Bukti Kehidupan dan Penempatan Manusia di Marikh

marikh-pada-3.5-billion-tahun-yang-lalu

Apabila kita melihat ruang angkasa pada waktu malam, ada kala kita akan terlihat satu bintang merah yang bersinar terang yang menjadi penghias langit. Bintang tersebut adalah planet Marikh. Marikh merupakan jiran Bumi di dalam sistem suria dan ianya menjadi planet pilihan untuk dijadikan tempat tinggal bagi generasi masa depan. Oleh itu, pelbagai kajian dan penerokaan ke atas Marikh giat dijalankan oleh para saintis untuk merealisasikan impian itu. Sebelum itu, mari kita berkenalan dengan planet Marikh ini.

‘Biodata’ Marikh

Marikh (Mars) kali pertama direkodkan melalui teleskop pada tahun 1610 oleh Galileo Galilei. Ianya dinamakan Mars sempena dewa perang Rom kerana warnanya yang berwarna merah. Marikh merupakan planet ke empat dari matahari dan mengorbit matahari selama 669.6 hari untuk satu pusingan lengkap (1 tahun). 1 hari di Marikh bersamaan dengan 24.6 jam. Disebabkan jaraknya sedikit jauh dari matahari berbanding bumi, maka suhu di permukaan Marikh adalah dari -143 ºC hingga ke 35 ºC. Bilion tahun lalu, Marikh menggunakan medan magnet global, tetapi tidak mengunakannya lagi sejak 4 bilion tahun lepas.

ais pada kutub marikh

Terdapat ais di kutub selatan Marikh (Sumber: Encik Shahrin Ahmad)

Saiz Marikh adalah separuh dari bumi dan beratnya adalah 10% dari berat bumi. Tarikan graviti di Marikh pula 38% dari bumi dan jika berat kita di bumi 1000 N (100 kg), maka di Marikh berat kita menjadi 380 N (38 kg) sahaja. Walaupun begitu, Marikh mempunyai gunung Olympus (gunung berapi) yang tertinggi di dalam sistem suria iaitu setinggi 27 kilometer dan 600 km diameter. Selain itu, Marikh mempunyai lembah/gaung yang terbesar iaitu lembah Marines (kedalam 10 km dan purata diameter 4000 km). Terdapat dua bulan yang mengorbit Marikh iaitu Phobos dan Deimos.

Lapisan atmosfera Marikh adalah sangat nipis dan tekanan atmosferanya beratus kali ganda rendah berbanding dengan bumi. Atmosfera Marikh mengandungi 95.32 % karbon dioksida, 2.7 % nitrogen, 1.6 % argon. 0.13 % oksigen dan 0.08 % karbon monoksida. Manakala permukaannya sangat kering, berhabuk, berbatu, bergaung dan terdapat kawah hentaman meteorit. Permukaan dilitupi oleh mineral yang kaya dengan besi dan apabila besi teroksida maka tanah kelihatan berwarna merah. Marikh mempunyai awan dan berangin seperti di bumi. Ada kalanya akan berlakunya ribut taufan kecil atau besar yang boleh dilihat dari bumi. Ribut taufan yang besar ini juga ada kalanya akan menutupi permukaan Marikh.

Kenapa Marikh Menjadi Planet Pilihan untuk Manusia Menetap?

Marikh menjadi planet pilihan sebagai penempatan baru manusia adalah disebabkan kedudukan Marikh di dalam sistem suria dan bersebelahan dengan bumi. Perjalanan dari bumi ke Marikh mengambil masa yang singkat berbanding ke planet lain iaitu 6 hingga 9 bulan. Dan sebab yang utamanya adalah dikatakan Marikh hampir menyerupai bumi dari sudut teras planet, permukaan yang berbatu, terdapat lapisan atmosfera dan halaju putaran Marikh di atas paksinya hampir sama (mempunyai 4 musim, dan 1 hari di Marikh hampir sama dengan bumi iaitu 24.6 jam).

Sejak 1960an, manusia telah menghantar beratus kapal angkasa ke Marikh bagi tujuan penyelidikan pelbagai bidang (astrobiologi, astrofizik, astrokimia, geologi dan lain lain) bagi mencapai tujuan untuk cuba membuka penempatan manusia di sana. Walaupun begitu, bukan semua misi yang dilakukan berjaya. Misi penghantaran kapal angkasa ke Marikh sudah cukup mencabar sehingga ada yang hilang tanpa jejak dan yang paling sukar dan mencabar adalah untuk mendaratkan kapal angkasa di permukaan Marikh.

Buat masa kini (November 2020), terdapat 3 kapal angkasa NASA yang sedang berada di Marikh. Odyssey tiba pada oktober 2001 dan mengorbit Marikh. Tugas Odyssey adalah untuk mengumpul data mengenai jumlah radiasi, jenis mineral, jenis tanah dan iklam Marikh. Odyssey memegang rekod sebagai kapal angkasa paling lama mengorbit Marikh. Curiosity rover pula berada di atas permukaan Marikh dan telah mengkaji Marikh sejak 2012 dan ianya merupakan rover terbesar yang pernah di hantar ke planet. Bagi mengkaji mengenai isi dalam Marikh dan mengukur gempa yang berlaku di Marikh, InSight telah dihantar dan mendarat di Marikh pada 2018.

2021 pula bakal menyaksikan kapal angkasa Perseverance mendarat di Marikh. Preseverance telah berlepas ke Marikh pada Julai lalu. Perseverance ini membawa mini helikopter yang dinamakan Ingenuity yang akan dibiarkan terbang bersendiri apabila tiba di Marikh. Tujuannya adalah untuk melihat kemampuan Ingenuity untuk terbang dan jika ianya berjaya, maka akan lebih banyak helikopter mini akan dihantar ke planet untuk melakukan kajian. Preseverance memiliki alat untuk cuba menghasilkan oksigen sepertimana pokok menukarkan gas karbon dioksida kepada oksigen (proses fotosintesis). Dan tugas utama Perseverance adalah untuk menjejaki kehidupan terkini atau sejarah kehidupan di Marikh. Selain itu, ianya ditugaskan untuk mengambil sampel tanah Marikh dan akan kembali ke bumi pada 2030.

Gambaran ilustrasi Perseverance dan Ingenuity di permukaan Marikh

Gambaran ilustrasi Perseverance dan Ingenuity di permukaan Marikh (Sumber: NASA)

Bukti Hidupan di Marikh

Hasil dari pelbagai kajian dan penyiasatan, para saintis mendapati bahawa wujudnya air di Marikh tetapi di masa lalu. Marikh ketika ini telah kehilangan air dan menjadi sangat kering. Di kutub selatan Marikh, terdapat satu kawasan dimana terdapatnya ais yang mengandungi air dan karbon dioksida.

Apabila sesuatu tempat memiliki air, pastinya ada kehidupan disitu. Kenyataan ini yang menguatkan untuk para saintis terutamanya astrobiologi giat mencari bukti kehidupan lain di Marikh. Astrobiologi telah melakukan kajian ke atas tiga sampel batuan meteorit dari Marikh untuk mencari bukti kehidupan fosil bakteria dan menjumpai beberapa petunjuk. Tetapi petunjuk berkenaan disangkal oleh astrokimia dan astrofizik kerana petunjuk berkenaan hanyalah proses semulajadi pembentukan Marikh.

Sehingga kini, pelbagai kapal angkasa dan kajian dari bumi telah dilakukan untuk mengenalpasti kehadiran hidupan lain di Marikh di masa lalu atau masa kini. Malangnya, sehingga kini tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa terdapat kehidupan lain dan para saintis terus berteka teki untuk hal ini.

Menariknya, sedang asyik para saintis fokus mencari kehidupan di Marikh.. Dunia astronomi dikejutkan dengan penemuan bukti kehidupan di planet yang jarang diberi perhatian oleh saintis iaitu Zuhrah. Sekumpulan saintis dari UK, US dan Jepun telah melaporkan kehadiran gas fosfin yang terdapat di awan Zuhrah berdasarkan pemerhatian menggunakan teleskop. Gas fosfin ini hanya boleh dihasilkan oleh benda hidup. Apabila sesuatu bukti kehidupan dijumpai, maka akan berlaku banyak perdebatan antara para saintis dan kini.. Zuhrah mula menjadi perhatian para saintis untuk diterokai dan dikaji bagi pembuktian.

Marikh pada 3.5 billion tahun yang lalu

Kesimpulan

Sehingga kini, para saintis masih belum menjumpai bukti kukuh mengenai kewujudan kehidupan di Marikh dan sedang giat menghantar kapal angkasa untuk mengkaji Marikh. Pada 15 september 2020, penyelidik dari Cornell University mengatakan bahawa susah untuk mencari bukti kehidupan di Marikh kerana bukti biologi telah dimusnahkan oleh aliran asid di permukaan Marikh pada masa lalu. Walau bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat saintis untuk mengkaji dan menerokai Marikh.

Andai satu hari nanti, para saintis berjaya mewujudkan penempatan manusia di Marikh yang selamat untuk didiami, adakah para pembaca sudi untuk berhijrah ke sana? Bagi penulis, penulis akan timbal balik segala kebaikan, keburukan, kemungkinan dan risiko untuk tinggal disana. Anda pula bagaimana? Tetapi, penulis telah menempah boarding pass yang akan membawa nama penulis ke Marikh pada misi kapal angkasa NASA yang akan datang (tahun 2026). Bagi sesiapa yang mahu menyertai ini, boleh daftar nama dan dapatkan boarding pass di sini.

Rujukan:

  1. Mars Characteristics
  2. What is Mars?. NASA TV
  3. Mars: What we know about the Red Planet
  4. Mars South Pole may have an underground lake surrounded by ponds
  5. Mars may be hiding tantalizing lakes beneath its glaciers
  6. NASA’s newest Mars rover begins its journey to hunt for alien life
  7. Life on Mars: Exploration & Evidence
  8. Sign of Life on Venus? What this means for earthlings

9. Life on Venus? Astronomers see a signal in its clouds

10. Study shows difficulty in finding evidence of life on Mars

11. Mars landers reveals new details about the Red Planet’s strange magnetic field.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 − seven =

Open

Close