Hentaman Meteorit di Malaysia: Bukit Bunuh, Perak dan Pulau Langkawi

hentaman meteorit

Atmosfera memelihara bumi dari dihentam meteorit seperti meteorit menghentam bulan, dan planet lain. Tetapi, terdapat juga beberapa meteor yang tidak habis terbakar di atmosfera dan menghentam bumi untuk dijadikan pengajaran oleh manusia. Sehingga tahun 2011, terdapat 182 kawah hentaman meteor yang telah dikenalpasti di bumi iaitu 58 di Amerika Utara, 39 di Eropah, 9 di Amerika Selatan, 19 di Afrika, 30 di Asia dan 27 di Australia. Berdasarkan 182 kawah ini, tiada satu pun kawasan hentaman meteorit di Malaysia yang telah dikenal pasti dan dijumpai oleh penyelidik antarabangsa.

Kawasan hentaman pada masa lalu ini sukar untuk dijumpai akibat dari proses luluhawa, canggaan dan tertimbusnya kawah hentaman dengan tanah. Oleh itu, kaedah geofizik. geologi, geokimia, isotop dan lain-lain telah digunakan untuk mengenal pasti kawah hentaman. Antara kaedah geofizik yang dilakukan untuk mengenal pasti kawah hentaman adalah kaedah graviti, magnet, seismik dan pengimejan perintang elektrik 2-dimensi.

Di Malaysia, kajian mengenai hentaman meteorit ini telah dilakukan oleh para penyelidik dari universiti tempatan. Buat masa kini, dua lokasi hentaman meteorit berserta bukti telah dikenal pasti iaitu di Bukit Bunuh, Lenggong dan Pulau Langkawi.

Hentaman Meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak

Tapak arkeologi di Bukit Bunuh, Lenggong telah ditemui oleh pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia iaitu Professor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.  Tapak arkeologi ini memberi bukti bahawa manusia awal telah wujud di Malaysia sejak 1.83 juta tahun lalu dan secara tidak langsung tapak Bukit Bunuh telah diiktiraf sebagai tapak Paleolitik tertua yang direkodkan di Asia Tenggara.

Disebalik keterujaan para penyelidik mengkaji kehidupan manusia zaman Paleolitik, mereka juga berjaya menemui bukti berlakunya hentaman meteorit di tapak berkenaan. Pelbagai kajian yang melibatkan kaedah geofizik, geokimia, isotop telah dilakukan sebagai pembuktian.

Hasil dari kajian yang dilakukan, didapati bahawa hentaman meteorit telah berlaku dan  menjadi punca kemusnahan budaya awal Paleolitik di Lenggong, Perak. Antara buktinya adalah kehadiran batuan suevit dan kesan geomorfologi di kawasan tersebut. Dianggarkan bahawa kawah hemtaman meteorit berdiameter 5 km dan mempunyai kedalaman 600 m.

Batuan dari angkasa, suevit (sumber: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia)

Hentaman Meteorit di Pulau Langkawi, Kedah

Pulau Langkawi yang dikenali sebagai Permata Kedah merupakan salah satu destinasi perlancongan yang terkenal di Malaysia. Disebalik keindahan alam yang memukau, terdapat pelbagai sejarah geologi sehingga Pulau Langkawi pernah diiktiraf sebagai Global Geopark oleh UNESCO (United Nations, Educational, Scientific and Cultural Organization).

Panaroma kehijauan sawah padi dan keutuhan Gunung Raya menjadi tatapan para pelancong apabila mengunjungi Makam Mahsuri Binti Pandak Mayah. Makam Mahsuri yang terletak di Ulu Melaka, Pulau Langkawi menyimpan pelbagai kisah sejarah kehidupan masyarakat terdahulu. Begitu juga dengan kawasan sawah padi dan Gunung Raya yang menjadi saksi dan kawasan berlakunya hentaman meteorit.

Kawah hentaman meteorit yang kini ditimbusi alluvium dan menjadi kawasan sawah padi.

Imej satelit telah membantu penemuan awal bukti beberapa kawah hentaman meteorit di Pulau Langkawi, khususnya di kawasan yang berdekatan dengan Makam Mahsuri pada tahun 2001. Terdapat dua kawah hentaman meteorit berhampiran makam Mahsuri dan ianya digelar sebagai Lingkaran Mahsuri (Mahsuri Ring).

Penemuan batuan yang mengalami kejutan-metamorfosis menguatkan lagi bukti bahawa berlakunya hentaman meteorit di kawasan tersebut. Bagaimanapun, sehingga kini zaman berlakunya hentaman meteorit berkenaan masih tidak diketahui.

Pemandangan kawah hentaman meteorit dari Gunung Raya (Sumber: Langkawi Geopark, 2008)

Pada tahun 2013/2014, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah seliaan Prof Rahim Samsudin dan Prof Umar Hamzah telah melakukan kajian geofizik yang melibatkan kaedah graviti, magnet, seismik dan pengimejan perintang elektrik 2-dimensi. Hasil dari kajian tersebut mendapati bahawa kedalaman maksimum kawah hentaman meteorit adalah 1702 m dan diameter maksimum 1369.9 m.

Berdasarkan video animasi yang dihasilkan oleh Langkawi Geopark, didapati bahawa kawasan di Lingkaran Mahsuri pada asalnya adalah kawasan berbukit. Apabila dua meteorit menghentam bukit berkenaan, maka terjadinya Lingkaran Mahsuri. Animasi mengenai hentaman meteorit di Pulau Langkawi boleh dilihat di sini

Kesimpulan

Hujan meteor adalah fenomena astronomi biasa yang akan berlaku pada setiap tahun. Antara meteor yang selalu menghujani bumi adalah meteor Geminids, Perseids, Leonids dan lain-lain lagi. Apabila fenomena hujan meteor ini berlaku. ia akan menghiasi langit malam dengan cahaya hasil pelanggaran meteor dan atmosfera bumi. Hal ini telah sedia dimaklumkan di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Lalu diciptakanNya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), Kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (Kami ciptakan itu) untuk memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan (Allah) Yang Maha Perkasa, lagi Maha Mengetahui” – Surah Fusillat: ayat 12.

Rujukan:

  1. Langkawi Geopark.
  2. Tjia, H.D. 2001. Kawah hentaman Pulau Langkawi. Abstrak Persidangan Kebangsaan Warisan Geologi Malaysia, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.
  3. Abdul Rahim Samsudin, Abdul Rahim Harun, Mohd Hariri Ariffin, Umar Hamzah, Mokhtar Saidin, Shyeh Sahibul Karamah. 2012. Gravity investigation of Bukit Bunuh Impact Crater at Lenggong, Perak, Malaysia. Sains Malaysiana 41(12): 1629-1634
  4. Abdul Rahim Samsudin, Nur Suraya Ahmad, Nur Dalilah Johari, Umar Hamzah. 2014. Geophysical Evidences of a Possible Meteorite Impact Crater at Langkawi Island, Kedah, Malaysia. Electronic Journal of Geotechnical Engineering. 19: 4741 – 4749
  5. Nur Suraya Ahmad. 2014. Tesis Sarjana. Kajian Graviti di Kawasan Kawah Hentaman Meteorit di Pulau Langkawi, Kedah.
  6. Ludovic Ferriere.  
  7. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 3 =

Open

Close