Onychophagia: Tabiat Menggigit Kuku

tabiat menggigit kuku

‘Onychophagia’ didefinasikan sebagai tabiat menggigit kuku adalah sejenis perilaku dengan memasukkan jari ke dalam mulut dan menggigit kuku dengan gigi. Tabiat menggigit kuku boleh mempengaruhi semua peringkat umur sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa. Tabiat menggigit kuku biasanya akan bermula dalam lingkungan umur 3 atau 4 tahun dan akan mula berkurang pada peringkat dewasa.

Tabiat ini biasanya berlaku untuk mendapatkan kepuasan atau menghilangkan keresahan. Perbuatan seperti ini biasanya akan memberikan perasaan seronok kepada seseorang dan kemudiannya individu tersebut tidak dapat menahan rasa untuk melakukan tabiat tersebut berulang kali.

Untuk jangka masa yang lama, tabiat ini boleh mengundang masalah dari segi fizikal dan psikologi terhadap individu tersebut. Tabiat seperti menggigit kuku, menggaru kulit, menarik rambut secara berulang kali dan berlebihan adalah berkait rapat apabila seseorang itu selalu berasa gelisah dan gementar. Bagi mengurangkan rasa gelisah dan gementar, seseorang itu akan melakukan aktiviti-aktiviti seperti di atas yang seterusnya menjadi tabiat yang susah untuk dihindarkan di kemudian waktu.

Individu yang mempunyai tabiat ini tidak akan menggigit kuku sewaktu berhadapan dengan orang ramai atau ketika ditegah daripada melakukan perbuatan tersebut. Terdapat beberapa kajian yang mengaitkan hubungan antara ibu bapa yang mempunyai masalah gangguan mental dengan kanak-kanak yang suka menggigit kuku. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa peratusan tabiat menggigit kuku di kalangan kanak-kanak yang mempunyai ibu yang mengalami masalah skizofrenia adalah lebih tinggi.

Kesan Menggigit Kuku


Berikut adalah kesan-kesan terhadap seseorang individu yang mempunyai tabiat menggigit kuku.

  1. Pandangan orang sekeliling terhadap si pelaku
  2. Mempunyai masalah dalam tingkah laku sosial apabila berhadapan dengan orang ramai seperti menulis, melukis dan bermain
  3. Tekanan perasaan
  4. Kegelisahan
  5. Kerosakan di bahagian kuku
  6. Kerosakan pada gigi
  7. Kurang keyakinan terhadap diri sendiri
  8. Jangkitan kuman

Jangkitan Kuman


Tabiat gigit kuku boleh membawa pelbagai jenis mikroorganisme seperti di kalangan keluarga Enterobacteriaceae ke dalam mulut justeru boleh melemahkan sistem pertahanan badan terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Spesis daripada Enterobacteria seperti E. coli, Klebsiella, Proteus dan Enterobacter adalah antara spesis yang boleh menyebabkan jangkitan kuman di dalam sel darah manusia yang kemudiannya akan menjangkiti organ-organ penting di dalam badan.

Hubungan dengan Penyakit Obsesif Kompulsif (OCD)


Tabiat ini juga dikatakan mempunyai sedikit sebanyak berhubung kait dengan penyakit obsesif kompulsif atau lebih dikenali sebagai ‘Obsessive Compulsive Disorder’ (OCD). Penyakit obsesif kompulsif dikategorikan sebagai tindakan kompulsif yang berlebihan di dalam sesuatu perbuatan seperti tabiat menggigit kuku.

Rawatan Tabiat Menggigit Kuku


Kebiasaannya, tabiat ini akan berkurang apabila menginjak dewasa. Namun, bagi mereka yang mempunyai masalah untuk meninggalkan tabiat seperti ini haruslah diberi perhatian dan tindakan yang selanjutnya.

Orang sekeliling terutamanya ibu bapa haruslah peka dengan masalah mereka dengan memberi sokongan dan dorongan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka terutamanya apabila berhadapan dengan orang ramai.

Latihan Kawal Tabiat

Latihan kawal tabiat atau ‘Habit Reversal Therapy’ adalah terapi mengawal perilaku seseorang. Latihan ini akan meningkatkan kesedaran dan membantu mengawal tingkah laku individu tersebut daripada menggigit kuku dengan kerap.

Perubahan perilaku untuk tabiat seperti menggigit kuku ini akan memakan masa yang lama justeru para ibu bapa dan kanak-kanak haruslah peka supaya mereka tidak berputus asa dalam menangani masalah ini. Antara contoh yang boleh diaplikasikan kepada mereka yang mempunyai masalah ini adalah:

  1. Membenarkan kanak-kanak menyertai aktiviti atau ke tempat yang mereka suka
  2. Mengawal dan mengehadkan pergerakan tangan ke muka dan mulut
  3. Meletakkan bahan- bahan yang mempunyai rasa pahit di bahagian kuku
  4. Mencari punca yang memberi galakan kepada tabiat tersebut seperti kebosanan atau ketika menghadapi tugasan yang sukar

Kesimpulan


Tabiat menggigit kuku adalah tabiat yang seringkali menjadi kebiasaan terutamanya kanak-kanak. Peranan ibu bapa dan orang sekeliling adalah penting bagi memastikan tabiat ini tidak berterusan kerana boleh mempengaruhi kemahiran sosial dan keyakinan diri seseorang individu itu.

Rujukan

  1. Ghanizadeh, A. (2011). Nail biting; etiology, consequences and management. Iranian journal of medical sciences36(2), 73.
  2. Kamal, F. G., & Bernard, R. A. (2015). Influence of nail biting and finger sucking habits on the oral carriage of Enterobacteriaceae. Contemporary clinical dentistry6(2), 211.
  3. Singal, A., & Daulatabad, D. (2017). Nail tic disorders: Manifestations, pathogenesis and management. Indian Journal of Dermatology, Venereology, and Leprology83(1), 19.
  4. Pacan, P., Grzesiak, M., Reich, A., & SzEPIETOWSkI, J. C. (2009). Onychophagia as a spectrum of obsessive-compulsive disorder. Acta dermato-venereologica89(3), 278-280.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.