Planet Utarid: Jiran Terdekat Matahari

planet utarid

Planet Utarid juga dipanggil sebagai Mercury. Planet Utarid terbentuk lebih kurang 4.5 bilion tahun yang lalu apabila graviti menarik gas dan habuk-habuk di sekitarnya lalu membentuk planet ini. Utarid merupakan planet yang paling kecil di dalam sistem suria dan paling hampir dengan matahari. Matahari kelihatan tiga kali ganda besar (dari bumi) apabila dilihat dari permukaan Utarid dan kecerahannya adalah tujuh kali ganda (dari bumi). Walaupun Utarid paling hampir dengan matahari, tetapi Utarid bukanlah planet yang paling panas.

Saiz Utarid dan Jarak

Saiz Utarid sedikit besar dari bulan Bumi dan radiusnya adalah 2 440 km. Jarak paling dekat antara Utarid dan Matahari adalah 47 milion km dan jarak paling jauh ialah 70 milion km. Purata jarak antara Utarid dan Matahari ialah sejauh 58 milion km dan masa yang diambil oleh cahaya Matahari untuk sampai ke Utarid ialah selama 3.2 minit.

Masa Di Utarid

Satu hari di Utarid bersamaan dengan 59 hari dibumi kerana putaran Utarid pada paksinya adalah sangat perlahan. Utarid memerlukan 88 hari untuk mengorbit Matahari (88 hari bersamaan 1 tahun di Utarid) dengan halajunya 47 km per saat (paling laju di antara semua planet). Utarid tidak mengalami sebarang musim seperti di Bumi kerana Utarid hanya condong 2 darjah dari paksi planet.

Utarid merupakan planet kedua yang paling tumpat dan teras utama planet dipenuhi dengan logam berat dengan radiusnya 2074 km (85 % dari radius Utarid). Terdapat bukti yang menyatakan teras Utarid mengandungi logam dalam bentuk cecair. Permukaan luar Utarid hampir sama dengan bumi iaitu mengandungi lapisan mantel dan kerak dengan ketebalan menghampiri 400 km. Tarikan graviti di Utarid 3.7 ms-2.

Imej Utarid yang diambil oleh Mariner 10

Imej Utarid yang diambil oleh Mariner 10

Permukaan Utarid

Permukaan Utarid dipenuhi dengan kawah akibat dihentam oleh komet dan asteoroid. Kawah hentaman yang paling besar dicatatkan mempunyai diameter 1550 km yang disebabkan oleh hentaman asteroid di awal pembentukkan Utarid. Suhu di permukaan Utarid akan menjadi terlampau panas ketika siang hari iaitu menjangkau 430 darjah celcius. Utarid tidak mempunyai atmosfera untuk memerangkap haba dan ini menyebabkan apabila malam suhu akan menjadi terlampau sejuk sehingga mencapai -180 darjah celcius. Utarid mungkin mempunyai ais di kutub utara dan kutub selatan di dalam kawah hentaman yang tidak pernah mengalami pancaran cahaya Matahari.

Lapisan Atmosfera

Utarid tidak mempunyai atmosfera tetapi mempunyai eksosfera (lapisan paling luar atmosfera planet) yang terdiri daripada atom hasil hentaman meteoroid atau angin suria di permukaan Utarid. Eksosfera Utarid terdiri daripada oksigen (O), hidrogen (H), helium (He), kalium (K) dan natrium (Na). Kekuatan medan magnet Utarid hanyalah 1 peratus dari kekuatan medan magnet bumi. Walau pun begitu, apabila medan magnet Utarid bertindakbalas dengan medan magnet angin suria, maka akan terhasilnya puting beliung dengan sangat pantas yang akan menyebabkan permukaan Utarid sangat panas.

atmosfera bumi

Eksofera merupakan salah satu lapisan atmosfera yang kedudukannya adalah di luar sekali.

Kehidupan di Utarid

Setakat ini, tiada bukti kehidupan dan hidupan di Utarid. Persekitaran, suhu dan angin suria (radiasi) adalah sangat ekstrim untuk sebarang hidupan.

Misi Utarid

Tahun 1974-1975 merupakan tahun bersejarah bagi dunia astronomi apabila pesawat (spacecraft) pertama berjaya melawati Utarid iaitu Mariner 10. Mariner 10 telah berjaya merakam hampir 45% permukaan Utarid dengan melakukan tiga kali lintasan terbang lalu (fly by). Kemudian pada tahun 2008-2009, pesawat MESSENGER (MErcury Surface, Space ENvironment, GEochemistry and Ranging) juga melakukan tiga kali lintasan terbang lalu ke atas Utarid untuk pemerhatian.

Tahun 2011 MESSENGER mula mengorbit Utarid untuk mengumpul data komposisi Utarid, pengimejan dan penerokaan saintifik. Pada tahun 2015 MESSENGGER telah dihempaskan ke permukaan Utarid untuk penamatan misi berkenaan. Tahun 2018 menyaksikan pelancaran BepiColombo yang akan menjelajahi Utarid dan dijangka akan memasuki orbit Utarid pada tahun 2025. BepiColombo merupakan projek kerjasama di antara European Space Agency (ESA) dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA)

BepiColombo di Utarid

Gambaran BepiColombo di Utarid berpandukan gambar yang diambil oleh Mariner 10

Fenomena Utarid

Kedudukan Utarid yang hampir dengan Matahari amat menyukarkan untuk melihat Utarid kecuali di waktu malam. Walaubagaimana pun terdapat satu fenomena yang sangat menarik dan ditunggu oleh ahli astronomi iaitu fenomena transit. Utarid akan kelihatan melintasi Matahari jika dipandang dari Bumi dan fenomena ini hanya akan berlaku sebanyak tiga belas kali di dalam satu abad. Untuk abad 21, fenomena transit ini telah berlaku pada 7 Mei 2003, 8 Nov 2006, 9 Mei 2016 dan 11 Nov 2019. Transit seterusnya akan berlaku pada tahun 2032 iaitu 12 tahun dari sekarang.

fenomena transit Utarid

Imej fenomena transit Utarid yang berjaya dirakam pada 9 Mei 2016 oleh NASA.

Rujukan:

  1. BepiColombo at Mercury
  2. MESSENGER
  3. Mercury
  4. Mariner 10
  5. Mercury Transit: Important Details for Observing Stunning Phenomenon
  6. Mercury-Mariner 10
  7. Exosphere Facts. Science Struck

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 + eighteen =

Open

Close