Anda Fikir Rumah Anda Bersih? Fikir Sekali Lagi

kuman di dalam rumah

Tanpa kita sedari, setiap hari kita telah terdedah kepada berjuta-juta partikel halus yang bebas berterbangan di udara termasuk pelbagai jenis mikroorganisme yang boleh membawa kesan kepada seseorang individu sama ada baik atau buruk.

Anda fikir anda keseorangan selama ini? Jangan risau anda tak keseorangan pun, mikrob ada di mana-mana. Percaya tak yang manusia sebenarnya menghabiskan hampir 90% masa mereka di dalam persekitaran dalaman berbanding persekitaran luaran?

Untuk pengetahuan anda, kesihatan manusia lebih mudah dipengaruhi oleh komuniti mikrob di dalam persekitaran dalaman seperti rumah, sekolah, pejabat, bangunan, hospital dan sebagainya. Ada di antara komuniti mikrob di udara tersebut boleh menyebabkan penyakit seperti pneumonia, asma dan alahan.

Malahan, terdapat perdebatan daripada beberapa kajian yang menyatakan kurangnya pendedahan sewaktu kanak-kanak kepada kepelbagaian komuniti mikrob di dalam dan sekitar kawasan rumah boleh menyebabkan pertambahan kepada insiden alahan dan penyakit autoimun iaitu gangguan daripada sistem pertahanan badan manusia yang menyerang sel-sel tubuh badan yang sihat.

Mikroorganisme di Rumah

Secara amnya, rumah kita sendiri boleh menjadi sumber tempat pembiakan bakteria, kulat, virus dan sebagainya. Antaranya ialah,

1. Dapur

  • Sinki,
  • tong sampah,
  • peti sejuk

2. Bilik air

  • Tandas,
  • kepala pancuran air

3. Bilik tidur dan Ruang Tamu

  • Sarung bantal,
  • kain cadar,
  • lantai

4. Pintu Masuk

  • Pintu,
  • Alas kaki

3 Punca Mikroorganisme di Rumah

1. Bakteria Pada Manusia

Salah satu puncanya adalah daripada manusia itu sendiri. Kebanyakan bakteria di dalam rumah berasal daripada kulit dan saluran usus manusia yang terdiri daripada kategori Proteobacteria, Actinobacteria, Firmicutes, and Micrococcus.

Apabila seseorang individu itu berpindah ke kediaman yang baharu, komuniti mikrob di kediaman tersebut akan berhubung dengan komuniti mikrob di kulit penghuni rumah tersebut. Bakteria daripada rongga mulut kerapkali dijumpai pada sarung bantal manakala bakteria daripada najis manusia seringkali dijumpai pada mangkuk tandas.

2. Air

Bakteria boleh disebarkan oleh air melalui kepala pancuran air, kepala paip air dan tandas. Pembiakan bakteria boleh berlaku sekiranya terdapat kebocoran air, air melimpah ke kawasan lantai dan sewaktu musim hujan.

Kelembapan yang terkumpul di dalam rumah akan memudahkan bahan cemar di tempat tersebut menembusi permukaan dan dipencarkan sebagai bioaerosol iaitu mikroorganisme yang hidup di udara. Sebab itu kita dapat lihat pertumbuhan kulat atau kulapuk di kawasan-kawasan yang dilimpahi air selepas banjir.

3. Persekitaran luaran

Penyebaran bakteria di udara ke dalam rumah adalah melalui komponen pengudaraan semula jadi seperti tingkap dan pintu, manakala bakteria di persekitaran sekeliling boleh disebarkan melalui kasut. Komuniti mikrob yang dijumpai pada lantai dan karpet rumah adalah berbeza dari segi perbezaan budaya.

Sebagai contoh, orang Jepun akan membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah. Komuniti mikrob di lantai rumah mereka kebanyakkannya didominasi oleh bakteria daripada kulit manusia. Binatang peliharaan dan tumbuhan juga adalah punca kepada penyebaran mikroorganisme di dalam rumah. Sama seperti budaya di Malaysia bukan.

Tempat Awam

Sama seperti di rumah, komuniti bakteria di pejabat, bilik darjah, hospital dan tempat komuniti yang lain adalah jenis bakteria daripada manusia dan tanah. Perbezaan utama antara rumah dan tempat awam sebegini adalah dari segi jumlah manusia di tempat tersebut.

Secara positifnya, kepekatan bioaerosol bakteria adalah berhubung kait dengan jumlah manusia dan jenis-jenis aktiviti manusia di sesuatu tempat. Walaupun udara di persekitaran dalaman di tempat-tempat awam menyerupai udara di persekitaran luaran, jumlah bakteria pada badan manusia adalah dua kali ganda lebih banyak di tempat-tempat awam yang lebih sesak.

Dalam secara tak sedar, kita boleh membawa balik kuman-kuman dari tempat tersebut ke dalam rumah.

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada terdedah kepada komuniti mikrob. Paling kurang kita mempunyai kesedaran untuk memastikan persekitaran rumah kita bersih dan selamat. Di musim perayaan ini, eloklah kita mengambil inisiatif untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah kita. Bak kata pepatah, ‘Rumahku, syurgaku’.

Rujukan:

  1. Fujiyoshi, S., Tanaka, D., & Maruyama, F. (2017). Transmission of airborne bacteria across built environments and its measurement standards: a review. Frontiers in microbiology8, 2336.
  2. Prussin, A. J., & Marr, L. C. (2015). Sources of airborne microorganisms in the built environment. Microbiome3(1), 78.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.