Intoleransi Laktosa: Alahan Laktosa

intoleransi laktosa atau alahan laktosa

Menurut World Health Organization (WHO), lebih daripada 6 bilion manusia adalah pengguna susu dan produk tenusu dan kebanyakannya adalah daripada negara-negara maju. Permintaan terhadap susu dan produk tenusu adalah sangat tinggi disebabkan kaya dengan kandungan nutrisi di dalamnya seperti kasein, vitamin A dan D, riboflavin dan sumber utama kalsium.

Laktosa adalah sumber utama karbohidrat di dalam susu yang tidak terdapat pada jenis makanan yang lain. Laktosa boleh menjadi sumber tenaga kepada manusia dan memudahkan penyerapan kalsium, fosfat, mangan dan magnesium untuk pertumbuhan gram-positif bakteria di dalam usus seperti Bifidobacterium species untuk menghalang pertumbuhan mikroorganisme yang berbahaya di dalam badan.

Pengenalan Laktosa

Laktosa terhasil daripada komponen glukosa dan galaktosa di dalam kelenjar susu seperti susu ibu dan susu lembu. Laktosa amat sensitif kepada haba yang boleh menyebabkan warna keperangan kepada susu.

Laktosa digunakan di dalam pelbagai jenis makanan seperti daging yang diproses, marjerin, bijirin sarapan, makanan tambahan dan juga ubatan disebabkan sifatnya yang mudah larut di dalam air dan 6 kali ganda kurang manis daripada sukrosa.

Di dalam usus manusia, laktosa akan diuraikan menjadi komponen yang lebih kecil iaitu glukosa dan galaktosa oleh enzim laktase. Aktiviti penguraian oleh enzim laktase berlaku pada bahagian usus kecil yang mempunyai pH antara 6-8.

Intoleransi Laktosa

Intoleransi laktosa atau ‘lactose intolerance’ berpunca daripada ketiadaan ataupun kekurangan aktiviti enzim laktase yang bertanggungjawab terhadap proses penguraian laktosa untuk diserap ke dalam usus manusia. Intoleransi laktosa juga boleh berlaku disebabkan beberapa faktor lain seperti di bawah:

  1. Pengambilan dos laktosa yang berlebihan
  2. Keadaan flora di dalam usus
  3. Kelemahan sistem pencernaan
  4. Pertumbuhan bakteria usus yang berlebihan
  5. Kelemahan sistem penghadaman terhadap penghasilan gas dan produk fermentasi daripada pencernaan laktosa.

Klasifikasi

Klasifikasi kekurangan enzim laktase dikategorikan kepada 4 kumpulan:

1. Kongenital

Ketiadaan atau kekurangan enzim laktase pada peringkat kelahiran dan akan kekal sepanjang hayat. Keadaan ini jarang sekali berlaku dan kebanyakannya berlaku di Finland. Simptom seperti cirit-birit dapat dilihat sebaik sahaja bayi diberi minum susu ibu atau produk tenusu yang mengandungi laktosa.

2. Perkembangan

Kelahiran bayi pramatang (28-32 minggu) akan menyebabkan kekurangan penghasilan enzim laktase disebabkan peningkatan enzim ini akan bertambah sebaik sahaja kandungan mencecah 34 minggu dan akan mencapai maksimum sehingga kelahiran.

Walaubagaimanapun, metabolisme bakteria usus seperti Bifidobacterium atau Lactobacillus akan mengurangkan kadar pH di dalam usus di bahagian kolon untuk mengelakkan cirit-birit dan malnutrisi.

3. Primer

Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘adult hypolactasia’ yang paling kerap berlaku di kalangan orang ramai. Penurunan aktiviti enzim laktase akan berterusan apabila meningkat dewasa. Dianggarkan 70% penduduk di seluruh negara mengalami masalah ini dan bergantung kepada beberapa faktor seperti kawasan geografi dan kumpulan etnik.

Lebih 90% penduduk negara Asia mengalami masalah kekurangan enzim laktase. Masalah ini akan dialami oleh mereka yang tidak mengambil susu sebagai sumber nutrisi utama. Gejala ini boleh berlaku seawal usia 5-7 tahun dan kesan maksimum dapat dilihat di sekitar umur 30 dan 40 an.

4. Sekunder

Individu yang mengalami masalah ini mempunyai aktiviti enzim laktase yang normal. Namun, penurunan paras laktase boleh berlaku disebabkan komplikasi penyakit lain seperti penyakit coeliac, penyakit Chron, kerosakan pada sel-sel usus dan penyakit berkaitan dengan sistem imunisasi.  Keadaan seperti ini akan berkurangan apabila penyakit-penyakit yang disebutkan dirawat terlebih dahulu.

Simptom

Simptom-simptom dapat dilihat sejam selepas daripada pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi laktosa. Simptom-simptom ini juga akan berakhir sebaik sahaja Individu yang mempunyai masalah ini biasanya akan mengalami:

  1. Sakit perut atau perut memulas
  2. Kentut
  3. Muntah
  4. Kembung perut
  5. Kehilangan berat badan

Rawatan

Tiada rawatan khusus untuk mereka yang mengalami masalah intoleransi laktosa. Namun, strategi utama untuk merawat mereka yang mempunyai masalah ini adalah dengan mengurangkan simptom-simptom yang terdapat pada individu tersebut dan pada masa yang sama memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi. Terdapat 4 prinsip utama dalam mengawal intoleransi laktosa:

  1. Mengamalkan diet bebas laktosa atau pengurangan pengambilan laktosa. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini boleh mengambil susu yang tidak mengandungi laktosa.
  2. Menggantikan laktosa dengan nutrisi alternatif yang lain
  3. Pengambilan suplemen laktase
  4. Mengekalkan pengambilan kalsium dan vitamin D

Antara makanan yang tidak mengandungi laktosa:

  • Minuman berasaskan tumbuhan (kacang soya, oat, beras, badam)
  • Kekacang (Kacang hijau, kacang buncis)
  • Sayuran
  • Ikan dan makanan laut
  • Yogurt dan produk tenusu bebas laktosa

Kesimpulan

Pengetahuan mengenai intoleransi laktosa amatlah penting bagi individu yang mengalami masalah ini untuk mengurangkan gejala-gejala yang dialami di samping memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi. Seseorang individu yang mempunyai intoleransi laktosa dibolehkan mengambil 5-10g laktosa dalam masa sehari.

Probiotik dikatakan alternatif yang dapat mengurangkan simptom intoleransi laktosa namun penyelidikan lanjut mengenainya harus diperkembangkan dengan lebih mendalam.

Rujukan:

  1. Ugidos-Rodríguez, S., Matallana-González, M. C., & Sánchez-Mata, M. C., (2018). Lactose malabsorption and intolerance: a review. Food & function9(8), 4056–4068.
  2. Misselwitz, B., Pohl, D., Frühauf, H., Fried, M., Vavricka, S. R., & Fox, M. (2013). Lactose malabsorption and intolerance: pathogenesis, diagnosis and treatment. United European gastroenterology journal1(3), 151–159.
  3. Portal Myhealth

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen + nineteen =

Open

Close