Jenis ‘Susu dalam tin’ dan Perbezaannya

jenis susu tin

Apabila anda ke pasar raya untuk membeli-belah, pastinya anda dapat memerhatikan pelbagai jenis susu dalam tin yang tersusun rapi di atas rak. Selain berasal daripada jenama yang berlainan, tahukah anda apakah perbezaan sebenar produk-produk ini dari segi kandungan nutrisinya? Adakah semua ‘susu dalam tin’ ini sebenarnya sama sahaja, atau sebaliknya? Artikel ini akan membincangkannya.

Ramuan pada Label Makanan

Sebelum itu, adalah penting untuk anda tahu serba sedikit maklumat tentang label makanan. Sekiranya label tersebut diteliti, anda akan dapat mengetahui senarai ramuan atau bahan-bahan yang menjadi isi kandungan produk makanan tersebut. Melalui senarai ramuan ini, individu yang mempunyai alahan terhadap sesuatu komponen dapat mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain itu, semua label makanan menyenaraikan ramuan produk berdasarkan beratnya. Ramuan yang paling berat atau paling banyak jumlahnya akan disenaraikan sebagai ramuan pertama, manakala ramuan paling sedikit akan disenaraikan sebagai yang terakhir. Sebagai contoh, sekiranya gula disenaraikan sebagai ramuan pertama pada susu dalam tin, ini bermakna gula adalah ramuan utama dan yang paling banyak bagi produk tersebut.

1. Susu Sejat

Susu sejat dihasilkan melalui proses penyejatan air daripada susu. Dalam erti kata lain, sebahagian daripada jumlah keseluruhan air dalam susu tersebut (kira-kira 60 peratus) telah dibuang. Susu sejat juga dikenali sebagai susu pekat tanpa gula.

Selepas melalui proses penyejatan, ia kemudiannya dihomogenkan (proses di mana lemak susu tersebut dicampurkan secara seragam) serta disterilkan untuk menghalang pertumbuhan bakteria. Proses-proses ini menghasilkan susu yang lebih pekat dan berkrim, serta mempunyai warna dan rasa seakan-akan karamel sedikit.

Walaupun lebih separuh daripada kandungan airnya telah disingkirkan, kandungan nutrisinya masih kekal. Di samping itu, jangka hayat susu ini juga lebih panjang. Susu sejat juga boleh dihasilkan sama ada daripada susu penuh krim, rendah lemak, atau susu skim.

2. Susu Pekat Manis

Seperti susu sejat, proses penyejatan air juga berlaku dalam menghasilkan susu pekat manis. Bezanya di sini, susu pekat manis mengandungi gula tambahan, yang memanjangkan jangka hayatnya. Bagi susu sejat yang tidak ditambah gula pula, jangka hayatnya dipanjangkan melalui proses pempasteuran (dipanaskan pada suhu yang tinggi).

Walaupun ianya adalah produk susu, susu pekat manis mempunyai warna yang lebih gelap, tekstur yang lebih likat, serta berkrim berbanding susu biasa.

Mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985, susu sejat atau susu pekat manis mestilah mengandungi tidak kurang daripada:

  • 8% lemak susu
  • 28% jumlah pepejal susu
  • 670 IU Vitamin A per 100 gram

Walaupun kedua-kedua susu sejat dan susu pekat manis melalui proses yang sama iaitu penyejatan, susu pekat manis mengandungi nilai kalori yang lebih tinggi memandangkan ianya mempunyai kandungan gula tambahan.

Kandungan/100 gramSusu SejatSusu Pekat Manis
Air (gram)71.525.6
Tenaga (kcal)149335
Protein (gram)7.78.8
Lemak (gram)8.58.9
Karbohidrat (gram)10.454.9

3. Susu Isian Sejat

Susu isian sejat melalui dihasilkan melalui proses yang sama seperti susu sejat, bezanya adalah kandungan lemak susunya digantikan dengan lemak atau minyak tumbuhan.

4. Susu Isian Pekat Manis

Susu isian pekat manis juga adalah sama seperti isian sejat di mana lemak susunya digantikan dengan lemak atau minyak tumbuhan. Bezanya, susu isian pekat manis mempunyai gula tambahan.

Untuk lebih mudah difahami, kesemua produk susu di atas melalui proses penyejatan, tetapi berbeza dari segi penambahan gula serta kandungan jenis lemak. Selain itu, kerana terdapat penambahan gula, susu pekat manis dan susu isian pekat manis mempunyai nilai kalori yang lebih tinggi berbanding susu sejat dan susu isian sejat.

 Gula tambahanLemak/Minyak Tumbuhan
Susu SejatXX
Susu Isian SejatX
Susu Pekat ManisX
Susu Isian Pekat Manis

5. Krimer Manis

Berdasarkan Peraturan-peraturan Makanan 1985, krimer manis dikategorikan sebagai bahan pemanis dan bukanlah susu/produk susu. Ianya dihasilkan daripada gabungan minyak atau lemak tumbuhan dengan gula atau apa-apa bahan pemanis lain.

6. Krimer Sejat

Seperti krimer manis, krimer sejat adalah produk berasaskan minyak/lemak sayuran (contoh: minyak sawit yang diproses sehingga menjadi putih seperti susu).

Krimer kebanyakannya digunakan dalam bancuhan minuman seperti teh tarik serta ditambah ke dalam serbuk minuman 3 dalam 1. Ada sesetengah krimer yang masih mengandungi pepejal susu, namun ianya dalam kuantiti yang rendah dan tidak menjadikan krimer sebagai salah satu produk di bawah klasifikasi susu.

Tidak Sesuai Bagi Kanak-Kanak Kurang 12 Bulan

Pada label kesemua jenis ‘susu dalam tin’ di atas, perlu dinyatakan bahawa produk-produk ini tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah 12 bulan. Ini kerana kandungan dan nilai nutrisinya tidak memenuhi keperluan kanak-kanak yang sedang membesar.  

Kandungan Gula Yang Tinggi

Bagi pesakit diabetes atau individu yang ingin menurunkan berat badan, elakkan produk dengan gula tambahan yang tinggi seperti susu pekat manis, susu isian pekat manis atau krimer manis. Gantikan dengan pilihan lebih sihat seperti susu rendah lemak. Masyarakat secara amnya harus mengurangkan pengambilan gula tambahan bagi mencegah masalah obesiti dan penyakit seperti kencing manis.

Pokok pangkalnya, manfaatkanlah label makanan yang disediakan pada produk-produk di pasar raya bagi membantu anda membuat pilihan makanan yang lebih baik. Amalkan pemakanan seimbang dan lengkap, kurangkan manis dalam makanan dan minuman, lebihkan manis dalam senyuman.  

Rujukan

  1. Kanesh, T. (2019). Kenali Jenis Susu/Krimer Dalam Tin.
  2. Lang, A. (2020). What is evaporated milk? Unsweetened condensed milk explained. – Healthline
  3. Ministry of Health Malaysia. (2018). Garis Panduan Rujukan Silang di antara Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan Standard CODEX Bagi Aditif Makanan.
  4. Nurul Hidayati bt. Mohd. Nasir. (2012). Panduan Membaca Label Makanan. Portal Myhealth
  5. Tee, E. S., Mohd. Ismail N, Mohd Nasir A, Khatijah I. (1997). Nutrient Composition of Malaysian Food 4th Edition. Institute for Medical Research, Kuala Lumpur.
  6. West, H. (2018). Sweetened Condensed Milk: Nutrition, Calories and Uses. – Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.