Benarkah Dinosaur Wujud di Malaysia?

adakah dinosaur wujud di malaysia

Adakah benar terdapat kewujudan Dinosaur di Malaysia sebelum ini? Artikel ini akan membincangkan bukti-bukti berkenaan kewujudan dinosaur di Malaysia..

Sejarah Dinosaur

Dinosaur merupakan haiwan reptilia pra-sejarah yang mendiami bumi pada 230 juta tahun dahulu, iaitu ketika zaman pertengahan sehingga lewat Triasik pada Era Mesozoik. Istilah ‘dinosaur’ diilhamkan oleh seorang pakar paleontologi England, Sir Richard Owen, pada tahun 1842 dan berasal daripada bahasa Greek yang secara literalnya bermaksud ‘cicak dahsyat’.

Perkara ini berikutan Sir Richard Owen menemukan tulang daripada tiga haiwan yang berbeza iaitu Megalosaurus, Iguanadon (gigi iguana) and Hylaeosaurus (cicak rimba). Sejak itu, pemburuan fosil dinosaur menjadi tumpuan utama khususnya dalam kalangan ahli paleontologi barat. Kebanyakan fosil dinosaur yang ditemukan sehingga kini banyak terdapat di kawasan gurun di barat Amerika Syarikat, Chile, Argentina, beberapa kawasan di United Kingdom serta di Antartika.

Sir Richard Owen, individu yang menemui fosil dinosaur pertama di England.

Sir Richard Owen, individu yang menemui fosil dinosaur pertama di England. Sumber: Natural Histroy Museum

Penemuan Fosil Tapak Kaki Sauropod di Bukit Panau, Kelantan

Gambaran artis mengenai Sauropod

Gambaran artis mengenai Sauropod. Sumber: Science Mag

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penemuan 7 fosil tapak kaki dinosaur dipercayai spesies Sauropod yang dianggarkan berusia 66 juta hingga 144 juta tahun (Cretaceous Period) oleh beberapa penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Eksplorasi tersebut diketuai oleh pensyarah UMK dari Jabatan Sains Bumi, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Prof Surono Martosuwito. Menurut beliau, fosil tersebut secara purata berukuran 66 cm lebar dan 72 cm panjang sekali gus menyamai saiz normal Sauropod pada zaman Cretaceous iaitu 22 m panjang dan 9 m tinggi dengan anggaran berat sekitar 30 hingga 40 metrik tan.

Penyelidik UMK bersama fosil tapak kaki dinosaur di Bukit Panau, Kelantan. Sumber: NST

Berdasarkan penemuan itu pihaknya mengenal pasti fosil Sauropod ini berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijumpai kemudian mendapat pengesahan pakar dinosaur dunia berasal dari Jepun. Menurutnya juga, berdasarkan keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau pihaknya mendapati bahawa Saurapod itu hidup pada ekosistem daratan khususnya di sekitar sungai berliku.

Penemuan Lain di Malaysia

Sebelum ini, telah banyak penemuan dipercayai fosil dinosaur yang ditemukan di Malaysia.

1. Penemuan Pertama di Pahang

Penemuan pertama adalah pada tahun 2014 di mana sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya dibantu oleh beberapa profesor dari Jepun telah menemui sebatang gigi dinosaur di Pahang selepas 2 tahun eksplorasi dijalankan. Mereka mempercayai bahawa gigi yang berukuran 23 mm panjang itu milik dinosaur pemakan daging (karnivor) jenis Spinosaurid. Ia ditemui dalam batuan enapan berusia 75 juta hingga 145 juta tahun (Era Mesozoik) yang lalu. Namun begitu, lokasi kejadian telah dirahsiakan untuk menjaga privasi penyelidikan tersebut.

2. Penemuan kedua di lokasi yang sama

Selang beberapa bulan kemudian, kumpulan penyelidik yang sama menemui fosil sebatang gigi dinosaur pemakan tumbuhan (herbivor) jenis Ornithischian. Menurut Dr Masatoshi Sone, fosil gigi tersebut berukuran 13 mm panjang dan 10.5 mm lebar dan dijumpai di dalam batuan enapan berusia Era Mesozoik juga. Penemuan ini mencetus teori bahawa terdapat ekosistem daratan yang dipenuhi tumbuhan di Semenanjung Malaysia pada Era Mesozoik sekali gus memungkinkan terdapat banyak lagi species dinosaur yang pernah mendiami Malaysia.

3. Penemuan di Gunung Gagau, Terengganu

Selang beberapa hari kemudian, satu pasukan penyelidik yang terdiri dari anggota Jabatan Geological Heritage Malaysia telah mendaki Gunung Gagau di Terengganu selama 10 hari sebelum menemui sebatang gigi, beberapa tulang dan tapak kaki. Yang dipercayai milik 3 spesies dinosaur yang berbeza. Fosil gigi yang berukuran 1.5 cm panjang serta salah satu daripada tapak kaki yang ditemui didakwa milik dinosaur jenis Iguanodon manakala fosil lain dipercayai milik dinosaur jenis Thetheropod dan keluarga Sauropods. Iguanodon merupakan species dinosaur herbivor yang besar, memiliki kuku yang tajam, memiliki gigi seperti iguana zaman moden dan dipercayai tinggal pada Period Lewat Jurassik dan Lewat Cretaceous atau 66 juta hingga 163 juta tahun yang lalu.

Fosil dinosaur yang ditemui di Pahang

Fosil dinosaur yang ditemui di Pahang. Sumber: AstroAwani

4. Penemuan di negara jiran

Jika penemuan di atas tidak cukup meyakinkan anda bahawa Malaysia pernah didiami dinosaur, kita boleh merujuk kepada beberapa penemuan di negara jiran kita. Sebagai contoh, di Thailand, penyelidik di sana telah menemui fosil dinosaur seawal tahun 1974.

Pada tahun tersebut, mereka menemui satu set tapak kaki dinosaur jenis Therapod dalam batuan pasir di Pusat Sanktuari Hidupan Liar Phu Luang, Timur Laut Thailand. Sejak itu, mereka telah mengisytiharkan 9 lagi tapak galian fosil dinosaur dan menjadi antara negara yang kaya dengan fosil dinosaur di seluruh dunia. Selain itu, di Myanmar pula, sekumpulan saintis dari Universiti Geosains Beijing telah menemui bulu dinosaur yang terawet dalam amber (cecair pokok) pada tahun 2015. 

Fosil bulu dinosaur di dalam amber (cecair pokok) yang ditemui di Myanmar

Fosil bulu dinosaur di dalam amber (cecair pokok) yang ditemui di Myanmar. Sumber: Science Mag

Kesimpulan

Sesungguhnya, fosil dinosaur yang ditemui di Malaysia setakat ini merupakan petanda baik bagi kita meneruskan usaha penyelidikan dan eksplorasi terhadap dinosaur malah hidupan pra-sejarah yang lain. Sememangnya, jumlah dan jenis fosil yang ditemui di negara kita masih jauh ketinggalan dari negara-negara barat serta negara Asia yang lain, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita menidakkan kewujudan dinosaur di Malaysia suatu ketika dahulu.

Ini kerana, pada sekitar 230 juta tahun dahulu, di mana zaman dinosaur baru membiak, benua-benua masih bercantum membentuk supercontinent yang digelar Pangea. Dan pada sekitar 200 juta tahun dahulu, Pangea mula berpecah untuk membentuk beberapa benua yang kita lihat hari ini. Pada ketika itulah, species majoriti haiwan termasuk dinosaur terpisah lalu memcetuskan kepelbagaian jenis spesies kerana mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran yang unik akibat daripada pemisahan benua. Oleh itu, tidak mustahil ada spesies dinosaur yang menjelajah ke Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk berkembang biak.

Peta Pangea

Peta Pangea. Sumber: Visual Capitalist

Sumber:

  1. Bahar, A. M., Sulaiman, M. S., Martosuwito, S., & Hartono, U. (2020). The Sauropod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan, Malaysia. IOP Conference Series: Earth and Environmental Science, 549, 012022. doi:10.1088/1755-1315/549/1/012022
  2. Alias, N. (2020, August 15). 7 fosil tapak kaki dinosour ditemui di Bukit Panau. Retrieved September 27, 2020, from Berita Harian
  3. Jr, J. (1969, December 31). New dinosaur fossils discovered in Mount Gagau, Hulu Terengganu. Retrieved September 27, 2020, from The Star
  4. RASHVINJEET S. BEDI and NATALIE HENG. (1969, December 31). Second dinosaur fossil discovered in Pahang. Retrieved September 27, 2020, from The Star
  5. Echevarria, G. (2018, August 02). How dinosaurs took over the world. Retrieved September 27, 2020, from Buisness Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.