Ganja boleh mengubati kanser – adakah ia benar?

Ganja merawat kanser

Ganja, marijuana atau juga dikenali sebagai kannabis, berasal dari Asia Tengah dan kini ditanam di seluruh dunia. Ia antara bahan yang popular untuk penagihan sejak berabad lamanya, dan seiring masa, saintis telah mengenalpasti komponen-komponen aktif didalamnya.

Apakah komponen aktif (biologically active components) untuk ganja?

Maksud komponen aktif adalah, bahan di dalam ganja yang bertanggungjawab ke atas peranannya biologinya. Komponen-komponen aktif di dalam ganja ini dipanggil kanabinoid (cannabinoids). Antara kanabinoid utama yang telah dikaji secara mendalam adalah tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). Selain THC dan CBD, terdapat lebih seratus kanabinoid lain telah dikenalpasti di dalam ganja.

THC adalah komponen utama dalam ganja yang menyebabkannya bersifat psikoaktif. Ganja selalunya mengandungi 15-20% komponen THC ini. Manakala CBD terdapat dalam kadar yang rendah dalam ganja, dan tidak bersifat psikoaktif.

Apa itu psikoaktif?

Psikoaktif bermaksud sesuatu bahan itu mampu bertindak pada sistem saraf kita dan mempengaruhi fungsi otak, dan menyebabkan perubahan pada persepsi, mood, kesedaran dan tingkah laku. Atau bahasa lain yang biasa digunakan ialah ‘high’.

Beza ganja yang dikaji dan ganja di pasaran gelap

Kalau anda ‘google’ tajuk tentang ganja dan kanser, beratus-ratus kajian ilmiah akan keluar, tidak ketinggalan juga beratus-ratus pendapat tidak bertauliah. Sebelum kita pergi kepada perbincangan lebih dalam, satu fakta penting yang perlu orang awam sedar adalah, kajian-kajian ilmiah melibatkan ganja hanya menggunakan komponen aktif sahaja iaitu tetrahydrocannabinol (THC) atau cannabidiol (CBD) dalam bentuk tulen tanpa campuran (highly purified), BUKAN ganja yang biasa didapati di pasaran gelap di mana tahap THC dan CBD nya tidak dapat dikenalpasti.

Penting juga untuk kita tahu bahawa, sesuatu kesan komponen tulen itu tidak semestinya menggambarkan kesan tanaman itu sendiri. Contohnya, ubat kemoterapi kanser bernama alkaloid vinca berasal dari tanaman. Walaupun komponen tulen alkaloid vinca digunakan untuk merawat kanser, tidak bermakna tanaman asalnya iaitu pokok periwinkle atau ekstrak ringkasnya mempunyai kesan yang sama. Ini kerana tanaman itu sendiri mengandungi pelbagai komponen-komponen lain yang masing-masing mempunyai kesan biologi yang berbeza. Jadi, walaupun ganja mengandungi satu atau dua jenis kanabinoid yang dikaji untuk kanser, bukanlah sifir mudah untuk kita mengatakan bahawa ganja itu keseluruhannya boleh merawat kanser.

Kajian ganja dan kanser di peringkat makmal

Hampir kesemua kajian saintifik tentang kesan ganja ke atas kanser menggunakan sel-sel kanser yang dikultur di dalam makmal atau haiwan. Ini termasuk sel barah otak, kanser prostat, kanser payudara dan kanser pankreas.  Terdapat laporan yang menunjukkan tetrahydrocannabinol (THC) atau cannabidiol (CBD) di dalam ganja mampu memperlahankan pertumbuhan sel kanser, atau menyebabkan kematian sel kanser – walaubagaimanapun hasil dapatan ini adalah tidak konsisten. Di dalam sesetangah kajian, kesan ganja ini berbeza terhadap jenis kanser yang berbeza. Terdapat juga bukti bahawa ganja sendiri boleh menggalakkan pertumbuhan kanser sel, bergantung kepada dos dan jenis reseptor kanabinoid di dalam kanser tersebut.

Kajian ganja dan kanser di kalangan manusia

Struktur biologi manusia adalah lebih kompleks, maka apa sahaja dapatan dari kajian makmal tidak boleh terus diaplikasikan terhadap manusia. Ia perlu melalui percubaan klinikal (clinical trial) yang melibatkan ramai orang – pesakit dan bukan pesakit, sebagai kumpulan kawalan. Ini penting untuk membuktikan bahawa kesan tersebut bukan ‘kebetulan’.

Setakat ini, terdapat dua percubaan klinikal yang kecil yang mengkaji kegunaan kanabinoid dalam ganja untuk merawat kanser. Percubaan yang pertama melibatkan sembilan pesakit barah otak tahap akhir yang diberi tetrahydrocannabinol (THC) melalui tiub terus ke dalam otak mereka. Walaupun pemberian THC dengan cara ini tidak menyebabkan kesan sampingan yang teruk, tetapi kerana ianya dijalankan tanpa kumpulan kawalan, ia tidak dapat membuktikan bahawa THC dapat memanjangkan jangka hayat pesakit.

Percubaan klinikal yang kedua mencuba menggabungkan THC dan CBD dengan ubat kemoterapi bernama temozolamide, juga untuk barah otak. Walaubagimanapun, ia juga melibatkan jumlah pesakit yang kecil – iaitu hanya 21 orang, maka jumlah yang lebih besar diperlukan untuk merumuskan keberkesanan kombinasi ini.

Kajian ganja dalam menangani aspek kanser yang lain

Terdapat bukti yang menyokong bahawa kanabinoid boleh membantu mengendalikan kesan sampingan rawatan kemoterapi iaitu loya dan muntah-muntah. Kedua-dua ubat yang digunakan ini berasal dari kanabinoid sintetik, bernama dronabinol dan nabilone. Namun, kerana terdapatnya alternatif rawatan loya dan muntah-muntah lain yang lebih selamat dan berkesan, kedua-dua ubat ini hanya digunakan jika rawatan yang lain ini tidak berkesan. Buat masa ini, hanya dua kanabinoid sintetik ini sahaja yang diluluskan penggunaannya oleh US Food and Drug Administration (FDA) – manakala ganja dalam bentuk asalnya tidak.

Terdapat juga percubaan klinikal yang besar untuk mengkaji penggunaan kanabinoid dalam menangani rasa kesakitan dari kanser dan juga jika ia berupaya memulihkan selera makan di kalangan pesakit kanser, tetapi setakat ini rumusan kajian mendapati bahawa ia tidak berkesan.

Persoalan-persoalan lain yang masih belum dijawab tentang penggunaan ganja dalam kanser

Kajian-kajian seputar isu ini masih belum dapat menjawab beberapa soalan yang penting di dalam merumuskan atau memformulasikan sesuatu rawatan kanser. Ini termasuk – apakah kanabinoid asli atau sintetik lebih berkesan, apakah dos yang sesuai untuk sesuatu jenis kanser, kanser apakah yang boleh bertindakbalas terhadapnya, bagaimana untuk menghindarkan pesakit dari kesan sampingan psikoaktif kanabinoid THC, bagaimana mensasarkan kanabinoid kepada sel kanser dan apakah kanabinoid boleh memangkin atau merencat rawatan kemoterapi.

Kesimpulan

Kesimpulannya di sini, setakat ini tidak ada bukti kajian saintifik yang cukup mantap (robust) dan padu (solid) untuk merumuskan keselamatan dan keberkesanan bahan dalam ganja – dalam apa jua bentuk pun – untuk merawat kanser. Apatah lagi menagih ganja – tiada langsung bukti perubatan yang menyokongnya. Menyandarkan hujah pada bukti-bukti pengalaman perseorangan adalah tidak patut, malah bergantung kepada ganja sambil melambatkan atau mengelak dari rawatan dari pakar boleh membahayakan pesakit.

Rujukan

  1. Śledziński P, Zeyland J, Słomski R, Nowak A. The current state and future perspectives of cannabinoids in cancer biology [published correction appears in Cancer Med. 2018 Nov;7(11):5859]. Cancer Med. 2018;7(3):765-775. 
  2. Cancer Research UK. 2019. Cannabis, cannabinoids and cancer – the evidence so far. [online] Available at: https://scienceblog.cancerresearchuk.org/2012/07/25/cannabis-cannabinoids-and-cancer-the-evidence-so-far/  [Accessed 20 August 2020].
  3. PDQ Integrative, Alternative, and Complementary Therapies Editorial Board. Cannabis and Cannabinoids (PDQ®): Health Professional Version. In: PDQ Cancer Information Summaries. Bethesda (MD): National Cancer Institute (US); July 22, 2020.
  4. Rodriguez-Almaraz JE, Chang S, Clarke J, et al. A systematic review and meta-analysis examining the effects of cannabis and its derivatives in adults with malignant CNS tumors. Neurooncol Pract. 2020;7(4):376-383.
  5. Boland EG, Bennett MI, Allgar V, Boland JW. Cannabinoids for adult cancer-related pain: systematic review and meta-analysis. BMJ Support Palliat Care. 2020;10(1):14-24.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 4 =

Open

Close