ADHD DALAM KALANGAN DEWASA. MITOS atau REALITI ?

ADHD orang dewasa

Attention-deficit hyperactivity disorder (Kecelaruan kurang daya tumpuan dan hiperaktif) atau singkatannya ADHD ialah sejenis kecelaruan perkembangan-neuro yang lazimnya terjadi didalam kalangan kanak-kanak diseluruh dunia.

Namun, berdasarkan kepada kajian-kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik, mereka mendapati bahawa ADHD ialah satu penyakit kronik yang terjadi sepanjang hayat. Ini bermaksud, simptom-simptom kecelaruan ADHD yang dipamerkan semasa seusia kanak-kanak akan dibawa sehingga kepada usia dewasa.

Simptom ADHD Dewasa

Seperti pesakit kanak-kanak, ADHD dalam kalangan dewasa juga turut mempamerkan simptom-simptom utama yang hampir sama iaitu:

  1. Tidak dapat memberikan tumpuan.
  2. Hiperaktif.
  3. Impulsif.

Malah selain daripada tiga simptom utama tersebut, pesakit ADHD dewasa juga turut mempamerkan simptom-simptom lain seperti:

  1. Kesukaran mengawal emosi.
  2. Mudah lupa.
  3. Tidak terorganisasi.
  4. Pemarah.
  5. Tidak dapat mengawal tekanan.
  6. Tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan.
  7. Kurang berjaya dalam menguruskan masa.

Pada tahun 2019, berdasarkan kepada kajian kohort yang dijalankan, di US sahaja terdapat sejumlah 5.3 juta pesakit ADHD dewasa.

Walaubagaimanapun, di Malaysia kita masih belum mempunyai pengkalan data yang tepat mengenai angka sebenar pesakit ADHD dewasa. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh masih kurang kesedaran rakyat malaysia terhadap kecelaruan ADHD dalam kalangan dewasa yang seterusnya menyebabkan ramai pesakit dewasa yang tidak mendapatkan diagnosis serta rawatan sebenar.

Kesan ADHD kepada pesakit dewasa.

Bagi pesakit yang tidak pernah didiagnos ataupun mendapatkan rawatan, mereka terdedah kepada pelbagai masalah seperti:

  1. Risiko mendapat kecelaruan lain seperti kecelaruan kebimbangan & kemurungan.
  2. Masalah didalam pembelajaran.
  3. Mudah terlibat dengan jenayah dan penagihan.
  4. Masalah didalam pekerjaan.
  5. Masalah rumahtangga/hubungan bersama pasangan.
  6. Kemalangan jalanraya (cara pemanduan berbahaya).
  7. Kesukaran membesarkan anak-anak.
  8. Tahap penghargaan kendiri yang rendah.

Kecelaruan yang boleh dirawat.

ADHD boleh dirawat. Pada masa kini, penggunaan ubatan dan terapi tingkahlaku merupakan kaedah utama bagi merawat pesakit ADHD dalam kalangan dewasa. Pada kebanyakkan pesakit, penggunaan ubatan mampu mengurangkan tingkahlaku hiperaktif, impulsif dan seterusnya meningkatkan fokus pada pesakit.

Pesakit tidak perlu bimbang kerana bagi pesakit yang diberikan ubatan mereka akan sentiasa diselia oleh doktor. Walaupun penggunaan ubatan mempunyai beberapa kesan sampingan ringan seperti:

  1. Gangguan tidur.
  2. Sakit kepada/perut.
  3. Mual-mual.

Penggunaan ubatan masih dianggap selamat dan mampu mengurangkan simptom-simptom ADHD dalam kalangan pesakit. Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab pesakit bagi mengikut segala arahan yang telah diberikan oleh doktor dan menjelaskan kepada doktor kesan sampingan yang dihadapi.

Selain daripada ubatan, terapi tingkahlaku juga sering digunakan untuk merawat ADHD. Hanya doktor perubatan, ahli psikologi klinikal atau individu yang mendapat latihan sahaja yang boleh merangka dan menjalankan sesi terapi terhadap pesakit. Disini terdapat beberapa jenis atau kaedah terapi yang boleh dilalui oleh pesakit ADHD seperti:

  1. Terapi tingkahlaku kognitif.
  2. Terapi tingkahlaku.
  3. Terapi kekeluargaan dan perkahwinan.
  4. Latihan kemahiran keibubapaan.
  5. Terapi pengurusan tekanan.
  6. Dan lain-lain terapi.

Matlamat utama menjalankan sesi terapi ialah bagi membantu pesakit ADHD untuk memahami kondisi diri dan membantu pesakit menilai semula kehidupan mereka dan seterusnya meningkatkan ilmu mengenai ADHD didalam diri pesakit. Malah melalui terapi juga, pesakit dapat mempelajari serta meningkatkan kemahiran diri mereka untuk mengurangkan simptom yang dialami.

Melalui terapi juga, pesakit akan diajar untuk memberikan fokus utama kepada kekuatan diri mereka berbanding kepada kekurangan diri. Melalui kaedah ini, pesakit akan lebih mudah untuk mempercayai diri mereka dan seterusnya tahap kualiti kehidupan akan dapat dipertingkatkan.

Kesimpulan

Akhirnya, dapatlah kita menilai bahawa ADHD dalam kalangan dewasa benar-benar WUJUD! dan perlu DIRAWAT!. Apabila dilihat kepada situasi di Malaysia, kita sedar mereka yang mengalami ADHD terpaksa berhadapan dengan pelbagai stigma negatif didalam kehidupan terutamanya apabila mereka dianggap sebagai pemalas dan membawa masalah oleh rakan sekerja mahupun pasangan sendiri.

Maka, berpandukan kepada kaedah mendiagnosis serta rawatan yang tepat diyakini dapat membantu pesakit ADHD dewasa meningkatkan tahap kualiti kehidupan mereka.

ADHD is a Journey, be wise and enjoy

Rujukan:

  1. Farone et al. 2015. Attention-deficit hyperactivity disorder. Nat Rev Dis Primers. 1(2015): 1-10.
  2. Katzman et al. 2017. Adult ADHD and Comorbid Disorder: Clinical Implicatons of a Dimesional Approach. BMC Psychiatry. 17(1).
  3. Anne Jeavons et al. 2018. The Adult ADHD Treatment. Handbook.
  4. Tarver et al. 2014. Attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD): an update review of the essential facts. Child:care, health, and development. 40(6).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.