Skip to content

Pradiabetes: Apa yang Anda Perlu Tahu

Terdapat sebilangan dalam kalangan kita yang sebenarnya mengalami pradiabetes

Dianggarkan 1 daripada 3 orang Amerika mengalami pradiabetes dan 90% daripadanya tidak tahu yang mereka mempunyai pradiabetes! [1]. Pradiabetes adalah keadaan di mana seseorang mempunyai kadar glukosa yang tinggi dalam darah tetapi belum sampai tahap yang boleh diklasifikasikan sebagai diabetes. Bagi mereka yang mempunyai masalah pradiabetes, mereka mempunyai risiko yang sangat tinggi dengan diabetes jenis 2. Jangan bimbang kerana pradiabetes boleh diterbalikkan kepada normal atau dihalang dari berubah menjadi diabetes jenis 2.

Masalah pradiabetes berlaku apabila glukosa dalam darah semasa puasa menunjukkan 5.6 – 6.9 mmol/L atau ujian glukosa 2 jam selepas 75 gram Oral Glucose Tolerance Test (OGTT) menunjukkan  7.8 – 11 mmol/L atau ujian HbA1c menunjukkan 5.7 – 6.4% [1]. Manakala, Clinical Practice Guideline: Management of Type 2 Diabetes Mellitus menjelaskan, pradiabetes dikategorikan apabila mereka mempunyai bacaan glukosa HbA1c 5.6 – 6.2% [2].

Kadar sebenar mungkin berlainan mengikut sasaran doktor yang merawat. Mengikut pakar dari American Diabetes Association (ADA), dianggarkan 70% mereka yang mengalami pradiabetes akan menghidap diabetes jenis 2. Pradiabetes meningkatkan risiko masalah jantung. Malah risiko tersebut akan menjadi lebih tinggi apabila pradiabetes berubah menjadi diabetes, dan ianya diikuti dengan komplikasi jangka masa panjang seperti masalah mata, buah pinggang dan sistem saraf [3].

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko pradiabetes.

Berikut adalah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko pradiabetes [4]:

  • Lebihan berat badan atau obesiti (Indeks Jisim Tubuh melebihi 25 kg/m2)
  • Mempunyai latar belakang atau sejarah keluarga yang menghidapi diabetes
  • Pernah mengalami diabetes semasa hamil (gestational diabetes)
  • Sebahagian kumpulan etnik (Amerika Afrika, Amerika Latin, orang asli Amerika, atau penduduk pulau Asia/Pasifik)
  • Masalah tekanan darah tinggi
  • Tidak aktif dalam fizikal aktiviti
  • Masalah dislipidemia dengan bacaan kolesterol HDL kurang daripada 1.0 mmol/L bagi lelaki atau kurang daripada 1.3 mmol/L bagi perempuan atau bacaan triglycerides lebih daripada 2.8 mmol/L
  • Mengalami masalah Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS)

Pradiabetes dan Kunyit (kurkumin)

Perubatan herba adalah sebahagian dari perubatan komplemantari dan alternatif. Pendekatan pengambilan mana-mana herba atau tumbuhan semulajadi sebagai rawatan pradiabetes perlu dapatkan nasihat dari yang pakar supaya tiada komplikasi jangka masa panjang dan interaksi dengan ubat-ubatan. Antara herba atau bahan semula jadi yang dikaitkan dengan pradiabetes adalah kunyit (kurkumin), habbatussauda, lidah buaya (aloe vera), minyak bawang putih (garlic oil), kayu manis (cinnamon) dan banyak lagi.

Kurkumin adalah bahan fitokimia semula jadi yang terdapat dalam kunyit. Dalam satu kajian, seramai 240 orang yang mengalami pradiabetes telah terlibat dalam kajian pradiabetes dan faktor pengambilan kurkumin. Selepas 9 bulan, didapati peserta pradiabetes yang mengambil kurkumin tidak mengalami masalah diabetes jenis 2 dan sebanyak 16.4% peserta yang tidak mengambil kurkumin telah menghidap diabetes jenis 2.

Kajian tersebut mendapati pengambilan kurkumin dalam kalangan pradiabetes memberi manfaat dalam mengurangkan risiko diabetes jenis 2, malah dapat mengurangkan ukur lilit badan bagi mereka yang mengalami obesiti! [5]. Walau bagaimanapun, kajian tersebut tidak boleh digunapakai dalam intervensi perubatan. Kajiannya terhad di mana peserta yang terlibat dalam kajian tersebut adalah sangat kecil, malah pemilihan peserta hanya mereka yang berumur 35 tahun ke atas sahaja. Bagaimana pula dengan mereka yang berumur kurang dari 35 tahun?

Dalam satu kajian meta-analisis yang mengumpulkan banyak kajian menunjukkan pengambilan extrak kurkumin sebanyak 1.8 gram sehari adalah dos selamat dalam masa 9 bulan [6]. Kajian tersebut masih belum cukup kuat untuk diguna pakai dalam intervensi perubatan pradiabetes. Hal ini kerana kebanyakan kajian menggunakan jenis atau penyediaan kurkumin yang berbeza dan peserta kajian kebanyakannya adalah orang Asia, tidak meliputi negara-negara lain [7].

Pradiabetes dan Habbatussauda (Nigella sativa)

Habbatussauda juga dikenali sebagai Nigella sativa mempunyai kelebihan dalam membaiki masalah intoleransi glukosa. Dalam kajian in vitro, habbatussauda mempunyai kelebihan dalam mengurangkan penyerapan glukosa dalam usus [8]. Selain itu, pengambilan 1.5 ml dan 3 ml minyak habbatussauda mempunyai kelebihan dalam menurunkan kadar HbA1c dalam kalangan pesakit diabetes [9].

Dalam kajian systematic review pada tahun 2019, kesemua kajian yang dikumpulkan menunjukkan kelebihan habbatussauda dalam mengurangkan kadar glukosa dalam darah dan meningkatkan insulin secara signifikan [10]. Tambahan itu juga, ia sangat digalakkan dalam penggunaan bersama dengan ubat diabetes.

Namun, habbatussauda masih belum boleh digunakan dalam intervensi penting bagi pradiabetes. Kajiannya terhad, malah tiada lagi kajian yang menetapkan dos spesifik yang sepatutnya diambil dan cara pengambilan yang sebenar. Malah mekanisma habbatussauda terhadap tindak balas dalam badan manusia juga tidak jelas.

Apa yang anda perlu tahu dalam pengambilan produk semula jadi?

Terdapat banyak lagi kajian yang mengaitkan antara pradiabetes dan bahan semula jadi atau herba. Kebanyakan kajian yang dihasilkan tidak cukup kuat untuk menjadikan ia sebagai bahan penting dalam intervensi pradiabetes. Antaranya adalah kajian in vitro yang juga dikenali sebagai kajian tabung uji tidak boleh disamakan dengan kajian terhadap manusia. Tidak dinafikan, ada juga kajian yang dibuat terhadap manusia, tetapi jangka masa kajian adalah sangat pendek dan mekanisma bahan aktif masih lagi tidak jelas.

Meskipun demikian, tidak salah jika kunyit dan habbatusauda diamalkan dalam bentuk pemakanan sihat. Sebagai contoh, kurkumin adalah bahan asas dalam kunyit di mana ia boleh digunakan dalam masakan sebagai bahan semula jadi yang sihat. Jika memerlukan dos kurkumin yang tinggi dari suplemen, perlulah dapatkan nasihat dari yang pakar dan pastikan produk suplemen tersebut dapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Begitu juga dengan habbatussauda di mana minyak habbatussauda selamat untuk diambil sebagai minyak yang sihat. Ia boleh diambil dengan salad atau dicampur dengan minyak sihat lain seperti minyak zaitun. Cukuplah sekadar diambil sebagai makanan sihat dan jika diizinkan, akan dapat manfaat kesihatan dari situ.

Cara terbaik bagi mengelak pradiabetes dari diabetes jenis 2

Banyak kajian menekankan pradiabetes boleh diatasi dengan perubahan gaya hidup yang lebih baik dan ianya lebih berkesan dalam intervensi mengurangkan risiko diabetes jenis 2 berbanding penggunaan ubat-ubatan dan suplemen [2]. Malah, kos intervensi lebih murah, lebih berkesan dalam jangka masa panjang dan tidak terlalu membebankan.

Menurut Clinical Practice Guideline: Management of Type 2 Diabetes Mellitus, antara intervensi bagi mengelak diabetes jenis 2 terjadi adalah [2]:

  1. Mematuhi cara pemakanan yang disarankan dan mengamalkan aktiviti fizikal yang sederhana (pengurangan berat badan 5 – 7% ke berat yang ideal bagi mereka yang mengalami masalah lebihan berat badan atau obesiti).
  2. Selain dari perubahan gaya hidup yang lebih baik, metformin boleh digunakan bagi mereka yang mempunyai risiko yang sangat tinggi seperti masalah tinggi glukosa dalam darah beserta Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi 35 kg/m2 atau mereka yang ada sejarah dengan diabetes semasa hamil atau mereka yang gagal mengubah gaya hidup dengan lebih baik selepas 6 bulan cubaan.
  3. Selain itu, ubat-ubatan seperti acarbose, orlistat dan rosiglitazone menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan risiko diabetes jenis 2. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan adalah terkawal dan hanya boleh diberikan oleh doktor.

Bagi mereka yang mengalami masalah pradiabetes, mereka berisiko sangat tinggi dengan diabetes jenis 2. Jangan risau kerana pradiabetes boleh dirawat. Perubahan gaya hidup yang lebih baik dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal adalah rawatan pertama sebelum pemberian ubat-ubatan. Dapatkan nasihat dari pakar pemakanan cara untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat bagi mengawal kadar glukosa dalam badan.

Rujukan

[1] U. Hostalek, “Global epidemiology of prediabetes-present and future perspectives,”

[2] Ministry of Health Malaysia, Clinical Practice Guidelines (CPG) on Management of Type 2 Diabetes Mellitus. (5th Edition). 2015.

[3] D. M. Nathan et al., “Impaired fasting glucose and impaired glucose tolerance: Implications for care,” Diabetes Care, vol. 30, no. 3, pp. 753–759, 2007

[4] A. Shantal, C. Ryan, and M. A. Amit, “Prediabetes – StatPearls – NCBI Bookshelf,” Treasure Island (FL): StatPearls Publishing, Jul. 20, 2020.

[5] S. Chuengsamarn, S. Rattanamongkolgul, R. Luechapudiporn, C. Phisalaphong, and S. Jirawatnotai, “Curcumin extract for prevention of type 2 diabetes,” Diabetes Care, vol. 35, no. 11, pp. 2121–2127, 2012

[6] N. Poolsup, N. Suksomboon Id, D. M. Kurnianta, and K. Deawjaroen, “Effects of curcumin on glycemic control and lipid profile in prediabetes and type 2 diabetes mellitus: A systematic review and meta-analysis,” 2019

[7] F. Pivari, A. Mingione, C. Brasacchio, and L. Soldati, “Curcumin and Type 2 Diabetes Mellitus: Prevention and Treatment,” 2019

[8] B. Meddah et al., “Nigella sativa inhibits intestinal glucose absorption and improves glucose tolerance in rats,” J. Ethnopharmacol., vol. 121, no. 3, pp. 419–424, 2009

[9] P. N. R. Rachman, Akrom, and E. Darmawan, “The efficacy of black cumin seed (Nigella sativa) oil and hypoglycemic drug combination to reduce HbA1c level in patients with metabolic syndrome risk,” IOP Conf. Ser. Mater. Sci. Eng., vol. 259, no. 1, 2017

[10] A. Hamdan, R. H. Idrus, and M. H. Mokhtar, “Effects of nigella sativa on type-2 diabetes mellitus: A systematic review,” Int. J. Environ. Res. Public Health, vol. 17, no. 5, 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen + twelve =