanan kolesterol dalam pemakanan yang sihat. Hal ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga supaya kita tidak ambil risiko dan jalan mudah.

“Individuals should eat as little dietary cholesterol as possible while consuming a healthy eating pattern” [2].

Begitu juga dengan American Heart Association (AHA) dan American College of Cardiology (ACC) di mana garis panduan pemakanan kolesterol tidak menetapkan jumlah saranan tetapi menekankan supaya mengurangkan pengambilan makanan kolesterol dalam cara pemakanan harian. Tiada lagi 300 mg sehari, tetapi dinasihatkan supaya berwaspada dalam pengambilan makanan kolesterol.  

Kajian tentang telur dan risiko masalah jantung

Jika telur diambil pada kuantiti yang banyak, ia akan menyumbang kepada lebihan kalori, lemak dan juga protein yang mungkin tidak diperlukan. Ingat, walaupun dalam telur ada nutrisi yang baik seperti omega, pengambilan yang berlebihan belum tentu membawa faedah. Ambil dalam jumlah yang sederhana pun sudah memadai. Terkini, hasil kajian yang dikeluarkan menunjukkan pengambilan telur secara sederhana (sehingga satu biji sehari), tiada risiko bagi masalah jantung [3]. Begitu juga kajian meta-analisis sebelum ini, kajian menunjukkan satu biji telur tidak menunjukkan kaitan dengan risiko masalah jantung [4]. Jangan pula kita memandai ambil lebih daripada kajian, sepuluh biji, dua puluh biji, mahupun sepapan telur!

“Overall, summary associations indicate that intake of up to 1 egg daily may be associated with reduced risk of total stroke” [4].

Tambahkan serat dalam makanan dan hadkan pengambilan kalori seharian

Malah, kajian juga menyarankan supaya apabila telur dihidangkan, sebaiknya dimakan sekali dengan makanan yang tinggi serat dan makanan yang kurang dengan lemak tepu. Dan juga pastikan makanan yang diambil tidak melebihi kalori yang disarankan [5]. Sebagai contoh, apabila membuat sandwic telur, letaklah sekali dengan salad hijau dan tomato sebagai sumber serat. Pilihan roti mil penuh (wholemeal) gabungan dalam sandwic adalah lebih baik. Berhati-hati dalam kuantiti yang diambil, lebihan kalori juga akan menyumbang kepada lebihan berat badan yang boleh membawa risiko pelbagai jenis penyakit.

Antara faktor lain yang menyumbang kenaikan kolesterol dalam darah adalah makanan lemak tepu dan juga lemak trans. Kebanyakan kajian masih lagi menyarankan supaya mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Tambahan itu juga, cara masakan main peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Jika telur goreng diambil terlalu kerap, bukan sahaja menambah kalori, malah ia akan mempengaruhi bacaan lipid termasuklah jumlah kolesterol dalam darah dan kolesterol low-density lipoprotein (LDL).

Bersifat sederhana dalam pengambilan makanan

Satu biji telur mempunyai kepadatan khasiat nutrisi yang mungkin membuatkan banyak kajian tidak sependapat. Itulah kelebihan ciptaan dari Tuhan dan sama sekali tidak boleh manusia reka. Walaupun telur mempunyai khasiat seperti choline, zeaxanthin dan selenium, mempelbagaikan jenis makanan itu lebih baik. Kita tidak digalakkan untuk ambil makanan yang sama setiap hari hanya untuk dapatkan sumber nutrisi tersebut. Apa yang penting dalam pemakanan adalah bersifat sederhana dan mempelbagaikan jenis makanan supaya lebih banyak nutrisi yang boleh kita peroleh.

Jumlah yang dibenarkan untuk makan telur sehari adalah subjektif dan tidak spesifik kerana tiada tetapan khusus. Dicadangkan untuk berjumpa dengan pakar pemakanan bagi mengetahui jumlah yang dibenarkan bagi pengambilan telur. Setiap orang mempunyai masalah kesihatan yang berbeza. Maka, had pengambilan telur juga mungkin berbeza. Jika anda mengalami masalah jantung atau berisiko tinggi dengan masalah kesihatan, sebagai langkah berjaga-jaga dan langkah selamat, sudah semestinya akan mengurangkan pengambilan makanan kolesterol sebagai mana yang disarankan.

Kebanyakan kajian masih lagi tidak jelas dalam menetapkan atau menghadkan jumlah pengambilan telur dan kolesterol yang sepatutnya. Kita masih tidak tahu lagi garis panduan yang akan datang. Dalam kajian sains, fakta sentiasa berubah. Hal ini akan membuatkan garis panduan juga akan berubah. Begitulah kita sebagai manusia yang mempunyai pelbagai ideologi dan lebih baik kita raikan kepelbagaian pendapat. Apa yang penting adalah bersederhana.

Rujukan:

[1] J. A. S. Carson et al., “Dietary cholesterol and cardiovascular risk: A science advisory from the American heart association,” Circulation. Lippincott Williams and Wilkins, pp. E39–E53, 2020, doi: 10.1161/CIR.0000000000000743.

[2] U.S. Department of Health and Human Services and U. S. D. of Agriculture., “2015-2020 Dietary Guidelines for Americans,” 2015. [Online].

[3] J.-P. Drouin-Chartier et al., “Egg consumption and risk of cardiovascular disease: three large prospective US cohort studies, systematic review, and updated meta-analysis,” BMJ, 2020, doi: 10.1136/bmj.m513.

[4] D. D. Alexander, P. E. Miller, A. J. Vargas, D. L. Weed, and Sarah S. Cohen, “Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke: Journal of the American College of Nutrition: Vol 35, No 8,” Journal of the American College of Nutrition, 2016. (accessed Sep. 13, 2020).

[5] E. Magriplis et al., “Frequency and Quantity of Egg Intake Is Not Associated with Dyslipidemia: The Hellenic National Nutrition and Health Survey (HNNHS),” 2019, doi: 10.3390/nu11051105

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.