Adakah Hydroquinone perlu untuk Kulit anda?

adakah hydroquinone untuk kulit

Adakah hydroquinone untuk anda?

Mendengar nama ini mesti anda pernah dengar bukan?

“Apa benda hydroquinone ni?”

Mari mengenali hydroquinone

Hydroquinone ni merupakan bahan peluntur kulit untuk merawat masalah kulit yang berkaitan hiperpigmentasi. Kiranya seperti ‘gold standard’ seantero dunia. Tetapi bahan ini dilarang penggunaannya di sesetengah negara luar seperti Eropah.

Oh ya Malaysia benarkan tidak penggunaan hydroquinone ini? Sudah tentu tetapi ia dikawal di bawah Kawalan Racun Berjadual.

Tidak lupa juga hydroquinone ini boleh dijumpai dalam bentuk krim topikal dalam produk farmaseutikal atau dalam bahan kosmetik.

Hydroquinone bertindak untuk menghalang penghasilan melanin. Melanin adalah kompoun pigment yang dihasilkan oleh sel melanocytes. Dan ia akan memberikan warna gelap pada kulit anda.

Jadi dengan terhalangnya pembentukan melanin, kulit baru yang terhasil pada permukaan epidermis lebih kurang melanin dan lebih cerah!

Mengapa bahan ini amatlah popular di kalangan industri kosmetik dan farmaseutikal?

Bahan ini merupakan dambaan wanita di luar sana kerana ia boleh memutihkan kulit dan memudarkan parut jerawat.  Ia bertindak sebagai peluntur warna kulit dan menghalang penghasilan melanosit (pigmen kulit) jadi tidak hairanlah kesannya cepat dalam masa 3 hari dengan dos yang tinggi dan berlebihan.

Siapakah yang perlukan hydroquinone?

Bolehkah kita memakai bahan produk mengandungi hydroquinone ini?

Jawapannya ya! Sekiranya anda mempunyai:

1. Hyperpigmentasi

Hiperpigmentasi (melanin berlebihan pada permukaan kulit) – ia merupakan satu keadaan dimana kulit menghasilkan melanin berlebihan dan menyebabkan tompok gelap akibat keradangan dan kecederaan pada kulit.

Keradangan pada permukaan kulit ini merangsang penghasilan melanosit untuk menghasilkan lebih banyak melanin, maka lebih banyak pigmen dipindahkan pada dasar kulit.  

Description: C:\Users\USER\Downloads\hyperpigmentation 1.jpg

2. Melasma

Melasma (penghasilan melanin) – kondisi kerosakan kulit akibat terdedah pada cahaya matahari berterusan dan paling cenderung berada di daerah pipi, atas bibir, dagu, dahi dan bahagian lain yang terdedah dengan matahari. Melasma ini selalunya terjadi pada individu yang berkulit sawo matang dan gelap.

Formula mudah: Melanin sukakan matahari!

Description: Tips for Managing Your Melasma This Summer - Windsor Dermatology

Berapakah kepekatan yang selamat digunakan?

Bagi pengguna kosmetik, penggunaan bahan hydroquinone dalam produk kosmetik adalah dilarang sama sekali jika kita lihat pada panduan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah, banyak produk kosmetik telah ditarik semula notifikasi kerana telah dikesan bahan racun berjadual ini.

Bagaimana pula dengan kosmetik yang tidak dinyatakan bahannya dan spesifikasi dengan NPRA? Pengguna akan terdedah dengan risiko bahan ini terutamanya jika tidak diketahui peratus bahan tersebut.

Berita baiknya…

Sekiranya anda ingin menggunakan hydroquinone, kini ia boleh didapati dalam bentuk krim topical dari kaunter farmasi berdekatan. Krim ini didapati dengan dos yang selamat iaitu bawah 4%

Tapi harus diingat bahawa penggunaan produk ini mestilah di bawah preskripsi doktor dan ahli farmasi.

Jika anda ragu ragu dengan kesannya, terdapat juga beberapa ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan bahan ini pada hiperpigmentasi.

Proses depigmentasi ini dapat dilihat selepas 5-7 minggu dan rawatan perlu diteruskan sekurangnya 3 bulan- 1 tahun. Hydroquinone juga selalunya diformulasikan bersama tabir suria, retinoids dan glycolic acid untuk manfaat tambahan.

Mengapa bahan ini dilarang dalam kosmetik tetapi dibenarkan dalam produk farmaseutikal??

Ya tidak ya juga kan?

Apabila produk ini didaftarkan sebagai produk farmaseutikal, kawalan terhadap bahan ini di bawah akta racun berjadual sebelum selamat diberi kepada pengguna. Malahan, proses pendaftaran produk ini memerlukan sokongan ujian klinikal, jurnal dan kestabilan data demi keselamatan,keberkesanan dan kecekapan sesuatu produk.

Produk kosmetik pula tidak memerlukan prosedur yang rumit sebegini melainkan menyatakan bahan formulasi dan nama produk untuk memohon notifikasi (NOT).

Jadi lebih selamat bukan beli dari kaunter di bawah nasihat farmasi atau doktor berbanding beli dalam bentuk kosmetik?

Jadi apakah kesan sampingan penggunaan produk ini?

Kesan sampingan yang kita boleh jangka dari penggunaan produk ini antaranya Ochronosis, pigmentasi biru kehitaman pada kulit terutamanya dengan penggunaan hydroquinone dalam jangka masa yang panjang dengan kepekatan 2%.

Kesan iritasi juga berlaku seperti kulit kering, pedih, keradangan, erythema (permukaan merah pada kulit), selaran matahari, sensitif dan lebih buruk lagi hiperpigmentasi (bintik hitam yang rata pada kulit)

Tambahan lagi, matahari menjadi punca simptom ini semakin teruk jika tiada perlindungan kulit seperti pelindung matahari, topi, pakaian pelindung dan payung!

Kesan dari penggunaan produk ini boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan pada kulit dari pancaran cahaya matahari dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Tambahan lagi, kesan toksik hydroquinone juga boleh membawa kepada kegagalan fungis pada buah pinggang dan hati , sakit pada abdomen, kejang dan koma. Kajian terhadap haiwan seperti tikus dan arnab menunjukkan hydroquinone boleh menyebabkan ketoksikan akut.

Kesimpulannya : Kepintaran manusia dan teknologi

Adakah hydroquinone ini untuk semua orang? Ia tetap terpulang kepada pilihan pengguna bila diimbangi semula kesan buruknya dan kebaikannya. Bukan sahaja hydroquinone semata, masyarakat perlu tahu indikasi sesuatu bahan agar pengguna lebih peka terhadap kesan sampingan sebelum membeli sesuatu produk.

Kini banyak aternatif hyroquinone yang diformulasikan untuk mengurangkan iritasi dan kesan sampingan pada kulit. Sudah tentu ia akan mengambil masa yang lama untuk mengilangkan pigmentasi daripada kulit.

Seolahnya lama masa diambil untuk adanya hiperpgimentasi, seberapa lama itulah masa diambil untuk memudarkannya. Pilihan ada di tangan konsumer, mahukan kesan yang cepat tapi membahayakan atau kesan yang lambat tapi selamat?

Rujukan:

  1. Agorku, E. S., Kwaansa-Ansah, E. E., Voegborlo, R. B., Amegbletor, P., & Opoku, F. (2016). Mercury and hydroquinone content of skin toning creams and cosmetic soaps, and the potential risks to the health of Ghanaian women. SpringerPlus5, 319. https://doi.org/10.1186/s40064-016-1967-1
  2. Bandyopadhyay D. Topical treatment of melasma. Indian J Dermatol 2009;54:303-9
  3. Chandra, M., Levitt, J., & Pensabene, C. A. (2012). Hydroquinone Therapy for Post-inflammatory Hyperpigmentation Secondary to Acne : Not Just Prescribable by Dermatologists, 232–235.
  4. Ngan, A. V., Writer, S., Amanda, A. P., & Zealand, N. (2020). Postinflammatory hyperpigmentation, (December 2015). https://doi.org/10.1016/S0151-9638(12)70127-8.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.