Kerintangan Antibiotik: Apa Peranan Masyarakat dalam Isu Ini?

kerintangan antibiotik 2

Cuba bayangkan jika pada suatu hari, anda mendapat suatu jangkitan seperti tibi dan anda dapati antibiotik yang diberi kepada anda tidak berkesan untuk membunuh kuman atau bakteria penyebab jangkitan tersebut. Di samping itu, doktor anda telah cuba berkali-kali untuk menukar rawatan anda kepada jenis antibiotik lain, tetapi masih gagal mengawal jangkitan tersebut. Apakah yang akan terjadi pada anda?

Situasi di atas adalah gambaran sebenar yang berlaku dalam masalah kerintangan antibiotik. Kerintangan antibiotik (antibiotic resistance) adalah satu situasi di mana bakteria mula menyesuaikan diri dengan antibiotik yang diberikan dan menjadi lebih sukar untuk dibunuh.

Mengapa anda perlu cakna mengenai isu ini?

Isu kerintangan antibiotik bukanlah masalah yang baharu berlaku dalam masyarakat kita. Masalah kerintangan antibiotik sekarang telah merebak di seluruh dunia. Terdapat banyak laporan terkini menyatakan bahawa jangkitan yang sebelum ini mudah diubati dengan pemberian antibiotik seperti jangkitan peparu seperti pneumonia dan jangkitan saluran kencing (urinary tract infection) menjadi semakin sukar diatasi. Apabila keadaan ini berlaku, selalunya doktor perlu menggantikan antibiotik tersebut dengan ubat yang lebih kuat dan lebih mahal kepada pesakit. Ini menjadikan kos perubatan kepada pesakit meningkat dan membebankan sistem kesihatan sesuatu negara secara amnya.

Selain itu, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Food and Drug Administration (FDA), di antara tahun 2014-2018 hanya ada 10 sahaja antibiotik baru yang diluluskan untuk merawat jangkitan dalam proses pembangunan drug di seluruh dunia. Ini bermakna, sudahlah bakteria sudah menjadi sukar untuk dibunuh, penemuan antibiotik baru yang kuat untuk membunuh bakteria-bakteria ini pula sukar ditemui!

Punca kerintangan antibiotik

Anda sudah mula risau? Sekarang, untuk kita mengatasi masalah ini, kita perlu mengetahui apakah puncanya. Sebenarnya, kerintangan antibiotik boleh berlaku secara semulajadi kepada bakteria untuk melindungi diri mereka daripada dibunuh oleh antibiotik. Perubahan pada genetik bakteria dan genetik kerintangan yang diterima daripada bakteria lain juga menjadi sebab kerintangan antibiotik berlaku. Selain itu, punca kerintangan antibiotik boleh berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Penggunaan antibiotik yang berleluasa

Lebih banyak antibiotik yang kita gunakan, lebih banyak bakteria akan mewujudkan kerintangan kepada antibiotik tersebut. Apabila kita menggunakan antibiotik, sesetengah bakteria akan mati, tetapi bakteria yang rintang pada antibiotik ini akan terus hidup dan berkembang biak.

2. Pengawalan jangkitan dan kebersihan diri yang tidak baik

Sekiranya jangkitan tidak dikawal, penyakit akan mudah terjadi dan meningkatkan keperluan antibiotik. Kebersihan diri yang tidak dijaga dengan baik juga meningkatkan risiko jangkitan terjadi.

Peranan anda dalam mengatasi isu kerintangan antibiotik

Selain mengharapkan pihak kerajaan, saintis, doktor dan pegawai farmasi dalam mengawal masalah kerintangan antibiotik ini, anda juga boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam membanteras isu ini daripada berleluasa. Bagaimanakah caranya?

1. Guna antibiotik apabila perlu sahaja

Jangan paksa doktor anda preskrib antibiotik atau beli antibiotik dari farmasi luar untuk merawat jangkitan anda. Tahukah anda tidak semua jangkitan memerlukan antibiotik? Contoh yang mudah adalah apabila anda sakit tekak. Lebih kurang 80-90% masalah sakit tekak adalah disebabkan virus, bukannya bakteria. Sebab itulah anda selalunya tidak diberikan sebarang antibiotik oleh doktor anda kerana antibiotik hanya berkesan ke atas bakteria, bukan virus. Tidak perlu marah-marah sekiranya doktor tidak memberikan anda sebarang antibiotik untuk masalah perubatan anda. Percayalah pada pertimbangan doktor anda.

2. Habiskan antibiotik anda

Sekiranya anda dipreskrib antibiotik oleh doktor anda, pastikan anda habiskan antibiotik tersebut mengikut dos, frekuensi dan jangka masa yang telah diberitahu. Contohnya, sekiranya antibiotik itu diberi untuk jangka masa seminggu, pastikan anda habiskan ubat itu walaupun selepas 2 -3 hari anda mengambil ubat itu, jangkitan anda sudah reda. Anda mungkin rasa bakteria itu sudah mati, tetapi sebenarnya bakteria itu masih ada dan boleh menyesuaikan diri mereka dengan antibiotik yang diberi. Kita perlu habiskan semua antibiotik untuk memastikan semua bakteria telah dibunuh dengan berkesan.

3. Ambil vaksinasi

Imunisasi mampu melindungi anda daripada dijangkiti sebahagian penyakit yang memerlukan rawatan dengan antibiotik. Dengan cara ini, anda juga boleh merendahkan risiko dipreskrib dengan antibiotik dan sekaligus merendahkan risiko kerintangan antibiotik berlaku.

4. Menjaga kebersihan diri

Kebanyakan bakteria yang rintang kepada sesetengah antibiotik terdapat di persekitaran kita, terutamanya di hospital, dan tempat-tempat awam. Untuk mengelakkan jangkitan berlaku, anda boleh mengambil langkah-langkah keselamatan seperti selalu membasuh tangan, memakai penutup muka, dan sekiranya anda mempunyai luka, kawasan luka ini perlulah dibersihkan untuk mengelakkan jangkitan. Norma baharu yang kita amalkan sekarang memang satu pendekatan yang bagus dan mampu mengawal risiko jangkitan kuman kepada kita.

Sebagai kesimpulan, setiap daripada kita sebagai ahli masyarakat perlu cakna mengenai isu kerintangan antibiotik ini supaya masalah ini tidak berleluasa dan memudaratkan kita di masa hadapan. Jangan pandang remeh isu ini kerana setiap daripada kita mempunyai risiko terdedah kepada jangkitan dan pastinya kita mengharapkan antibiotik yang diberi akan berkesan untuk mengawal jangkitan tersebut. Percayalah, kita mampu mengawalnya!

Rujukan

  1. Peyrani, P., Mandell, L., Torres, A., & Tillotson, G. S. (2019). The burden of community-acquired bacterial pneumonia in the era of antibiotic resistance. Expert review of respiratory medicine13(2), 139-152.
  2. Abduzaimovic, A., Aljicevic, M., Rebic, V., Vranic, S. M., Abduzaimovic, K., & Sestic, S. (2016). Antibiotic resistance in urinary isolates of Escherichia coli. Materia socio-medica28(6), 416.
  3. Review of Antibiotics in Clinical Development Pipeline. United States Food and Drug Administration (FA), 18-19 November 2019. Available at: https://www.fda.gov/media/133086/download

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 1 =

Open

Close