Sistem Suria dan Batuan Angkasa

batuan dalam sistem solar

Minggu Angkasa Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut pada 4 hingga 10 oktober diserata dunia. Antara tujuan sambutan Minggu Angkasa Sedunia ini adalah untuk mendidik masyarakat mengenai ilmu angkasa seperti sistem suria, batuan angkasa, galaksi, dan objek samawi lain. Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Sistem Suria dan Batuan Angkasa?

Sistem Suria

Suria bermaksud Matahari. Sistem pula bermaksud himpunan objek yang saling bertindak antara satu sama lain lalu membentuk sebuah sistem. ANGKASA Malaysia menyatakan bahawa Sistem Suria adalah sebuah sistem di mana Matahari menjadi pusat kepada semua planet, asteroid, komet, dan kumpulan meteor dan segala objek dalam Sistem Suria ini akan mengorbit Matahari.

Empat planet yang berdekatan dengan Matahari iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh digelar planet terestrial kerana ianya mempunyai permukaan yang berrbatuan dan mempunyai sifat kebumian. Manakala terdapat dua jenis planet gergasi yang berada di luar orbit Marikh iaitu planet gergasi yang dipenuhi gas (Musytari dan Zuhal) dan planet gergasi yang dipenuhi ais (Uranus dan Neptun). Kebanyakkan objek yang terdapat di dalam Sistem Suria mempunyai atmosferanya tersendiri.

Batuan Angkasa

Ruang angkasa dipenuhi dengan batu-batuan yang dipanggil objek kecil. Terdapat juga batuan yang bersaiz besar dan ianya dipanggil sebagai planet. Terdapat tiga jenis batuan angkasa yang utama iaitu komet, asteroid dan meteorid. Apabila serpihan batuan utama ini memasuki bumi, ianya akan menjadi meteor dan seterusnya menjadi meteorit sekiranya batuan tersebut menghentam permukaan bumi.

Komet

Komet merupakan objek kecil yang mengelilingi orbit Matahari. Komet terdiri daripada ais, debu, dan gas yang membentuk ekor yang panjang dan boleh dilihat dari bumi. Komet berpunca dan terhasil dari kawasan sejuk antara planet Neptun dan planet kerdil, Pluto yang dipanggil Awan Oort. Selain itu, komet juga terhasil dari Kuiper Belt yang terletak selepas orbit Neptun.

Komet akan mengorbit Matahari seperti batuan yang lain. Terdapat komet yang mengambil masa selama 200 tahun untuk mengorbit Matahari. Ketika komet melintasi Matahari, haba Matahari akan menyebabkan nukleus berais akan menjadi wap dan sebahagian ais dan gas akan terdidih. Bahan ini akan membentuk awan di sekitar nukleus yang dipanggil koma. Apabila semakin menghampiri Matahari, angin solar akan menolak koma keluar dari Matahari dan akan membentuk ekor komet. Rajah 1 menunjukkan anatomi sebuah komet apabila menghampiri matahari.

salah satu komet yang wujud dalam sistem suria

Rajah 1: Anatomi komet (sumber: NASA)

Ekor komet boleh mencapai 150 kilometer panjang. Apabila setiap kali komet melintasi Matahari, komet akan kehilangan ais dan gas yang akan menyebabkan komet akan menghilang begitu sahaja seperti yang terjadi terhadap Komet C/2012 S1 ISON atau dikenali sebagai komet ISON pada 28 November 2013.

Pada 16 November 2013, Waldemar Skorupa dari German berjaya merakam imej komet ISON. Berdasarkan imej berkenaan, Shahrin Ahmad telah melakukan pengiraan dan mendapati bahawa panjang ekor komet ISON ketika itu adalah 8 juta km iaitu 21 kali ganda jarak antara Bulan dan Bumi.

Gambar 1: Imej komet ISON sebelum menghilang apabila menghampiri Matahari (Sumber: Waldemar Skorupa, 2013)

Asteroid

Asteroid merupakan ketulan batu yang saiz diameternya berukuran antara beberapa kaki hingga ke beberapa batu. Asteroid yang terbesar ialah Ceres yang saiz diameternya 950 km. Asteroid terletak di lingkaran asteroid di antara planet Marikh dan Musytari.

Asteroid mengelilingi Matahari pada kedudukan di antara orbit planet Marikh dan Musytari, dan kerana itu asteroid digelar sebagai planet minor. Jarak di antara dua biji asteroid yang berturutan (berjiran) adalah 966 000 km iaitu 2.5 kali ganda jarak di antara bumi dan bulan. Terdapat juga asteroid yang mempunyai bulannya yang tersendiri. Rajah 2 menunjukkan kedudukan lingkaran asteroid di dalam Sistem Suria.

sistem suria

Rajah 2: Asteroid mengorbit Matahari (Sumber: NASA)

Meteroid

Meteoroid merupakan batuan kecil di angkasa lepas. Meteoroid mempunyai saiz yang lebih kecil dari asteroid dan terhasil dari pelbagai sumber. Antaranya adalah daripada serpihan asteroid yang berlanggar antara satu sama lain, komet, bulan dan juga planet Marikh.

Meteor  

Meteor merupakan batuan angkasa yang masuk ke atmosfera bumi. Batuan ini berasal dari serpihan komet, asteroid, meteoroid yang mengorbit sistem suria. Apabila batuan ini masuk ke ke atmosfera bumi, ia akan mula terbakar hasil pelanggaran dengan atmosfera bumi dan pelanggaran itu menghasilkan cahaya. Fenomena yang lebih dikenali sebagai Hujan Meteor ini akan menghiasi langit malam dengan cahayanya yang mampu dilihat dengan mata kasar tetapi hanya dalam tempoh yang teramat singkat.

Hujan Meteor adalah fenomena biasa yang akan berlaku pada setiap tahun. Antaranya adalah hujan meteor Geminids yang kemuncaknya pada 13 hingga 15 Disember dengan purata meteor 120/jam, Hujan Meteor Perseids pada 12 hingga 13 Ogos dengan purata meteor 60/jam,  Hujan Meteor Lyrids pada 21 hingga 22 april dengan purata meteor 10/jam dan lain-lain lagi.

Meteorit

Apabila meteor tidak habis terbakar di atmosfera bumi, serpihan itu akan jatuh menghentam bumi seperti yang berlaku pada  Februari 2013 di Rusia. Meteorit itu telah menghentam sebuah tasik dan meninggalkan kawah hentamannya berserta serpihan meteorit. Gambar dibawah menunjukkan kawah hentaman meteorit di Tasik Cherbakul yang ketika itu sedang membeku. Manakala gambar terakhir pula menunjukkan serpihan meteorit yang dijumpai di dalam Tasik Cherbakul pada 16 Oktober 2013.

(Sumber: BBC News, 2013)

(Sumber: BBC News, 2013)

RUJUKAN

  1. Planets of the Solar System. 2011. Solar System Overview.
  2. ANGKASA MALAYSIA. 2011. Kamus Sains Angkasa.
  3. NASA. 2013. Our Solar System: Overview.
  4. Shahrin Ahmad.2013. Facebook page FalakOnline.
  5. BBC NEWS. 2013. Meteorite pulled from Russian lake.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − five =

Open

Close