Ejen Oren: Racun Rumpai yang digunakan dalam Peperangan Vietnam

ejen oren

Ejen oren (agent orange) merupakan nama yang diberikan kepada campuran bahan kimia yang digunakan sebagai racun rumpai oleh tentera Amerika Syarikat ketika Perang Vietnam pada tahun 1962-1971.

Tentera Amerika Syarikat telah menyembur lebih daripada 45 juta liter ejen oren ketika Perang Vietnam berlangsung. Namun, bukan itu sahaja. Mereka juga telah menyembur sebanyak 7.4 juta ejen putih, biru, ungu, merah jambu dan hijau pada masa yang sama.

Penggunaan racun rumpai ini merupakan salah satu taktik ketenteraan yang digunakan oleh Amerika Syarikat. 

Agen oren disembur ke atas kawasan hutan secara sengaja untuk memusnahkan kanopi pokok dan sebarang tanaman yang boleh dijadikan makanan ataupun tempat berlindung oleh pihak Viet Cong.

Operasi Ranch Hand

ejen oren

Gambar oleh Brian K. Grigsby daripada arkib Department of Defense

Operasi ini turut dikenali sebagai Operation Ranch Hand. Operasi ini dijalankan untuk memaksa pihak Viet Cong keluar daripada kawasan penyembunyian mereka. Hanya selepas beberapa hari operasi ini dijalankan, habis tanaman dan haiwan liar di Vietnam mati akibat disembur agen oren.

Ketika racun rumpai ini digunakan, pihak Amerika Syarikat telah meyakinkan orang ramai bahawa penggunaan agen oren adalah selamat dan hanya akan memusnahkan tanaman sahaja.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1988, Dr. James Clary, seorang penyelidik tentera udara Amerika Syarikat telah menulis kepada Senator Tom Daschle bahawa mereka sedar akan bahaya yang bakal dicetuskan oleh agen oren.

Namun, mereka tidak ambil kisah tentang bahaya agen oren kerana menurut mereka, racun tersebut hanya digunakan ke atas pihak lawan. Tetapi, mereka tidak sedar betapa toksiknya bahan tersebut sehinggalah kesan negatifnya dirasai oleh tentera Amerika sendiri.

Tetapi, apa yang buatkan Ejen oren begitu berbahaya?

Semua kecacatan ini adalah disebabkan oleh sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai dioksin, atau nama kimianya 2,3,7,8-tetrachloro-dibenzo-para-dioxin, atau TCDD.

TCDD merupakan kompaun yang paling toksik di dalam agen oren. Dioksin merupakan sejenis karsinogen dan toksik walaupun dalam jumlah yang sedikit.

Walau bagaimanapun TCDD sebenarnya bukanlah bahan yang diletakkan dengan sengaja di dalam racun rumpai tersebut. Ia sebenarnya ialah bahan sampingan yang terbentuk daripada proses pembuatan 2,4,5-trichlorophenoxyacetic acid (2,4,5-T).

Dioksin merupakan sejenis bahan kimia yang sukar untuk terurai. Ia boleh bertahan di dalam tanah selama bertahun-tahun. Bahkan bahan dioksin ini boleh berkumpul di dalam tisu haiwan seperti ikan, burung dan binatang lain.

Manusia kemudiannya terdedah dengan dioksin apabila mereka makan haiwan ataupun tumbuhan yang dicemari dengan bahan kimia tersebut.

Kesan Ejen oren keatas manusia dan alam sekitar

Apa yang dirasai oleh pihak tentera Amerika Syarikat sudah pastilah tidak seteruk apa yang rakyat Vietnam sendiri rasai.

Vietnam telah melaporkan hampir 400,000 kematian akibat agen oren. Tambah lagi, 150,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan kecacatan serius, manakala 2 juta lagi didapati telah menghidap penyakit berbahaya.

Menurut Vietnamese Association of Victims of Agent Orange (VAVA), antara penyakit yang disebabkan oleh agen oren ialah kanser, masalah neurologikal, spina bifida, masalah bayi sumbing, masalah reproduktif dan kelahiran bayi cacat.

kesan ejen oren

Gambar oleh Alexis Duclos, 2004. Kredit gambar@Pressbooks

Sehingga hari ini, masih ada lagi rakyat Vietnam dan Amerika Syarikat yang masih terkesan dengan agen oren.

Selain itu, hampir 3,100,000 hektar hutan dan tanah pertanian jadi padang jarak padang terkukur akibat racun rumpai ini. Perhutanan semula pula sukar untuk dilakukan disebabkan dioksin yang masih berada di dalam tanah.

Kesimpulan

Pada awal tahun 1978, Paul Reutershan, seorang krew helikopter yang bertanggung jawab untuk membawa bekalan ketenteraan semasa Perang Vietnam telah berkata:

“Saya telah mati di Vietnam, tetapi saya tidak tahu.”

Beliau telah ditemu ramah di Today Show dan memberitahu penonton bahawa beliau terpaksa terbang hampir setiap hari menembusi kabus semburan agen oren.

Pada masa itu, beliau tidak tahu mengenai kesan buruk bahan kimia yang dihidunya setiap hari. Namun, apabila Reutershan pulang dari Vietnam, beliau telah didiagnos dengan kanser pankreas

Pada umur 28 tahun, beliau meninggal dunia daripada kanser tersebut yang telah merebak ke bahagian kolon, hati dan perut beliau.                       

Sebelum kematian beliau, beliau telah menubuhkan Agent Orange Victims International (AOVI) sebagai satu langkah untuk menyedarkan orang ramai terhadap bahaya ejen oren.

Pencemaran yang dicetuskan ejen oren masih lagi menjadi masalah di Vietnam hingga ke hari ini. Malah, nasib individu yang menjadi mangsa kerakusan bahan kimia ini juga masih belum terbela sepenuhnya. 

Rujukan

  1. Crouse, Cain W. n.d. The Use and Effects of Agent Orange in Vietnam. Accessed September 12, 2020.
  2. Encyclopaedia Britannica. n.d. Agent Orange. Accessed September 12, 2020.
  3. History.com. 2019. Agent Orange . May 16. Accessed September 12, 2020. https://www.history.com/topics/vietnam-war/agent-orange-1.
  4. Institute of Medicine (US) Committee. 1994. Veterans and Agent Orange: Health Effects of Herbicides Used in Vietnam. Washington (DC).The Aspen Institute. n.d. What is Agent Orange? Accessed September 12, 2020. https://www.aspeninstitute.org/programs/agent-orange-in-vietnam-program/what-is-agent-orange/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.