Ubat kemoterapi untuk kanser VS Produk Alami

ubat kemoterapi

“Ah, kau jangan ambil ubat kemo tu. Semua yang ambil tak tahan, banyak kesan sampingan. Kau amik produk xxx aku ni. Natural, dari tumbuh-tumbuhan, bebas bahan kimia dan kesan sampingan. ”

Ramai yang ditakut-takutkan dengan rawatan dan ubat-ubatan hospital. Pesakit kanser adalah salah satu kelompok yang selalu disasarkan oleh penjual-penjual produk. Penting untuk orang awam tahu asas kepada kanser dan kenapa ubat-ubatan kimo digunakan sebagai rawatan kanser, dan kenapa berlakunya kesan sampingan.

Apakah itu kanser?

Umum mengetahui kanser adalah ketumbuhan, tapi apakah ketumbuhan dan bagaimana terjadinya ketumbuhan. Sel-sel badan kita sentiasa berkembangbiak, sebab itu kita nampak rambut akan panjang, kuku akan panjang mengikut masa. Selalunya pertumbuhan sel-sel ini dikawalselia dengan baik, di mana pertumbuhan sel berkadar seimbang dengan kematian sel. Jadi, sel-sel badan selalu dalam keadaan optimum. Namun, di dalam kedaan tertentu, pertumbuhan sel melebihi kematian sel. Ini menyebabkan sel berkembangbiak dengan cepat dan terbentuknya tisu lebihan di dalam badan – inilah yang dikenali sebagai ketumbuhan, tumor atau kanser.

Apakah keadaan tertentu yang menyebabkan pertumbuhan sel secara tidak terkawal ini? Ia bergantung kepada beberapa sebab, atau lebih tepat lagi gabungan beberapa faktor, yang menjurus kepada kekacauan regulasi gen-gen yang mengawalselia pertumbuhan sel. Contoh yang terkenal adalah seperti merokok, pemakanan daging terproses, obesiti dan sebagainya. Semua ini berlaku di dalam selang masa yang lama, di mana semua aktiviti tidak sihat ini terkumpul dan menyebabkan gangguan gen yang kekal.

Bagaimana rawatan kimo dapat mensasarkan sel-sel kanser?

Jadi kita tahu, sel-sel kanser adalah sel-sel sama yang menbentuk tisu-tisu dan organ dalam badan, cuma secara genetiknya, ia bertumbuh secara mendadak. Jika sel-sel ini adalah setempat, maka secara amnya pembedahan adalah cara terbaik untuk membuang tisu tersebut. Namun, dalam kebanyakan kes, sel-sel ini tidak lagi setempat, malah telah merebak masuk ke saluran darah dan pergi menginap di tisu organ yang lain. Sebagai contoh, kanser utamanya adalah di kolon, tetapi sel ini telah merebak dan berumah ke organ hati.

Apabila sel-sel kanser telah masuk ke dalam darah dan membiak ke bahagian yang lain, pembedahan sahaja adalah mustahil untuk mengeluarkan sel-sel ini dari aliran darah dan rumah kedua mereka. Maka, kimoterapi, atau ubat-ubatan kanser, selalunya diberi untuk mensasarkan sel-sel yang telah berkeliaran ini.

Ubat kemo mensasarkan kepada sel yang cepat membahagi

Namun, penting untuk kita tahu bahawa ubat-ubatan ini berkesan untuk mensasarkan sel-sel kanser kerana kebolehannya untuk mensasarkan ciri-ciri sel yang berkembang biak dengan cepat. Sebab itulah secara amnya kita melihat kesan sampingan ubat-ubat kimo adalah kehilangan rambut, kerana sel-sel rambut juga mempunyai ciri-ciri pertumbuhan cepat ini. Sel-sel lain yang mempunyai kadar pertumbuhan dan berganti dengan cepat termasuk juga sel sumsum tulang dan sel-sel yang menggarisi sistem gastrousus kita.

Para saintis sedar akan masalah ubat kimo yang juga mensasarkan sel-sel sihat ini dan kesannya terhadap pesakit, maka usaha untuk mewujudkan ubat yang lebih spesifik kepada sel-sel kanser telah dan masih berjalan. Ini termasuk ubat dari kumpulan monoklonal antibodi seperti trastuzumab (Herceptin) untuk kanser payudara dan bevacizumab (Avastin) untuk kanser kolon yang sudah merebak. Selain itu, kerana peka terhadap kesan sampingan inilah, ubat-ubatan kimo diberi secara kitaran, di mana satu pemberian ubat ke pemberian seterusnya mengandungi selang masa 21 ke 28 hari, untuk membantu memulihkan sistem imun pesakit.

Bagaimana produk alami merawat kanser?

Nah, ini satu soalan yang patut anda tanya jika ada penjual produk alami menghampiri anda. Bagaimana produk mereka tanpa kajian tersebut boleh mensasarkan sel-sel yang cepat merebak ini, dan tidak mensasarkan bahagian tisu badan yang lain? Mengapa tiada kesan sampingan walaupun dari sumber alami? Berbuat sesuatu haruslah berdasarkan ilmu dan bukti, apatah lagi apabila melibatkan kesihatan dan nyawa.

Terdapat ubat-ubatan kimo yang berasal dari tumbuhan, contohnya seperti kumpulan taxane dan alkaloid vinca. Namun, kompaun-kompaun spesifik tersebut telah dikaji secara mendalam dan masih mempunyai kesan sampingan. Walaubagaimanapun, kerana kesan sampingannya telah diketahui dan dikaji, pemberian ubat-ubat kimo ini juga akan disertai dengan pengurusan rawatan yang lain untuk mengendalikan kesan sampingan yang telah dijangkakan ini, demi kemaslahatan pesakit.

Tanpa kendalian rawatan profesional yang bertauliah, sel-sel kanser anda akan terus merebak tanpa sedar ke bahagian lain dan menjadi semakin parah.

Rujukan

  1. Dickens, E., Ahmed, S. (2017). Principles of cancer treatment by chemotherapy. Surgery 36, 134-138.
  2. Baldo, P., Fornasier, G., Ciolfi, L. et al. (2018). Pharmacovigilance in oncology. Int J Clin Pharm 40, 832–841.
  3. Fleishman, S. (2018, Feb 13). Understanding and Managing Chemotherapy Side Effects. Retrieved Aug 12, 2020, from

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − thirteen =

Open

Close